Sunday, December 14, 2008

PIPP jana tenaga sumber manusia

GENTING HIGHLANDS 25 Nov. - Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta golongan guru menjadikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sebagai satu mekanisme yang boleh digunakan dalam menjana proses pembangunan sumber manusia.

Menurutnya, negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya pada sumber asli dan bahan mentah tetapi perlu memfokuskan kepada aset sumber manusia yang terhasil daripada sistem pendidikan.

''Kita berpeluang mencapai kemajuan dengan cepat kerana Malaysia sudah mempunyai sistem pendidikan dan persekolahan yang baik, oleh itu kelebihan ini perlu digembleng secara bersepadu menerusi pelaksanaan PIPP,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Nasional Kedua PIPP di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang.

Dalam menjayakan pelaksanaan PIPP, Hishammuddin mengakui beberapa elemen penting seperti akses dan ekuiti perlu diberi penekanan supaya peluang pendidikan dapat dibuka kepada semua golongan.

''Masalah kemiskinan dan faktor lokasi sering menjadi penghalang kepada asas kecemerlangan pelajar kita terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

''Adakah mereka juga mempunyai keyakinan yang sama untuk turut bersaing jika berpeluang mendapat pendidikan seperti pelajar di bandar walaupun mendapat kemudahan yang lengkap,'' ujarnya.

Selain itu, beliau juga mahu kecekapan dalam sistem penyampaian ditingkatkan di semua peringkat dan bahagian.

''Pemimpin atau pengurus pendidikan perlu bijak memperkenalkan inovasi terbaru dalam sistem penyampaian untuk disalurkan kepada mereka yang berada di peringkat bawahan,'' katanya.

Menurutnya, identiti negara bangsa juga perlu diterapkan di dalam konsep pelaksanaan PIPP kerana ia mampu melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

Hadir sama pada konvensyen empat hari bermula semalam itu ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.

Dianggarkan seramai 200 peserta dari peringkat Kementerian Pelajaran, Jabatan pendidikan negeri serta daerah dan institusi-institusi pendidikan hadir ke konvensyen tersebut.

Pada majlis itu, Zulkurnain turut melancarkan buku Modal Insan Cemerlang: Minda Kelas Pertama yang dihasilkan oleh kakitangan IAB.

link di sini

Ilmu terhad jika tidak dalami bahasa Inggeris - Dr. M

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Rakyat Malaysia dikhuatiri hanya akan menerima ilmu yang terhad jika tidak mempelajari bahasa Inggeris yang kini menjadi bahasa ilmu di seluruh dunia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, keadaan yang sama akan berlaku jika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak diteruskan di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Beliau berkata, sumber-sumber mengenai sains dan matematik dalam bahasa Inggeris terhasil begitu pantas dan masyarakat tidak mempunyai pilihan selain menggunakan bahasa itu untuk mendapatkan ilmu berkaitan kedua-dua bidang itu.

"Hari ini penyelidikan dan kertas kajian dalam bidang-bidang itu dihasilkan dengan begitu pantas dan kita sudah tiada masa untuk menterjemahkannya kalau tidak kita akan ketinggalan.

"Satu pilihan untuk kita tidak ditinggalkan adalah menggunakan sumber sedia ada walaupun ia dalam bahasa Inggeris. Oleh itu kita perlu memahirkan diri kita mendalami bahasa itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Program Bahasa Inggeris dan Asia: Persidangan Antarabangsa Pertama Bahasa dan Linguistik anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, memberi penekanan terhadap mendalami bahasa Inggeris tidak bermakna masyarakat terpaksa meminggir atau melupakan bahasa Melayu.

"Apabila kita menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu di negara ini, tidak bermakna kita sebagai rakyat Malaysia tidak lagi patriotik atau hilang kerakyatan kita.

"Adalah tidak adil kepada generasi kita untuk menyekat mereka daripada menuntut bahasa Inggeris apabila kita sendiri sudah berjaya menuntut dan mendalaminya sebelum mereka," katanya.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, beliau tiada kuasa untuk menghalang sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan lagi PPSMI.

"Saya nak buat macam mana lagi, saya bukan berkuasa lagi. Saya sudah pertahankan (PPSMI) sebelum ini," katanya.

Rujuk di sini

Monday, December 8, 2008

Sekolah Wawasan patut diterima

Gagasan Sekolah Wawasan adalah gagasan yang besar, melangkaui kepentingan kaum dan etnik, juga melangkaui batas politik dan sosial. Bagaimanapun kegagalannya sudah mula dirasai sejak diperkenalkan lebih lima belas tahun lalu.

Bukan kerana kelemahan pengurusan pihak kementerian tetapi kerana sikap kalangan pimpinan politik yang tidak ikhlas untuk memahami keluhurannya lantas membina prasangka yang bukan-bukan serta kebimbangan yang melampaui hasrat murni kewujudannya.

Mungkin kita patut memberikannya peluang kedua, kali ini dengan lebih bersungguh-sungguh dan bersikap terbuka kepada semua pihak yang terlibat.

Sekolah Wawasan adalah sekolah integrasi yang menempatkan beberapa buah sekolah yang berlainan aliran dalam satu kawasan yang sama. Sekolah-sekolah ini akan berada di bawah satu 'bumbung' tanpa mengira agama dan bangsa. Konsep Sekolah Wawasan adalah bertujuan menyatukan para pelajar daripada etnik Melayu, Cina dan India melalui satu sistem pendidikan di dalam satu kawasan.

Konsep Sekolah Wawasan bermakna dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan jenis sekolah dibina dalam kawasan yang sama dan akan berkongsi segala kemudahan asas yang disediakan seperti padang permainan, dewan, kantin, pusat sumber, makmal komputer dan sebagainya.

Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan sistem laluan berbumbung.

Pembentukan Sekolah Wawasan ini tidak sesekali bertujuan mengubah pentadbiran dan sistem pembelajaran yang asal bagi setiap sekolah. Sekolah Wawasan mempunyai pentadbiran secara berasingan (mempunyai autoriti untuk menguruskan peruntukan kewangan, perancangan sumber manusia dan pembangunan dan lain-lain) bagi setiap aliran.

Setiap sekolah akan mempunyai nama dan logo sekolah, lagu sekolah dan sistem peperiksaan peringkat sekolah masing-masing.

Warga Sekolah Wawasan digalakkan menggunakan sebahagian kemudahan sekolah secara bersama seperti kantin, dataran perhimpunan, gelanggang permainan dan padang sekolah.

Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), Lembaga Pengelola Sekolah yang sedia ada akan terus kekal seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996. Walaupun menggabungkan tiga aliran sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Wawasan tetap mempunyai pusat pentadbiran mengikut aliran masing-masing.

Terdapat tiga orang guru besar berbeza dengan kumpulan guru dan juga kakitangan pentadbir yang berasingan. Sekolah Wawasan juga tetap menghormati bahasa dan kebudayaan etnik dan budaya sekolah masing-masing. Pelaksanaan Sekolah Wawasan adalah selari dengan usaha mengekalkan identiti asal etnik di sekolah berkenaan.

Satu Jawatankuasa Penyelaras yang terdiri daripada Guru Besar dan dua orang guru dari setiap sekolah diwujudkan untuk menyelaras hal-hal pengurusan mengenai kebersihan, keceriaan dan keselamatan sekolah. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh salah seorang daripada Guru Besar dari Sekolah Wawasan berkenaan secara bergilir-gilir mengikut kesesuaian sama ada satu atau dua tahun sekali.

Jawatankuasa Penyelaras tidak akan menggantikan fungsi Lembaga Pengelola SJK (Cina) dan SJK (Tamil). Kantin sekolah pula akan dikendalikan bersama-sama oleh sekolah-sekolah berkenaan. Dalam urusan makanan, sensitiviti semua kumpulan etnik akan diambil kira dan bayaran sewa akan diagihkan kepada sekolah-sekolah berdasarkan nisbah murid.

Bagi aktiviti kokurikulum, meskipun setiap sekolah mempunyai aktiviti kokurikulum masing-masing, tetapi setiap sekolah digalakkan menjalankan aktiviti kokurikulum tambahan bersama. Ketika aktiviti ini, setiap warga sekolah boleh menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

Malah ada ketikanya aktiviti pelajar boleh dilakukan bersama dengan setiap sekolah menghantar wakil terbaik bagi sesuatu aktiviti seperti pertandingan pidato, pertandingan bola sepak, bola keranjang dan sebagainya.

Di samping itu, sekolah berkenaan boleh menghantar wakil sebagai satu pasukan Sekolah Wawasan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan pasukan yang mempunyai ramai penyertaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Bagi menggalakkan lagi perpaduan antara pelajar, Sekolah Wawasan diseru untuk mengadakan acara tahunan secara bersama seperti temasya sukan tahunan, Hari Guru, Hari Kebangsaan dan Hari Kantin.

Antara Sekolah Wawasan yang telah beroperasi dengan jayanya ialah Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak, Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Star, Kedah, Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang, Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor dan Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak.

Bagaimanapun, seperti yang diketahui umum, konsep Sekolah Wawasan ini ditolak keras oleh dua gabungan persatuan Cina, Dong Jiao Zhong dan Hua Zong. Bahkan dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar tempatan bersama pemimpin persatuan ini, dilaporkan bahawa jika konsep Sekolah Wawasan dipaksakan ke atas masyarakat Cina, mereka akan membuat penentuan dalam pilihan raya ketika itu.

Isu Sekolah Wawasan dikatakan menjadi salah satu faktor penyebab kekalahan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Lunas satu masa dahulu. Bantahan ini juga mendapat sokongan padu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC dan Gerakan.

Dong Zong ialah sebuah persatuan pendidikan Cina yang besar dan sangat berpengaruh. Jiao Zong pula ialah persatuan guru-guru, juga ditubuhkan di setiap sekolah dan didaftarkan mengikut peraturan persatuan NGO.

Kedua-dua persatuan inilah yang bertanggungjawab sebagai badan yang mengurus dan mentadbir sekolah Cina, mengutip derma, membiayai segala kemudahan dan berbincang dengan kerajaan dalam isu membabitkan pendidikan Cina.

Kedua-duanya sentiasa bekerjasama. Jadi, dalam apa-apa isu pendidikan khususnya berkaitan pendidikan Cina maka persatuan ini biasanya akan bekerja dengan satu suara.

Sejak ditubuhkan, Dong Jiao Zong dianggap 'jaguh' dalam memperjuangkan hak dan kepentingan pendidikan Cina di Malaysia. Hari ini badan induk ini bertanggungjawab menyalur dana untuk membiayai 1,284 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan 60 sekolah menengah persendirian Cina, di seluruh negara.

Fungsi

Bagi setiap sekolah rendah dan menengah Cina, mereka mempunyai lembaga pengarah dan pengelola masing-masing yang ditubuhkan mengikut Akta Pendidikan Kebangsaan 1996. Tetapi lembaga Pengelola Sekolah ini hanya di sekolah Cina saja, tidak ada di sekolah Tamil atau Melayu.

Jadi, dengan adanya Sekolah Wawasan maka dikhuatiri fungsi Lembaga Pengelola Sekolah Cina akan hilang. Mungkin ia boleh terus wujud, tetapi diyakini tidak boleh berbuat apa-apa kerana perpindahan kuasa telah berlaku. Inilah yang dirisaukan oleh Persatuan Dong Jiao Zong kerana tiada jaminan atau penjelasan daripada pihak kerajaan.

Selain tentangan NGO pendidikan Cina, ada juga di kalangan tokoh akademik tempatan yang berpendapat bahawa konsep Sekolah Wawasan yang dicadangkan sebenarnya bukan jawapan kepada keharmonian dan perpaduan kaum. Mereka hanya berkongsi padang dan kemudahan dalam satu kawasan sekolah, sedangkan sistem pendidikannya masih kekal mengikut aliran masing-masing.

Perpaduan kaum tidak mampu dicapai hanya di padang sekolah. Menurut mereka tidak munasabah jika hanya dengan bermain bola sepak atau hoki di padang, perpaduan dapat dicapai. Di samping itu apabila Sekolah Wawasan ditubuhkan pihak kerajaan terpaksa mengambil peranan untuk menjaga sekolah persendirian aliran Cina dan Tamil pula - sama rata dengan sekolah aliran kebangsaan. Jika tidak dilayan, maka akan timbul prasangka terhadap satu sama lain.

Satu lagi punca kegagalan Sekolah Wawasan ialah ketika ini dikatakan sekolah Cina menghadapi kekurangan guru. Kerajaan pula tidak ada rancangan untuk melatih guru Cina khusus untuk sekolah Cina dan India dengan mencukupi. Tetapi, sekolah Melayu dikatakan mempunyai lebihan guru lepasan maktab dan universiti sehingga sukar ditempatkan di sekolah kebangsaan.

Jika Sekolah Wawasan dilaksanakan, guru Melayu yang berlebihan itu pastinya diserapkan di sekolah Cina. Ini juga menimbulkan keresahan di kalangan pimpinan masyarakat Cina yang memerlukan tambahan guru Cina di sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara.

Jadi, secara perlahan-lahan masyarakat Cina percaya Sekolah Wawasan akan mengubah sistem sekolah Cina sekarang. Jika inilah antara punca kegagalan melaksanakan Sekolah Wawasan, jelas sekali isu hubungan etnik dalam segmen pendidikan negara adalah sangat serius dan dipenuhi dengan rasa curiga dan prasangka hinggakan idea sebaik Sekolah Wawasan pun mengalami kegagalan.

Pihak kementerian sepatutnya kembali menjayakan Sekolah Wawasan demi kelangsungan perpaduan kaum dan mewujudkan sebuah bangsa Malaysia. Kegagalan sekolah Wawasan adalah kegagalan kita semua.

Jika kita mengalah dan menarik diri maka kita akan dipersalahkan oleh generasi muda yang ingin hidup sebagai satu bangsa pada masa depan tanpa mengira kaum, agama dan budaya.