Tuesday, March 17, 2009

Pengalaman Guru

oleh Haikal

“Hah…Mama dah carikan kerja utk hang. Jadi cikgu kat sekolah kawan Mama. Mau?” kata mak aku semasa kami dalam kereta, pulang ke Kedah dari KMB setelah aku tamat belajar disitu sekitar 2004.

Aku memandang kosong ke luar tingkap kereta. Warna merah senja masih lagi di situ, belum pudar.

Cantik!
“Ma…malaih lah. Kalau boleh oghang nak gheja macam Tu’ai, jadi maintainer kat kelab bowling kat City Plaza tu. Best sket” aku menjawab malas sambil mataku menjeling kepada Tu’ai, adikku di sebelah. Fikirku, bolehlah kami keluar petang ke tempat kerja, dan balik awal pagi. Sambil-sambil tu bolehlah merewang ke tengah-tengah bandar Alor Setar sebelum balik ke rumah. Bila lagi?

“Hang jangan nak menggatai. Mama dah habaq dah kat Cikgu Cek Puteh. Esok lusa hang pi daftaq kat sekolah tu” mak aku membantah.

“Laa…ingatkan nak bagi option tadi. Rupa-rupanya arahan mandatori” cetus hati aku.

Merah senja di luar tingkap makin pudar. Lebuh raya PLUS nampak kosong. Seperti fikiran aku yang kosong.
“Apa aku nak buat kat sekolah tu nanti? Dah la kena mengajaq Bahasa Inggeris. Tingkatan 4 ngan 5 plak tu. Sastera lagi. Mampoih.” Hati aku terus merungut tak puas hati. Tapi apa boleh buat, arahan mandatori…

Habis takat tu…

Bermula episod diri aku diberi peluang mengenali sendiri apakah erti perjuangan memartabatkan anak bangsa dari kaca mata seorang guru, yang dikerah mendidik pelajar luar bandar. (kalau boleh aku katakan, sekolah yang aku pergi ini adalah sekolah yang lagi luar daripada ‘luar Bandar’. Maknanya sangat sangat terpencil).

Aku menjadi cikgu ganti, menggantikan seorang guru lain yang cuti bersalin. Dan sekali sekala aku masuk ke kelas-kelas tingkatan yang lain, menjenguk apa yang pelajar-pelajar di sana sedang buat sewaktu ketiadaan guru.

Biar aku ceritakan…

1. Biasalah, sesi perkenalan menjadi modal utama untuk cikgu baru macam aku untuk ‘skip’ hari pertama daripada kena mengajar. Ni yang berlaku di sebuah kelas tingkatan 5 Sains 1.
“ Ok class, My name is Haikal. Your new English teacher here, for 2 months bla..bla..bla” Now I would like to know each of you before I begin my lesson. Please state your name, ambition and where are u from. Ok. let us start from u”
“ err…sir. Saya tak pandai cakap Inglis. Bahasa Melayu buleh dak?”
Aku jawab “ Cuba, takpa salah pun. saya pun bukan pandai cakap omputih”
“ I is Syahrul (nama rekaan)”. Yang lain saya tak gheti sir”
“Ok takpa…teruskan. Saya tanya tadi cita-cita dan tinggai kat mana”

Dalam hati “mampoih, macam mana aku nak mengajaq dalam BI ni? Kalau kelas 5 sains 1 pun tak berapa gheti BI?”

2. Ada satu hari tu, aku kena masuk ke kelas tingkatan satu. Cikgu yang sepatutnya berada dalam kelas tu tak datang. Sekali lagi, sesi berkenalan, sebab aku memang tak disuruh mengajar pun.
“ Nama saya cikgu Haikal. Saya masuk mai ganti cikgu Sharifah. Saja nak berkenalan dengan kamu semua. Soghang-soghang bangun dan habaq nama dgn cita-cita. Hah kamu…mula”
“ Nama saya Rosdi. Cita-cita nak jadi..emm…perbaik gheta Sir. Pak saya ada kedai pomen gheta kat pekan”

“OK takpa, kamu” aku menuding pada seorang pelajar yang berdiri kat pintu, gaya macam nak lari keluar dari kelas.
“ Saya…nama Ku Nazim Sir. Cita-citaku nak jaga lemu pak ku” (memang disebut LEMU, bukan lembu). Jawab Nazim serius dalam loghat Kedah hulu yang pekat. Lembu pun kedengaran lemu. Saya diganti dengan Ku…bahasa diri kebiasaan bagi orang-orang kampung kat tempat aku.
“Sebab apa nak jaga lembu?”
“Ku tak tu dey. Pak ku banyak lemu. Dia pun dok sughuh ku jaga lemu dia”`
“ Oo…ya ka?” aku menyetujui kata-katanya

Dalam hati “ Bertuah betul orang bandar. Anak-anak semuanya bercita-cita tinggi. Nak jadi doktor. Saintis. Paling koman pun Polis. Tapi kat sini. Cukuplah kalau boleh warisi apa yang bapak depa ada. Mungkin depa ni masih naif…tapi kalau dibandingkan dengan anak Bandar yang sebaya, depa ni jauh naif. Seolah-olah tiada langsung cita-cita”

Dan memang benar, pelajar-pelajar di sini memang datang ke sekolah bukan kerana ingin belajar. Tetapi kerana ingin berjumpa kawan-kawan. Itu sahaja dorongan mereka utk terus berada di sekolah dari jam 730 hingga jam 2 petang. Dan peluang daripada kedatangan mereka ke sekolah itulah yang digunakan oleh guru-guru untuk menumpahkan ilmu yang sedikit buat bekalan anak bangsa ini.

Lalu…bagaimana ingin mempunyai cita-cita?

3. Aku diberi amanah untuk menanda kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dan English in Science and Technology (EST). Tingkatan 4 dan 5.

Untuk tingkatan 4…semua fail untuk 2 mata pelajaran yang aku tandakan tu.
Untuk tingkatan 5…ada seorang 2 sahaja yang luluih ataih pagaq untuk subjek EST. Untuk Bahasa Inggeris, ramai jugak yang lulus. Tetapi sekadar lulus. Tak lebih dari itu. Itu pun…aku kena jadi seorang pemeriksa yang sangat bermurah hati.

Bila ditanya kepada guru-guru lain tentang perkara itu “ Hah…besa la tu. Budak-budak sini bukan gheti BI. Lepa (Depa/mereka) bukan mau pun belajaq BI. Sabit tu (sebab tu) kalau hang tengok budak-budak yang ambik Sains dgn Math dalam BI kat sekolah ni semua tak luluih. Habuk pun takdak” kata seorang cikgu lelaki, sambil menghisap rokok daun yang digulung sendiri, sewaktu kami bersembang di kantin.

“ Kalau dulu, waktu dua-dua subjek ni lepa ajaq dalam BM pun student tak pandai. Ni pulak nak mengajaq dalam BI. Punah anak bangsa hang tau dak Haikal. Lepa ni orang kampung. Satu hapa pun depa tak gheti. Lagi nak suruh belajaq dalam BI. Apa punya otak pun aku tak tau” sambung cikgu itu dalam nada kesal bercampur geram. Ada juak-juak meluat di mukanya.

“PUNAH ANAK BANGSA” terngiang lagi perkataan tu dalam fikiran aku sampai sekarang.

4. Satu hari tu, aku masuk mengajaq BI kat dalam kelas tingkatan 4 Perdagangan. Ada 4 orang pelajar lelaki sewaktu aku sedang mengajar di depan, depa dok berkumpul 4 orang dalam satu bulatan kat belakang.

“ Tu kat belakang, hangpa tengah buat apa tu” Aku dah tak cakap Inggeris lagi dah dalam kelas (Pelik kan. Mengajar bahasa inggeris dalam bahasa melayu. Tapi apa boleh buat... Payah. Susah. Kesian dengan mereka yang tak faham apa-apa)

Ada budak lain yang tolong jawabkan soalan aku tu, tapi dalam keadaan yang separuh berbisik:
“ Depa tengah main Sing-Kong Sir”
“Menatang apa tu?” aku bertanya kehairanan.
“Judi” (Sing-kong: lambung duit syiling, pastu pakat-pakat teka kepala ka ekoq. Sapa betoi dia dapat duit syiling tu)
“ Budak-budak kat belakang…baik hangpa berenti sebelum saya panggil PK HEM. Kalau tak mau belajaq, Hangpa dok diam-diam kat belakang. Tidoq!” tegas aku dalam nada separuh bengang.

“Ok sir” jawab seorang dari mereka dalam keadaan senyum. Aku hanya mampu geleng kepala dan teruskan pengajaran “Mari Mengenal Bahasa Inggeris”

“Ok kelas…kalau I…padan dengan Am”
“I am”
“kalau he atau she yang maksudnya Dia…padan dengan Is”
“He is”

Itu antara situasi-situasi yang berlaku di luar Bandar. Ops…di luar lagi daripada luar bandar. Sekolah tempat aku mengajar tu, ada antaranya pelajar Siam. Memang di utara Kedah ramai orang Siam dan anak-anak mereka ini dihantar ke sekolah-sekolah kerajaan, macam juga orang melayu.

Kesimpulan mengenai system pendidikan Malaysia:

1. Hancur.
Sistem pendidikan yang hanya memihak kepada orang di bandar memang hancur. Dulu, bolehlah pelajar-pelajar luar bandar ni dapat walaupun sedikit ilmu sains dan matematik kerana mereka faham apa yang diajar sebab diajar dalam bahasa ibunda mereka. Sekarang? Tak dak!
Alasannya adalah untuk mewujudkan semangat persaingan. Kalau tak dipaksa, mereka tak akan belajar. ITU ALASAN SEMATA-MATA.

Berpijaklah ke bumi yang nyata wahai menteri-menteri terutamanya Menteri Pelajaranku! Cuba kalau hangpa yang datang mengajar di sekolah tu. Hangpa akan jadi tertekan seperti juga guru-guru di situ. Malah sepatutnya lebih lagi. Sebab hangpa menteri yang bertanggungjawab atas apa yang terjadi. Budak-budak di sekolah hilang langsung minat untuk belajaq sains dan matematik. Sampaikan soalan 4 divide by 2 equals? pun…terkial-kial nak kena cari makna divide dan equal dulu.

2. Tak adil.
Cikgu-cikgu di luar bandar dikerah melakukan macam-macam. Buat kelas tambahan itu ini. Pelajar bukan datang pun. Sebab mereka tak mahu.

Sebab apa tak mahu?
Sebab meraka tahu mereka tak akan lulus. Sebab mereka tahu, mereka akan hanya masuk paling tinggi pun ke politeknik. Sebab mereka tahu, mereka tak akan ke mana. Tiada universiti dalam hidup mereka. Tiada obersi. Tiada. Tiada. Tiada.

Sebab apa mereka sebegitu, begitu pessimistic?
Sebab mereka tak mampu. Nak cari guru tuisyen macam orang Bandar? Nak beli buku ulangkaji 2 3 buah? Mana nak cari duit?

Ayah buat bendang, tu pun tumpang bendang orang lain. Mak menoreh getah. Tu pun pokok getah orang lain. Abang gheja pomen gheta. Tu pun kat kedai pomen orang lain. Mana ada duit?

Apa yang mereka ada?
Mereka ada kelas tambahan di sekolah yang jadi tenaga pengajarnya adalah cikgu-cikgu sekolah tu jugak. Yang pagi tadinya mengajar dalam kelas, dan mereka tak faham. Petang, bila buat kelas tambahan, cikgu yang sama jugak. Mestilah tak faham jugak.
“Habeh tu, buat apa aku mai kelas tambahan?”

3. Mengarut.
Tok-tok menteri…saya nak tanya. Ada dak hangpa hantaq anak-anak hangpa mengaji kat sekolah kerajaan macam yang kat atas? Paling koman pun, SBP. Paling koman pun MRSM. Dan yang paling menarik…pak menteri yang dok push supaya system yang ada sekarang ni diteruskan pun hantaq anak belajaq kat sekolah swasta.

Tolonglah pak menteri. Berpijaklah di bumi nyata. Takkan bila hari ni Bahasa Inggeris menguasai dunia, kita belajaq Sains matematik dalam BI. Esok lusa kalau bahasa Cina naik jadi bahasa utama dunia? Waktu tu hangpa terketaq-ketaq nak suruh orang melayu belajaq sains matematik dalam Bahasa Cina? Tak ka bercelaru system pendidikan Malaysia waktu tu
Kita ada golongan luar Bandar yang mereka nak juga pandai sebagaimana orang-orang di Bandar. Tapi mereka kurang kemampuan. Janganlah aniaya mereka. Kalau menteri sendiri pun tak hantar anak belajar di sekolah kerajaan…tidakkah itu mengarut???

Sedikit pengalaman manis:

1. “Sir…awat cepat sangat sir mengajaq kat sini? La ni baru kami rasa seronok sikit belajaq English.”

2. “Sir. Lepaih sir keluaq dari sekolah ni…saya malaih mai sekolah lagi dah.Tak best dah lepaih nih”

3. “Sir, nanti kalau sir dah pi obersi, jangan lupa hantaq gambaq sir kat kami naa. Kami nak pi…mesti tak buleh punya. Tengok gambaq sir main salji pun kami dah rasa best. Sir jangan lupa naa.”

4. “Sir, nak ambik gambaq dgn Sir. Nanti takdak la kami teringat selalu kat sir”

5. “Ni sir…hadiah daripada kami. Kami share duit ramai-ramai ni sir” (menitis air mata aku bila aku bukak kotak hadiah tu…hadiahnya hanyalah sebuah jam loceng yang baru semalam aku nampak ada dijual di pekan nat (pekan sehari)…harganya hanyalah sekitar RM2. Moga Allah sahaja yang mampu balas keikhlasan kamu semua anak-anak muridku)

5. “Sir…ni ada sorang budak dia lukih gambaq sir. Tapi dia malu nak bagi sendiri kat Sir”
“Mana dia?” aku tanya kembali.
“Dia tak mau mai sekolah hari ni…dia sedih”

6. “Ok kelas, hari ini hari last saya ajaq hangpa kat sini. Insha Allah kita jumpa lagi. Kalau sapa-sapa nak kontek saya, saya bagi alamat emel. Kalau ada yang pi CC (cyber cafĂ©) kat pekan tu nanti, tulih la emel kat saya. Tulih dalam bahasa Inggeris tau. Biaq salah pun takpa. Kalau dak…saya tak mau layan”

Dan sehingga ke hari ini…memang ada yang menulis pada aku…tapi dalam BI yang dhaif. Takpalah…semangat kalian aku hargai.

Dan ada juga pengalaman-pengalaman lain…yang tak manis diceritakan di sini. maklumlah…cikgu muda katakan.

Nik Nur Madihah peroleh 20 A

KOTA BHARU 12 Mac - Anak seorang nelayan, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah di negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara yang paling cemerlang di seluruh negara dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.

Nik Nur Madihah juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk dia mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.

Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa dekat sini itu bercita-cita menjadi ahli fizik dan kejayaan tersebut adalah hadiah istimewa untuk ibu bapanya di samping guru-guru sekolahnya.

Ayahnya, Nik Mohd. Kamal Husin, 41, hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM700 sebulan dan bagi meringankan bebanan keluarga, ibunya, Mariani Omar, 42, pula bekerja sebagai pencuci di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

''Saya tidak ikut kelas tambahan di luar sekolah, hanya tumpukan perhatian pada apa yang boleh ditimba di sekolah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, dia menjadikan kejayaan pelajar cemerlang negara, Azali Azlan yang memperoleh 21 A dalam keputusan SPM tahun 2007 sebagai pembakar semangat.

Nur Madihah memperoleh 1A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Kesusasteraan Melayu dan Geografi.

Dia turut mendapat A1 dalam Bahasa Arab Tinggi, Matematik Tambahan, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, English for Science and Technology (EST) dan mendapat satu 2A dalam Biologi.

Nur Madihah cuma menyasarkan A bagi 18 mata pelajaran dan bersyukur kerana dia mampu melakukan sesuatu yang lebih baik walaupun tidak dapat memecah rekod Azali Azlan, bekas pelajar SMK Agama Yan, Kedah yang memperoleh 20 1A dan satu 2A.

Keputusan SPM Nik Nur Madihah bagaimanapun telah mengatasi rekod yang dipegang oleh dua pelajar cemerlang SPM 2006 di peringkat negara iaitu Nadiah Amirah Jamil dan Siti Fatimah Mukhtar.

Siti Fatimah yang belajar di sekolah yang sama dengan Nur Madihah, memperoleh keputusan 18 A dengan 17 1A dan 1 2A pada 2006 sekali gus mencatat sejarah pencapaian tertinggi di Kelantan pada tahun itu.

Ditanya tentang pencapaiannya itu, Nur Madihah memberitahu, dia tidak mempunyai jadual waktu yang tetap.

''Saya belajar setiap masa yang terluang dan belajar apabila terasa mahu belajar tanpa terpaksa atau dipaksa," ujarnya yang memperoleh 9 A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dua tahun lalu.

Dia yang bercadang melanjutkan pengajian di Asia Barat memilih jurusan fizik kerana mendapati kurang orang Melayu menerokai bidang tersebut.

Buli bertentangan dengan Islam

PADA suatu pagi, melalui satu siaran radio, seorang ibu berkongsi pengalaman anak lelakinya terpaksa pindah sekolah akibat menjadi mangsa buli secara beramai-ramai.

Tetapi sebelum itu, beliau melahirkan kekesalan iaitu ketika kesemua ibu bapa pelajar terlibat dipanggil hadir memberi keterangan di balai polis, seorang ibu kepada yang membuli anaknya sempat menyerangnya dengan pelbagai kata yang nista dan kurang manis di balai itu.

Si penyerang marah dengan tindakan beliau yang mahu kejadian buli ini dibawa ke pihak berkuasa yang boleh menyebabkan masa depan anaknya terjejas.

"Saya sungguh terkejut dengan tindakan ibu kepada salah seorang pelajar yang membuli anak saya itu. Saya tidak mengharap tetapi sepatutnya dia meminta maaf atas tindakan ganas anaknya itu.

"Tetapi saya pula menjadi mangsa kemarahannya. Namun yang lebih dikesali sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka yang membuli anak saya itu, baik di peringkat sekolah, kementerian termasuk apabila laporan polis dibuat. Kes jadi senyap begitu sahaja, sedangkan kesan trauma yang dialami oleh anak dan kami sekeluarga sehingga kini masih lagi dirasai," katanya.

Kita hanya mampu mendengarkan luahan seperti ini walaupun mungkin si pemanggil sedikit sebanyak berasa lega kerana dapat mengurangkan tekanan di dada apabila dapat meluahkan segala yang terbuku di hati.

Tetapi hakikatnya di luar sana, kes-kes seperti ini kini tidak lagi seperti satu penyakit. Sebaliknya seperti kian membarah apabila semakin kerap pelbagai tragedi buli dilaporkan.

Malah hakikat yang lebih pedih walaupun mungkin tidak benar, tetapi penglibatan para pelajar Melayu atau lebih tepat lagi beragama Islam dilihat begitu menjuarai kes-kes buli ini.

Ini termasuk mencederakan pelajar lain menggunakan senjata tajam seperti lawi ayam, adakah pelajar yang membawa senjata ini berada zon perang atau sedang berlatih seni mempertahankan diri?

Pensyarah Pengajian Umum Universiti Kuala Lumpur Malaysia (UniKL), Norsazali Abdullah berkata, buli ditakrifkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang.

"Seperti yang ditakrifkan oleh Hazler & Hoover (1993), tingkah laku ini berlaku berkali-kali sehingga menjadi satu budaya yang zalim, yang menyebabkan mangsanya mengalami gangguan mental dan fizikal yang berterusan.

"Apatah lagi jika ia berlaku di kalangan pelajar sekolah yang sepatutnya memanfaatkan masa muda mereka dengan menuntut ilmu," katanya.

Namun soal beliau, mengapa gejala buli ini masih berlaku di kalangan pelajar kita? Adakah kerana ibu bapa tidak menyemaikan rasa kasih sayang kepada anak-anaknya supaya anak-anak itu sentiasa berkasih sayang terhadap orang lain?

"Atau pihak sekolah, guru-guru dan pendidik tidak menekankan soal hormat menghormati, menghargai orang lain dan tanggungjawab terhadap dirinya dan kawan," katanya.

Persoalan-persoalan ini seperti ini timbul kerana apabila kes buli, ia saling berkaitan dan menyentuh kepada banyak pihak.

"Hanya melalui kerjasama banyak ini sahajalah, masalah ini buli boleh dikekang malah sebenarnya dapat terus dibanteras," katanya.

Pun begitu, Noorsazali melihat hubungan antara pelajar yang senior dengan junior perlu diserasikan oleh pihak sekolah. Ia agar hubungan awal ini terbentuk dan terjalin dengan kasih sayang, kemesraan, saling menghormati dalam satu ikatan ukhuwah yang terjalin erat.

"Bukan menyimpan perasaan bangga diri atau ego sebagai senior. Pelajar senior sepatutnya menjadi contoh kepada pelajar junior yang baru memasuki alam hidup di asrama atau hidup berdikari," katanya.

Menurutnya, buli pada pandangan Islam adalah sesuatu yang amat bertentangan dengan naluri dan fitrah kejadian manusia di sisi Allah SWT.

"Islam bererti sejahtera dan salah satu sifat orang Islam ialah dia tidak memberi masalah kepada saudara seIslamnya yang lain seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: Orang Islam ialah orang yang saudara seIslamnya merasa aman daripada gangguan lidah dan tangannya," katanya.

Bahkan katanya, tiada satu agama pun di dunia ini yang mengizinkan kita menyakiti, mencederakan dan membunuh seseorang tanpa sebab yang tertentu.

"Lantaran, penerapan sifat kasih sayang, tanggungjawab dan peranan diri dalam hidup bermasyarakat perlu dipupuk dalam setiap diri pelajar sehingga merasakan dirinya tidak boleh hidup tanpa bantuan serta pertolongan orang lain.

"Dalam masa yang sama, sifat-sifat iblis dan syaitan seperti angkuh, sombong, besar diri itu perlu dibuangkan dalam diri agar kita menjadi seorang yang rendah diri sesuai dengan gelaran yang kita pegang iaitu sebagai khalifah dan hamba Allah," katanya.

Namun pokok pangkalnya tegas beliau, pendidikan agama dalam keluarga perlu diperkukuhkan agar anak-anak kita sentiasa berpegang dengan tatasusila dan akhlak Islam sama ada sesama rakan sebaya mahupun orang yang lebih dewasa.

"Namun apabila kes buli berlaku di sekolah agama, apakah pendidikan agama yang mereka perolehi di sekolah itu masih tidak cukup untuk menjadikan pelajar itu seorang yang baik dan tahu menghormati hak orang lain? Untuk menjawab persoalan ini, satu kajian perlu dilaksanakan dengan teliti bagi mendapatkan jawapan yang terbaik," katanya.

Jelas beliau, pendidikan yang disampaikan oleh para guru dan pendidik di sekolah agama begitu hebat sekali, ditambah pula dengan kem motivasi hujung minggu atau motivasi musim cuti persekolahan yang menekankan kemantapan rohani pada diri pelajar ini.

"Namun perlu kita melihat bagaimana pula dengan faktor persekitarannya, kerenah ibu bapa pelajar ini di rumah, ajakan dan godaan rakan sebaya yang sekali gus ia telah mengenepikan segala pendidikan baik yang diperolehi oleh pelajar ini.

"Pendidikan adalah satu proses yang panjang dan tidak boleh disamakan dengan kita membuat kuih yang masukkan tepung dalam acuan, maka ia akan mengikut acuan itu sepenuhnya tanpa ada kecacatan dan kekurangan," tambah Norsazali.

Imam al-Ghazali pula mengatakan pendidikan itu ialah mengeluarkan perangai yang buruk yang ada pada manusia dan menyemaikan perangai dan sifat yang baik.

Menurut beliau lagi, seseorang pelajar yang nakal akan cukup hormat kepada guru atau wardennya apabila kenakalannya itu dilayan dengan proses pendidikan yang penuh hikmah.

"Kekerasan dan kegarangan guru tidak semestinya dapat menyelesaikan masalah, bahkan kita bimbang, pelajar ini hanya akan hormat di depan guru, sebaliknya menyimpan perasaan dendam di belakang gurunya.

"Ketegasan dan hikmah dalam memberi teguran amat penting agar pelajar tidak merasa dirinya demoralise atau dimalukan dikhalayak ramai. Pujian dan kata-kata semangat yang diiringi dengan nada keinsafan dari seorang pendidik atau guru amat penting bagi memberikan kesedaran kepada pelajar-pelajarnya," katanya.

Saturday, March 7, 2009

Selesai Segera

PM jamin ambil kira desakan rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bagi mengelakkan isu lebih besar tercetus.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari ada desakan kuat daripada rakyat, khususnya orang Melayu supaya isu PPSMI diselesaikan segera.


"Isu PPSMI ini sudah menjadi isu yang besar dan sensitif. Kerajaan mengakui desakan rakyat dan mengambil perhatian terhadapnya.

"Saya berharap Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera kerana jika tidak, tekanan dan tindakan NGO (badan bukan kerajaan) akan berterusan dan menjadi lebih besar lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan novel fantasi Dragonfire Hammer karya penulis muda berusia 14 tahun, Adam Umemoto, di sini semalam.

Petang semalam, perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI di ibu kota yang disertai ribuan penyokong, bertukar kecoh apabila kumpulan berkenaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan, walaupun Polis Kuala Lumpur sebelum ini hanya membenarkan mereka berkumpul di Masjid Negara.

Kumpulan terbabit yang pada awalnya berkumpul di perkarangan masjid berkenaan, Pasar Seni dan Kompleks Sogo, untuk mengadakan bantahan secara aman, mengingkari arahan polis dengan berarak beramai-ramai ke arah Istana Negara.

Bagaimanapun, selepas keadaan terkawal, Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said serta beberapa ahli jawatankuasa lain, dibenar menyerahkan memorandum itu kepada wakil Istana Negara.

Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran sudah menemui beberapa NGO berhubung isu berkenaan, tetapi beliau difahamkan kementerian belum bersedia mengumumkan keputusan yang akan diambil.

Katanya, kajian mengenai pelaksanaan PPSMI sudah dilakukan Kementerian Pelajaran, termasuk mengambil kira keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Saya percaya keputusan peperiksaan itu akan memberi asas kepada Kementerian Pelajaran untuk membuat keputusan. Saya percaya keputusan itu akan mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kertas Kabinet PPSMI sudah siap untuk dibawa kepada Jemaah Menteri dengan menjurus melihat dasar pelaksanaan di peringkat sekolah rendah dan kawasan luar bandar.

"Pandangan mereka (pakar pendidikan dan pencinta bahasa) yang sudah diluahkan pada sesi meja bulat dan melalui memorandum, adalah pandangan yang boleh dan sudah kita ambil kira.

"Sekali lagi menjadi tanda tanya, mengapa enam tahun selepas pelaksanaannya baru hendak buat laporan polis dan mempertikaikan perkara ini dalam konteks Perlembagaan. Selepas enam tahun baru hendak buat perhimpunan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu bila kertas Kabinet itu akan dibincangkan Jemaah Menteri.

Hishammuddin berkata, apa pun keputusan Kabinet, pelaksanaannya hanya boleh dilakukan tahun depan bermula dengan murid Tahun Satu.

Beliau berkata, pihak yang terbabit membangkitkan isu PPSMI perlu berhenti seketika melihat keadaan sebenar yang berlaku di negara ini dan tanya siapa sebenarnya menimbulkan isu berkenaan.

Rujukan di sini

Guru adalah pendidik, bukannya polis

Isu membuli di sekolah kembali mendapat tempat dalam media massa selepas video membuli pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Oya, Sarawak disiarkan dalam Youtube.

Rentetan dari peristiwa itu, timbul pelbagai cadangan sama ada dari jabatan kerajaan, individu atau pertubuhan bukan kerajaan mengenai langkah-langkah yang pelu diambil bagi mengatasi masalah ini.

Sementara keprihatinan masyarakat dalam isu ini adalah baik, namun sikap segelintir anggota masyarakat yang tidak memahami gejala buli dan menyamakannya dengan gangsterisme adalah tidak wajar.

Gangster merujuk kepada penjenayah yang menjadi ahli sesuatu kumpulan jenayah. Tentulah tidak wajar untuk melabelkan pelajar yang melakukan salah laku disiplin di sekolah sebagai penjenayah.

Kita harus memahami bahawa buli ialah satu fenomena global. Buli bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi juga di sekolah-sekolah di luar negara. Dianggarkan seramai 30 peratus pelajar sekolah di Amerika Syarikat pernah membuli atau menjadi mangsa buli. Sementara, seramai 20% pelajar di Australia dilaporkan terlibat dalam gejala ini.

Isu ini menarik minat pelbagai pihak untuk mengkaji. Penyelidik-penyelidik di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), umpamanya, telah membangunkan indeks bagi mengukur perlakuan buli di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini.

Usaha ini adalah baik kerana ia membolehkan masyarakat melihat isu membuli ini secara rasional dan sistematik. Kementerian Pelajaran sewajarnya memanfaatkan kepakaran ini untuk membantu menangani kes-kes buli; sama ada yang dilaporkan dalam media massa atau sebaliknya.

Secara ringkasnya, buli ialah merupakan satu bentuk penyalahgunaan (abuse). Buli boleh berlaku dalam bentuk langsung (direct) seperti ejekan, ugutan, tekanan atau tindakan fizikal. Selain itu, buli juga boleh berlaku dalam bentuk yang tidak langsung (indirect) yang menyebabkan seseorang pelajar terpinggir dari kawan-kawannya.

Pelajar lelaki secara tipikal terlibat dalam buli berbentuk langsung, manakala pelajar perempuan membuli dengan cara tidak langsung seperti menyebarkan gosip atau melakukan pemisahan sosial (social isolation).

Seseorang menjadi pembuli kerana marahkan sesuatu, pernah dibuli, mempunyai keyakinan diri yang rendah, ingin berasa hebat dengan mengawal orang lain dan pelbagai faktor lagi.

Mangsa buli pula mempunyai ciri-ciri seperti malu, sensitif atau tidak yakin dengan diri sendiri. Dalam kes-kes tertentu, mereka menjadi mangsa disebabkan fizikal seperti gemuk, berbadan kecil atau kecacatan fizikal.

Walau apa pun kaedah membuli dan siapa yang menjadi mangsa buli, ia memberikan kesan psikologi yang mendalam kepada pelajar. Atas sebab itulah maka gejala membuli ini harus ditangani dengan bijak oleh ibu bapa dan pendidik.

Sementara hukuman keras boleh dipertimbangkan sebagai kaedah menangani buli, ia tidak semestinya merupakan satu pendekatan yang efektif. Dalam keadaan di mana hukuman tidak dilaksanakan secara yang adil dan dilihat adil, ia boleh meninggalkan kesan yang negatif kepada pelajar.

Lantaran itulah, maka ibu bapa dan pendidik disarankan untuk menerokai lain-lain pendekatan termasuklah kaedah pendidikan bagi menangani masalah buli ini.

Antara pendekatan yang boleh diambil ialah melengkapkan pelajar dengan skil komunikasi sosial yang baik. Salah satu kritikan yang diberikan terhadap Generasi Y dan Generasi Z (rata-rata mereka merupakan pelajar sekolah menengah dan rendah sekarang) ialah mereka kegersangan skil komunikasi sosial yang efektif.

Beberapa skil komunikasi sosial yang diperlukan ialah pengurusan konflik (conflict resolution), pengurusan kemarahan (anger resolution), skil asertif (assertive skills) dan skil perundingan (negotiation skills).

Skil yang disebutkan di atas boleh menyediakan pelajar yang berpotensi membuli atau bakal menjadi mangsa buli untuk menangani masalah tersebut.

Selain itu, pelajar juga harus dilibatkan dengan gaya hidup positif di dalam dan di luar persekitaran sekolah. Dengan cara ini, mereka akan terdedah kepada kehidupan yang lebih luas dan ini dapat membantu mematangkan pelajar.

Walaupun pelajar didedahkan kepada gaya hidup positif melalui aktiviti berstruktur sama ada kelab atau persatuan beruniform di sekolah, namun kelemahan yang ketara ialah aktiviti ini lebih berpusatkan kepada guru, bukannya pelajar. Dalam keadaan ini, aktiviti tersebut tidak banyak membantu pelajar menguasai skil-skil komunikasi sosial yang diperlukan.

Akhir sekali, pengurusan isu membuli ini haruslah dilihat dari perspektif yang betul. Ia bukanlah sesuatu yang berlaku secara bermusim, dan pelajar yang terlibat tidak wajar dilihat sebagai gangster yang harus dijatuhkan hukuman bunuh.

Seperti juga lain-lain salah laku pelajar, sebarang hukuman yang hendak dilaksanakan kepada pembuli hendaklah dengan penuh kasih-sayang dan bertujuan mendidik.

Guru bukanlah polis, pendakwa dan hakim. Mereka ialah pendidik!
Rujukan di sini

PPSMI Meningkatkan Masalah Disiplin Pelajar

Pelajar yang banyak menimbulkan masalah disiplin dalam kelas ialah pelajar yang tidak faham apa yang dipelajari semasa dalam kelas.

Apabila berada di dalam kelas dan tidak dapat memahami apa yang diajar oleh guru, maka mulalah mereka akan merasa bosan dan tertekan. Kerana itu perasaan mereka mula memberontak dan akhirnya mereka mudah terjerumus dengan masalah disiplin.

Sebelum PPSMI dilaksanakan hanya segelintir pelajar-pelajar yang tidak faham P&P dalam kelas yang menimbulkan masalah disiplin. Ini tidaklah menimbulkan masalah besar kepada guru-guru di sekolah berkenaan.

Disebaliknya apabila PPSMI dilaksanakan, bilangan pelajar yang tidak faham dalam bilik darjah telah meningkat dengan ketara sekali. Secara tidak langsung bilangan pelajar yang menimbulkan masalah disiplin dalam kelas akan meningkat dengan mendadak sekali.

Kesan daripada itu, di pihak guru-guru juga akan mengalami masalah sampingan yang memeningkan kepala mereka. Ini kerana mereka tiada kemampuan untuk mengawal pelajar-pelajar lagi. Akhirnya guru-guru mengambil keputusan hanya mengajar mana-mana yang mereka mampu sahaja. Dalam hati guru-guru berkenaan akan berkata..."Kau orang nak ikut ka atau tak nak ikut ka, lantaklah kau orang. Aku pun dah tidak boleh paksa".

Orang Inggeris pun belajar sains dan matematik daripada buku-buku Yunani yang ditulis dalam bahasa Latin, tetapi P&P mereka tetap dijalankan dengan menggunakan bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Inggeris. Padahal guru-guru mereka adalah orang Yunani yang memiliki dan menguasai bahasa Latin.

Orang Inggeris sendiri pun tidak mampu belajar sains & matematik dalam bahasa asing (bahasa latin adalah bahasa Ilmu pada masa itu). Jika tidak percaya, sila rujuk Sejarah Eropah dizaman gelap dan zaman Reinassance.
Kedah Lanie