Wednesday, January 14, 2009

Nama Razali Ismail diabadi

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Nama bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail akan diabadikan di dua buah institusi pendidikan di Kuala Terengganu bermula Jumaat ini bagi mengenang jasa Allahyarham membangunkan bidang pendidikan negara.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua institusi yang terpilih ialah Institut Perguruan Kuala Terengganu (IPKT) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar.

Kata beliau, kedua-duanya akan dikenali sebagai Institut Perguruan Dato' Razali Ismail dan SMK Dato' Razali Ismail.

"Penggunaan nama Allahyarham juga telah dipersetujui oleh ahli keluarganya.

"Majlis pemasyhuran nama Allahyarham di dua institusi pendidikan itu akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Razali yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia akibat serangan jantung sewaktu bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands pada 28 November lalu.

Hishammuddin berkata, pihaknya memutuskan penggunaan nama Allahyarham di SMK Bandar selepas mempertimbangkan cadangan dan permohonan pelbagai pihak yang dikemukakan sejak sebulan lalu.

Katanya, penggunaan nama allahyarham di IPKT pula adalah keputusan kementerian yang berpendapat legasi dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan peringkat nasional wajar mendapat pengiktirafan yang tinggi.

"Beliau mula berkhidmat sebagai seorang guru pada 16 Januari 1974 dan kemudiannya memegang beberapa jawatan penting seperti Pengarah Maktab Perguruan, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan berakhir sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

"Atas peranan penting dan sumbangan besar beliau dalam sejarah pendidikan negara khususnya dalam pendidikan guru, Kementerian Pelajaran dengan penuh bangga dan penghormatan memutuskan bahawa IPKT dinamakan sebagai Institut Perguruan Dato' Razali Ismail," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin menyifatkan Majlis Permuafakatan Pendidikan Daerah (MPPD) Kuala Terengganu yang dihadiri beliau petang ini sebagai sesuatu yang istimewa kerana ia adalah gagasan yang dekat dengan hati Razali.

Katanya, allahyarham bukan sahaja salah seorang yang terlibat dalam idea penubuhan MPPD di seluruh negara, bahkan begitu komited memastikan ia dilaksanakan pada kadar segera.

"Saya percaya penubuhan MPPD dalam tempoh masa yang singkat sebelum allahyarham kembali ke rahmatullah merupakan ketentuan Ilahi yang mempunyai hikmah tersendiri," katanya