Monday, May 24, 2010

Cabaran bahasa di pedalaman

SEBAHAGIAN guru dari Semenanjung Malaysia yang menumpahkan bakti di Bumi Kenyalang.

MALAYSIA kaya dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya yang unik. Bahasa adalah salah satu cabang yang memperlihatkan kepelbagaian budaya masyarakat majmuk Malaysia.

Yang menariknya, bahasa bukan sahaja divariasikan mengikut bangsa, bahkan adakalanya dibezakan menerusi loghat mengikut daerah.

Sabah dan Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik juga mempunyai bahasa mereka mengikut suku kaum masing-masing.

Penggunaan loghat mengikut negeri dan etnik itu melambangkan identiti sesebuah masyarakat yang membolehkan seseorang individu itu dikenali apabila berkomunikasi dengan orang lain.

Namun, penggunaannya yang agak keterlaluan termasuk sewaktu mengikut kelas formal di sekolah amat membimbangkan.

Ini kerana keadaan itu menyebabkan segelintir pelajar sekolah tidak tahu menggunakan bahasa Melayu yang standard, bahkan menyukarkan proses pengajaran.

Perkara itu lazimnya berlaku kepada masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Bagi guru-guru dari Semenanjung Malaysia (Semenanjung) yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak, bahasa merupakan salah satu cabaran yang perlu ditempuhi kerana penguasaan bahasa berlainan mengehadkan proses pembelajaran antara murid dan guru.

Jika di Semenanjung, masalah komunikasi mungkin tidak begitu ketara, namun kepelbagaian etnik di Bumi Kenyalang contohnya membuatkan guru-guru di sana mengalami sedikit kesukaran untuk berinteraksi apabila para pelajar lebih selesa menggunakan bahasa ibunda mereka di sekolah.

Murid-murid dari kaum Iban umpamanya menggunakan bahasa ibunda mereka yang belum pernah didengar oleh guru-guru dari Semenanjung, apatah lagi untuk memahaminya.

Ini menyebabkan murid-murid gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana mereka sentiasa bercakap dalam bahasa Iban di rumah dan sekolah.

Hakikat itu diakui oleh guru-guru dari Semenanjung yang sedang bertugas di Sarawak terutama mereka yang baru berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ditertawakan pelajar

SEORANG guru sedang mengajar murid-murid daripada etnik Iban di Song, Sarawak.

Menceritakan masalah komunikasi itu, seorang guru dari Kedah, Azuad Chek Morat, 32, berkata, sejak tinggal di Song, Sarawak beliau seolah-olah berada di bumi asing kerana budaya hidup yang berlainan.

"Minggu pertama saya bertugas di sini, saya rasa agak janggal kerana tidak faham apa yang ditanya murid.

"Mereka bertanya dalam bahasa Iban, saya tidak faham tetapi saya cuba jelaskan dalam bahasa Melayu, namun saya ditertawakan kerana tidak menjawab soalan murid," katanya yang telah berkhidmat empat tahun di daerah terpencil itu.

Menurutnya, murid-murid tahap satu (tahun satu hingga tiga) kebiasaannya adalah kelompok yang tidak dapat berinteraksi dalam bahasa Melayu dengan baik.

Lebih teruk apabila ada ibu bapa yang datang ke sekolah untuk sesuatu urusan bertanya dalam bahasa Iban kepada guru-guru dari Semenanjung.

Bagi guru Sains, Norasyikin Dasuki, 26, masalah lain yang turut memberi cabaran kepada para guru termasuklah apabila berinteraksi dalam bahasa Inggeris.

"Saya tunjukkan gambar pepatung kepada murid tetapi mereka memberi jawapan chechawil (pepatung dalam bahasa Iban).

"Selepas menjelaskan dalam bahasa Inggeris, saya terpaksa memberi penerangan dalam bahasa Malaysia pula. Itu pun masih ada murid yang menghadapi masalah untuk memahaminya," kongsi Norasyikin.

Beliau berkata, guru-guru dari Semenanjung juga terpaksa meminta bantuan guru-guru tempatan atau pembantu pembangunan murid untuk menjelaskannya dalam bahasa Iban agar murid memahami apa yang diajar.

Sementara itu, Mohd. Yusoff Ibrahim, 27, memberitahu, masalah penggunaan bahasa ibunda di sekolah sukar dibendung kerana kebanyakan murid menetap di rumah panjang.

"Penduduk rumah panjang tidak menggunakan bahasa Melayu standard dalam pertuturan mereka, jadi ia memberi kesan kepada murid-murid sekolah," jelas beliau.

Walaupun dihambat dengan banyak cabaran sewaktu bertugas di pedalaman, namun ujar Mohd. Yusoff, ia tidak melemahkan semangat mereka untuk mendidik anak bangsa.

Apatah lagi sempena sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, semangat mereka tetap berkobar-kobar.

"Lantaran tidak mahu terlalu terikut-ikut membiarkan pelajar larut dengan bahasa ibunda masing-masing di kelas, seboleh-bolehnya kami menekankan interaksi dalam bahasa Melayu di sekolah," katanya.KOSMO 25 Mei 2010

Terapi Muzik

yalmizi.hamid@kosmo.com.my

MULANYA mereka malu-malu untuk tampil ke depan. Masing-masing menyorok di belakang ibu, ayah mahu pun jururawat yang bertugas. Namun, saat kerancakan alunan muzik memuncak mereka turut merasai keseronokan, bahkan ada yang melompat-lompat mengikut alunan irama.

Gelagat girang anak-anak cilik itu dapat dilihat di wad kanak-kanak Institut Jantung Negara (IJN) saat alunan lagu-lagu seperti Les Toreadors, Sukiyaki, March in B, Ala Canggung dan Rasa Sayang diperdengarkan melalui bunyi-bunyi lembut instrumen muzik.

Perasaan sayu dan sebak pastinya meruntun jiwa sesiapa sahaja yang melihat gelagat mereka. Kesakitan jelas terpampang melalui keadaan fizikal kanak-kanak itu dengan bibir kebiruan dan muka yang pucat. Namun, enggan emosi mereka turut larut dengan kesakitan itu, 13 orang pemuzik yang berjiwa murni mengukir senyuman pada wajah penghuni wad pediatrik tersebut dengan keindahan irama muzik.

Ketika Joost Christian Flach iaitu individu yang bertanggungjawab mengetuai barisan pemuzik terdiri daripada pelajar-pelajar Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mengangkat tangan tanda memulakan persembahan, kanak-kanak tersebut kelihatan sedikit keliru.

Mungkin mereka tertanya-tanya apakah yang akan dilakukan oleh lelaki Inggeris tersebut di tempat seperti itu.

Sejurus alatan muzik seperti bassoon, oboe, klarinet, french horn, flute dan double bass dialunkan bagi menerbitkan irama lagu Les Toreadors, mereka mula sedar bahawa kehadiran Flach bersama-sama anak didik MPO ke wad itu adalah untuk menceriakan hari mereka.

Kemuncak hiburan pada hari itu diakhiri dengan alunan lagu March in B, sebuah lagu yang sedikit rancak. Instrumen ringkas diberikan kepada kanak-kanak itu untuk turut bersama-sama memainkannya mengikut irama lagu tersebut.

KANAK-KANAK wad IJN teruja menyaksikan alat muzik double bass yang dimainkan oleh seorang pemuzik MPO.

Seusai lagu itu dimainkan, mereka belum puas. Ada yang memaksa untuk lagu itu diulang lagi. Flach sudah terbiasa situasi anak-anak kecil yang meminta agar persembahannya tidak dihentikan.

Lagu itu sekali lagi diulangmainkan oleh anak-anak didik MPO yang terdiri daripada empat pemuzik wanita dan tujuh lelaki itu sebagai tanda ingin melihat anak-anak itu terus mengukir tawa gembira.

Flach berkongsi rasa bahawa beliau sangat selesa melakukan kerja-kerja amal kepada golongan seperti itu, bahkan sejak mula menjejakkan kaki ke Asia Tenggara lagi beliau sering tampil melakukan persembahan amal.

"Muzik boleh memberi kesenangan kepada orang yang susah. Saya turut dapat merasai kesenangan mereka itu," kata lelaki bujang itu yang sudah 12 tahun berkhidmat di MPO.

"Dengan memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama mengalunkan bunyi-bunyian pada hari ini, ia dapat menambah penghayatan mereka dan memberikan kegembiraan.

"Saya fikir persembahan saya pada hari ini sangat berjaya kerana anda juga pasti perasan dengan raut wajah mereka yang tidak lekang dengan senyuman," jelasnya.

Menyingkap sejarah hidup lelaki yang berusia 40-an itu, Flach yang gemar mengenakan kemeja berwarna-warni sebagai lambang dirinya yang bebas dan tenang adalah seorang graduan daripada Sweelinck Conservatory of Music, Amsterdam, Belanda.

SEKUMPULAN 13 pemuzik MPO diketuai Flach menghiburkan penghuni wad kanak-kanak IJN dengan pelbagai lagu seperti Rasa Sayang, Les Toreadors dan Ala Canggung.

Bermula tahun 1984 beliau telah mula menjadi warga Asia Tenggara kerana pernah berkhidmat di Bangkok Symphony, Singapore Symphony dan Kuala Lumpur Symphony sebelum memulakan karier di MPO.

Anak mata penulis tertarik dengan gelagat seorang pesakit di situ, Nor Nafiesya Nor Amiruddin, 7, yang mengalami masalah jantung berlubang. Gelagat Nor Nafiesya tidak menggambarkan kanak-kanak itu sedang bertarung dengan sakit, apatah lagi senyuman sentiasa terukir di wajahnya.

Nor Nafiesya atau sering dipanggil Eisya oleh ahli keluarga turut ditemani oleh ibunya, Noor Idayu Ab. Rahman. Kata ibunya, Eisya adalah seorang kanak-kanak yang aktif tetapi mudah penat akibat penyakit yang dihidapinya sejak setahun lalu.

"Eisya sangat gembira pada hari ini tetapi saya dapat merasai kesakitan yang dia sedang tempuhi. Dia juga merindui arwah ayahnya yang meninggal dunia dua tahun lalu. Eisya seorang kanak-kanak yang kuat.

"Kehadiran MPO ke wad kanak-kanak pada hari ini sememangnya sangat membantu Eisya untuk menikmati sedikit kegembiraan seperti kanak-kanak lain. Saya turut rasa tempiasnya," kata ibu kepada pelajar Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Sri Tasik Permaisuri, Cheras itu.

FLACH sedang memberikan tunjuk ajar kepada pesakit wad pediatrik dan jururawat di IJN cara-cara untuk bermain alat muzik mengikut alunan lagu.

Aktiviti meriah yang berlangsung di IJN itu adalah salah satu usaha murni MPO bagi mendekatkan muzik kepada masyarakat di bawah Program Pendidikan dan Lawatan Orkestra Filharmonik Malaysia (Encounter).

Menurut Pengurus Pendidikan dan Lawatan MPO, Soraya Mansor, pihaknya mengadakan program Encounter bagi meraikan kumpulan dan institusi komuniti seperti hospital, rumah anak yatim, rumah warga emas dan pusat orang kurang upaya.

"Usaha ini adalah untuk memberi ruang kepada golongan yang perlu diberi perhatian. Mereka sebenarnya perlu dihiburkan, bukan kita hanya sekadar bersimpati dan melihat sahaja mereka bertarung dengan kesakitan.

"MPO ingin membuktikan bukan sahaja golongan tertentu yang dapat menikmati persembahan kami, bahkan kami sendiri akan datang bagi menghiburkan golongan susah.

Sehingga kini MPO sudah menjelajah ke banyak pusat komuniti seperti Pusat Disleksia, Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Pusat Autistik Kuala Lumpur, Rumah Pengasih, Rumah Orang Tua Seri Setia, Rumah Aman, Rumah Anak-anak Yatim Darul Izzah, Persatuan Orang Buta Malaysia, Pertubuhan Strok Nasional (NASAM) dan hospital-hospital.

Seorang pemuzik MPO yang memainkan instrumen bassoon iaitu sebuah alat tiupan, Chong Chun Khoi, 27, nyata gembira kerana menyokong usaha MPO untuk mempersembahkan lagu-lagu instrumental di IJN pada hari itu.

"Ia memang nampak pelik bermain alat muzik di tempat seperti ini. Ramai yang beranggapan bahawa bermain muzik di hospital akan mengganggu mereka yang sakit.

"Tetapi saya dapat merasai perasaan gembira mereka pada hari ini. Muzik adalah satu terapi kepada kesakitan dan ia boleh mengawal rasa sakit," kata guru muzik di Sekolah Cempaka, Damansara itu.

"Melihat mereka menari-nari dan menjerit tanda gembira, itu membuatkan saya puas bermain muzik di sini," katanya.

Seorang rakannya, Yam Sai Kwang, 22, yang sudah enam tahun bermain alat muzik yang sama turut berasa bertuah kerana dapat bersama-sama berkongsi perasaan gembira mereka dengan pesakit-pesakit di situ.

"Siapa lagi yang boleh buat bising di hospital melainkan kami," katanya berseloroh.

"Membuat persembahan di tempat seperti ini adalah sesuatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana ia sangat berbeza daripada mengalunkan muzik di pentas.

DUA orang pemuzik MPO mengalunkan instrumen flute dan bassoon kepada salah seorang pesakit di IJN.

"Segalanya perlu dilakukan dengan perancangan. Bunyi-bunyian mestilah tidak terlalu keras dan bising supaya pesakit tidak terganggu," ujar anak jati Ampang, Kuala Lumpur itu lagi.

"Apa yang pasti saya gembira saat melihat mereka lebih bersemangat setelah persembahan kami selesai. Itu yang mahu kami lihat," tambahnya.

Sebelum membuat persembahan di wad kanak-kanak tersebut, kumpulan pemuzik itu terlebih dahulu membuat persembahan di ruang legar IJN kepada pelawat-pelawat dan pesakit yang mendapat rawatan di situ.

Ramai yang tertarik untuk menghayati persembahan instrumental termasuklah pegawai perubatan, jururawat dan staf-staf IJN yang lain. Pastinya semua berasa teruja dan senang menyaksikannya, walaupun bunyi tiupan french horn yang lantang bisa mengejutkan.KOSMO!

Friday, May 21, 2010

Lesen perguruan untuk guru

KOTA BHARU 21 Mei - Kementerian Pelajaran akan mengkaji cadangan supaya setiap guru di negara ini perlu memiliki lesen perguruan yang dikeluarkan oleh sebuah badan profesional seperti yang perlu dimiliki oleh doktor atau peguam.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia merupakan salah satu kaedah bagi mengekalkan integriti guru di negara ini dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan kepada golongan tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini, jawatankuasa disiplin di kementerian sudah mencukupi untuk menjaga integriti tetapi pada masa sama cadangan itu masih perlu diberi perhatian serius.

"Isu integriti guru menjadi perhatian kementerian bagi memastikan profesion perguruan terpelihara imej dan martabatnya, kalau integriti tercemar, akhirnya orang hilang kepercayaan kepada guru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-18 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kelantan, Dali Hussin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa; Yang Dipertua PIBG SMK Kemumin, Mohd. Noor Abdullah dan Pengetua sekolah tersebut, Fauziah Mohamed.

Mohd. Puad mengulas laporan akhbar mengenai seorang guru lelaki yang didakwa mencabul lima murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di sebuah sekolah rendah di Sibu, Sarawak ketika isterinya sedang menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka.

Difahamkan, kegiatan guru berusia 32 tahun itu bermula Mac lalu sebelum kejadian terbaru dilaporkan berlaku di kediamannya pada minggu lalu membabitkan seorang murid tahun enam yang juga adik iparnya.

Mohd. Puad berkata, langkah untuk mengeluarkan lesen perguruan itu telah diamalkan di beberapa buah negara seperti di Kanada dan Australia.

"Cadangan ini perlu dilihat dengan teliti kerana kita mempunyai guru yang ramai kira-kira 390,000 orang.

"Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan ini dan merasakan sudah sampai masanya kita melihat lesen perguruan secara serius seperti mana yang diamalkan oleh beberapa buah negara," katanya.

Sementara itu, beliau merasa amat dukacita dengan kejadian yang berlaku di Sarawak itu dan pihaknya sedang menunggu laporan siasatan polis sebelum tindakan lanjut diambil.

Katanya, ia merupakan kes terpencil dan tidak mencerminkan keseluruhan sikap guru yang ada di negara ini.

Tuesday, May 18, 2010

Guru sejati tidak harapkan ganjaran, insentif

SELAIN mengumumkan kenaikan pangkat seramai 15,320 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan 9,969 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Bukan Siswazah (PPPLD) bermula April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ahad lalu turut menawarkan wang ganjaran sehingga RM7,500 setiap seorang guru jika berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Menurut beliau, wang ganjaran tersebut merupakan 'tawaran baru' kepada golongan pendidik supaya mengutamakan pencapaian dan keberhasilan sekolah masing-masing.

Bagi pihak guru, apa jua bentuk insentif yang telah dan akan diberi kepada warga pendidik perlulah dilihat sebagai penghargaan yang tinggi daripada pihak kerajaan atas bakti yang dicurah. Guru sejati sebenarnya tidak pernah mengharapkan insentif semata-mata kerana tanggungjawab dan amanah yang dipikul tidak dapat diukur dengan nilaian ringgit yang diterima.

Justeru, bukan sekadar menerima imbuhan dan intentif, semua insan bergelar guru perlulah menjelmakan ketekunan sebagai pendidik cemerlang dengan iltizam yang lebih tinggi sejajar dengan penghargaan yang diberikan kerajaan.

Keprihatinan pihak kerajaan terhadap usaha pembinaan modal insan ini sewajarnya diambil kesempatan oleh seluruh warga pendidik untuk bermuhasabah dengan amanah berat yang dipikul bagi melunaskan keilmuan pendidikan yang diterima.

Sesekali renung dan hayatilah hakikat diri kita sebagai 'cikgu' mengikut beberapa peranan berikut:

Pertamanya, guru sebagai muaddib dan pembimbing: Guru bertanggungjawab menyelia dan mengawal disiplin, penyubur sifat terpuji dan mementingkan kerohanian anak-anak didik sendiri.

Kedua, guru sebagai idola para pelajar: Guru perlu sentiasa bertingkah laku sopan, bersifat intelek, ini kerana pada mata masyarakat, guru sebenarnya dianggap golongan cendekiawan yang berkemampuan membawa reformasi mental dalam kehidupan seharian.

Ketiga, guru sebagai pelajar: Guru perlu sentiasa peka dan bersedia mereformasi diri pada alaf ini dan akan datang. Pelbagai disiplin ilmu bantu perlu diterokai dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, bukan setakat meningkatkan profesionalisme kerja, tetapi juga untuk mempelbagaikan metod dan kreativiti di bilik darjah.

Keempat, guru sebagai rakan sejawat: Hubungan sesama guru adalah adalah dalam konteks suatu rumpun keluarga di bawah satu bumbung ilmu. Sebagai akar dan umbi yang saling bertaut, kerjaya seorang pendidikan tidak seharusnya diselaputi syak wasangka, pentingkan diri sendiri, pesimis atau saling salah menyalahkan antara satu sama lain.

Kelima, guru sebagai penunjuk pandu: Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada golongan guru bagi memberi didikan semaksimum mungkin kepada anak-anak mereka. Potensi diri seseorang yang telah memilih kerjaya sebagai seorang guru sebenarnya mampu menjelmakan hasrat murni tersebut tetapi perlulah dilampir dengan dengan keikhlasan dan iltizam yang ampuh.

Dan keenam, guru sebagai manusia biasa: Sanjungan dan tingginya harapan seluruh komuniti masyarakat terhadap guru tetap tidak dapat merubah hakikat diri bahawa guru juga adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan atau keterlanjuran.

Justeru, tidak timbul soal insentif yang diberi menjadi sebagai daya tarikan kerana seluruh warga pendidik sewajarnya memiliki sifat 'kerja guru dikelek, tetapi kerja-kerja sampingan lain pula dijunjung'.

Sekiranya disertakan sifat jujur dan ikhlas, visi dan misi pendidikan negara pasti akan dapat dijayakan dengan cemerlang. Keutuhan peribadi, luas pengetahuan, kreatif dan berkemahiran, bijak berkominukasi, kerja berkualiti dan prestasi yang tidak pernah statik akan menjadikan seluruh warga guru Malaysia sebagai pendidik cemerlang walaupun tanpa pemberian pelbagai bentuk insentif dan ganjaran.