Wednesday, March 31, 2010

Mencemburui gaji guru

SAYA mencemburui guru muda kerana gaji permulaan mereka sekarang berada dalam ranking ketiga selepas doktor dan jurutera awam. Dengan gaji permulaan sebanyak RM2,500 hingga RM2,700 - termasuk beberapa elaun - maka gaji pokok mereka sebenarnya mengatasi sebahagian besar pendapatan eksekutif syarikat swasta.

Kalau di pedalaman, mereka cuci kaki kerana kerajaan menyediakan rumah, televisyen katil tilam, dapur, malah khabarnya set televisyen dan 'mangkuk' Astro di bumbung! Bukan itu sahaja, guru juga ada elaun khas, dengan jumlahnya bergantung kepada tafsiran pedalaman tempat mereka mengajar.

Memang mereka bekerja keras. Tetapi, seribu satu pengumuman tentang kenaikan, elaun, kebajikan, kemuliaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan guru sepatutnya telah meletakkan profesion itu pada tahap yang sepatutnya sekarang.

Seperti kata Abraham Lincoln: ''Jangan fikir apa yang negara boleh beri kepada kita, tetapi fikirkanlah apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara."

Maksud tokoh itu, jangan seperti seekor burung yang keluar pagi balik petang, sekadar mahu mengisi perut sendiri dan untuk anak-anaknya. Berfikirlah lebih daripada itu. Perjuangan lebih penting.

Jadi, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bersemuka dengan ahli kesatuan dan beberapa guru yang terlalu ghairah memperjuangkan nasib guru, maka saya ingin mengingatkan 'kepala-kepala' persatuan dan kesatuan ini supaya bersedia dengan fakta dan hujah yang waras dan logik atau laras senapang mungkin akan menghala ke arah kepala anda sendiri!

Dua isu besar yang selalu dibangkitkan ialah kerja perkeranian nan remeh temeh sehingga menambah beban seorang guru, dan kedua kenaikan gred atau mata gaji yang terlalu lembap oleh guru, apabila dibandingkan dengan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Memang isu yang pertama selalu bermain di bibir, tetapi tidak ada kes, data atau contoh yang boleh dijadikan asas kukuh untuk Kementerian Pelajaran melakukan tindakan susulan.

Kita perlu perhalusi bukti dan fakta. Kalau dikatakan kerja berlebihan, maka kerja lebih yang bagaimana, apa dan di mana? Nyatakan bukti dan skop. Lakukan analisis keperluan atau analisis jurang profesion. Kemukakan kertas lengkap kepada pejabat Menteri Pelajaran.

Apakah berlebihan seandainya seorang guru diminta membuat plan tindakan kecemerlangan pelajar kalau pelan itu boleh membantu meningkatkan prestasi sesebuah sekolah?

Kini sudah terdapat seramai 400,000 guru yang mendidik anak-anak kita di seluruh negara. Dalam setandan, ada sebiji yang rosak. Bukan semua. Kita faham benar dengan kekecewaan guru khususnya apabila isu tentang kenaikan gaji yang lembap disuarakan.

Memang benar kenaikan sebahagian besar gaji memang lembap berbanding PTD. Seorang ibu yang sudah 25 tahun menjadi guru mungkin baru menikmati mata gaji DG48, berbanding anaknya, pegawai PTD yang baru lima tahun berkhidmat sudah menikmati tangga gaji itu.

Untunglah kalangan guru yang cepat naik pangkat, kerana cepat jugalah kenaikan tangga gaji mereka. Bagi yang di bawah Khusus Untuk Penyandang (KUP) atau mengikut tempoh perkhidmatan, maka terpaksalah menunggu sehingga beranak, bercucu dan bercicit.

Tetapi perlulah juga diingatkan bahawa bagi setiap kenaikan gaji, maka ada beban tanggungjawab yang menyusulinya.

Maksudnya, mereka ini mungkin perlu diikat dengan konsep bai'ah. Pengetua dan guru besar mungkin sudah biasa dengan konsep bai'ah, tetapi belum bagi guru.Di bawah konsep bai'ah, pengetua atau guru besar membuat perakuan dan bersetuju bahawa dalam tempoh tiga tahun perlu ada peningkatan prestasi di sekolah mereka mengajar. Jika gagal, mereka mungkin 'dipencenkan' lebih awal.

Sekarang, guru tidak mempunyai komitmen atau akujanji terhadap pencapaian prestasi. Hal ini mungkin menyebabkan mereka goyang kaki.

Memang kita faham benar akan beban kerja guru dan pada masa yang sama masyarakat menuntut guru melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa. Namun, kalau kita percaya bahawa perbuatan baik dan kerja yang ikhlas akan dibalas dengan perkara yang baik juga, maka pasti kepentingan perjuangan kita akan mengatasi habuan dunia yang sementara ini.

Rujukan di sini

Sunday, March 21, 2010

Pendekatan modular

KUALA LUMPUR 21 Mac - Sekolah dijangka menggunakan pendekatan modular dalam pembaharuan yang akan dilaksanakan bagi memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Pendekatan modular bagi kedua-dua bahasa ini akan memberi fokus dan menitikberatkan penguasaan literasi asas kemahiran bahasa dalam kalangan murid.

Kenyataan akhbar kepada Utusan Malaysia baru-baru ini memberitahu, pendekatan modular mengambil kira kaedah dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang bersepadu, seimbang dan holistik.

Setiap komponen dalam kemahiran bahasa, iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis mempunyai modulnya yang tersendiri, serta disokong dengan modul tatabahasa dan modul seni bahasa.

''Seperkara lagi yang diberi penekanan untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkasakan bahasa Inggeris adalah dengan memberi tumpuan kepada prinsip asas bahasa (back to basic)," ujar kenyataan tersebut.

Asas bahasa yang kukuh merupakan elemen terpenting bagi pembelajaran yang berkesan.

Kurikulum kedua-dua bahasa tersebut akan menitikberatkan pengukuhan penguasaan asas bahasa. Sebagai contoh, bagi pengukuhan penguasaan asas bahasa Inggeris akan dilakukan dengan memberi penekanan kepada phonics.

Pengenalan sistem bunyi yang dilakukan secara berstruktur dan sistematik melalui phonics berupaya memantapkan penguasaan asas bahasa murid.

Di samping perkara yang disebut tadi, pendekatan didik hibur dan menghargai bahasa akan diberi perhatian dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkasakan bahasa Inggeris.

Sebagai contoh, pengajaran dan pembelajaran melalui modul seni bahasa akan memberi tumpuan dan penekanan kepada pembelajaran yang menarik, kreatif, inovatif dan berkesan yang boleh dilakukan melalui pelbagai aktiviti berbahasa seperti nyanyian, berlakon, berpuisi, pengucapan awam, jazz chants, choral speaking, drama dan muzik.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran ini membolehkan murid belajar dalam suasana yang menyeronokkan, selesa dan tiada tekanan.

3,138 lulus STAM 2009

PUTRAJAYA 11 Mac - Sebanyak 66.9 peratus atau 3,138 daripada 4,694 calon yang menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) layak mendapat sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya lulus (maqbul).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, jumlah tersebut meningkat sedikit berbanding tahun lalu iaitu seramai 3,098 calon.

"Bagaimanapun jumlah mereka yang lulus cemerlang (mumtaz) menurun iaitu seramai 422 berbanding 562 tahun lalu.

"Jumlah mereka yang gagal pula adalah seramai 1,556 calon berbanding 1,584 pada tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan analisis keputusan SPM dan STAM 2009 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Alimuddin berkata, pencapaian pelajar dalam setiap mata pelajaran sangat membanggakan iaitu tujuh daripada 10 mata pelajaran yang ditawarkan menunjukkan peningkatan.

"Mereka yang mendapat pangkat lulus dalam peperiksaan ini layak mendapat tempat di Universiti Al-Azhar, Mesir dan beberapa universiti antarabangsa tempatan berkenaan yang lain," katanya.

Tahun 2009 merupakan tahun ke-10 STAM dilaksanakan mengikut kurikulum yang diambil daripada Maahad Bu'uth al-Islamiah, Al-Azhar dan menggunakan bahasa Arab sepenuhnya.
UTUSAN 12 MAC 2010

Tuesday, March 2, 2010

Guru Mungkin Diwajib Berkhidmat Di Sekolah Pendalaman

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mewajibkan guru berkhidmat di kawasan pedalaman antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya langkah itu penting bagi mengatasi masalah guru yang enggan mengajar di kawasan pedalaman walaupun kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif sebagai galakan.

"Saya berpendapat dalam tempoh 30 tahun perkhidmatan, mungkin tiga hingga lima tahun, mereka boleh berkhidmat di sekolah kawasan pedalaman sebagai satu kewajipan dan bukan sebagai satu pilihan," katanya dalam program wawancara 'Agenda Awani' siaran Asto Awani malam tadi.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata guru perlu mengambil cabaran itu sebagai satu bentuk khidmat negara kerana akan wujud kepincangan dalam sistem pendidikan negara sekiranya semua guru hanya mahu berkhidmat di bandar.

"Ini sebagai satu cabaran kepada guru untuk berkorban demi kepentingan negara dan berkhidmat di kawasan pendalaman yang memerlukan perkhidmatan mereka," katanya.

Dalam program selama 45 minit itu, Muhyiddin berkata beliau juga komited untuk mengembalikan kecemerlangan sukan di sekolah walaupun ia akan mengambil masa yang agak lama untuk direalisasikan.

Katanya walaupun terdapat sekolah-sekolah yang tidak menpunyai prasarana sukan yang mencukupi seperti padang, ia bukan alasan untuk mengetepikan kepentingan sukan yang juga menjadi faktor penting dalam pembentukan siasah pelajar.

Katanya sasaran itu boleh dicapai dengan kerjasama dari semua pihak termasuk dari badan-badan korporat, universiti dan juga masyarakat tempatan.

"Misalnya kita boleh memeterai perjanjian persefahaman dengan Majlis Olimpik Malaysia supaya mereka boleh memberi tenaga jurulatih untuk membimbing guru-guru sukan di sekolah.

Dalam soal memperkukuhkan pembelajaran dan penguasaan Bahasa Inggeris, katanya, seramai 362 orang tenaga pengajar dari United Kingdom, Australia dan Kanada akan dibawa masuk untuk mengajar Bahasa Inggeris di semua maktab perguruan mulai tahun depan.-BERNAMA