Sunday, October 23, 2011

Transformasi Kokurikulum Kebangsaan

SEBENARNYA kesedaran mengenai kepentingan aktiviti kokurikulum (Ko-k) di sekolah telah bermula sejak 50 tahun lalu melalui dokumen Education Ordinance 1956.

Ia terus diperkukuh dan dimantapkan lagi melalui pengenalan Dasar Pelajaran Kebangsaan (1961), Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pendidikan (1979), Falsafah Pendidikan Negara (1980an) dan Akta Pendidikan (1996).

Pada 2005, Kabinet meluluskan dasar pemantapan Ko-k yang meliputi pelbagai aspek dan bermula 2006, kerajaan mewajibkan murid sekolah memperoleh 10 peratus markah dari aktiviti itu sebagai melayakkan mereka memasuki institut pengajian tinggi awam.

Bagaimanapun di sebalik pengenalan dasar itu, masih ada beberapa pihak menganggap aktiviti tersebut kurang bermaya atau setakat melepas batuk di tangga sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (BBK), Muhamet Roli Hassan dalam kertas kerjanya di Seminar Transformasi Kokurikulum Kebangsaan 2011 di Putrajaya, baru-baru ini, mendedahkan antara faktor tersebut adalah sekolah, pentadbir, kemudahan dan kewangan.

''Dalam tinjauan yang dilaksanakan oleh BBK pada tahun ini membabitkan lebih 6,000 responden di seluruh negara dirumuskan bahawa aspek murid bukanlah sebagai isu yang menghalang aktiviti Ko-k untuk menjadi lebih baik," katanya.

Namun begitu, faktor peruntukan kewangan dilihat menjadi 'kepala utama' sama ada untuk menyegarkan aktiviti Ko-k itu mahupun bagi menjenamakan semula Ko-k agar ia relevan dengan kehendak semasa.

Ini kerana, apa jua perancangan menambah baik aktiviti Ko-k itu sama ada di peringkat sekolah, jabatan atau kementerian, pastinya melibatkan peruntukan tertentu.

Dari penyediaan kemudahan Ko-k di sekolah, menambah bilangan penjawatan secukupnya di peringkat pejabat pelajaran negeri dan daerah, latihan guru Ko-k, jurulatih hinggalah membina Pusat Ko-k Negeri, melibatkan peruntukan kewangan.

Tidak dinafikan setiap kali bajet dibentangkan, Kementerian Pelajaran menjadi penerima peruntukan terbesar tetapi jangan lupa ia adalah agensi kerajaan yang mempunyai warga kerja yang paling ramai. Ia bukan hanya meliputi kakitangan dan guru tetapi turut melibatkan murid sekolah.

Bak kata Muhamet Roli: ''Peruntukannya memang besar tapi bagi yang besar, maka ia menjadi kecil.''

Selain itu, beliau berkata, peruntukan sedia ada yang berjumlah RM50,000 setahun di setiap daerah tidak dikaji sejak lima tahun lalu.

''Pada tahun lalu ketiadaan peruntukan itu menyebabkan peluang murid untuk terlibat dalam aktiviti Ko-k di peringkat itu terhalang dan berakhir dengan penilaian Ko-k murid menurun. Peruntukan Ko-k untuk setiap murid di sekolah yang berjumlah RM12 (sekolah menengah) dan RM10 (sekolah rendah) tidak pernah dikaji semula sejak lima tahun lalu,'' katanya.

Tambahnya, pada tahun ini, jumlah itu dikurangkan kepada RM10 (sekolah menengah) dan RM8 (sekolah rendah) apabila bidang sukan diluluskan peruntukan sendiri.

''Beban mencari peruntukan di pelbagai peringkat pelaksana semakin bertambah apabila kerap kali wujud program 'ad hoc' yang memerlukan pembiayaan," katanya.

Kesimpulannya, kekuatan faktor kewangan menjadi penentu kepada keberkesanan aktiviti Ko-k sama ada untuk sekolah, negara, ibu bapa dan pada murid yang terlibat. Jika kerap sangat pihak yang terlibat terpaksa mengeluarkan duit dari poket sendiri atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terpaksa mencari penaja sendiri, ia mungkin berjalan untuk tempoh pendek.

Mungkin salah satu cadangan pada seminar itu iaitu mewujudkan Tabung Nasional Kokurikulum Sekolah adalah sesuai bagi mengumpul dana secukupnya.

Ini kerana, untuk mengharapkan ibu bapa yang anaknya masih bersekolah rasanya tidak sesuai kerana mereka mempunyai komitmen lain. Tetapi dengan adanya tabung itu, ibu bapa yang anaknya sudah bekerja boleh menderma sebagai membalas jasa pihak sekolah mendidik anak mereka.

Rujukan di sini.

Saturday, October 8, 2011

Menteri: Kadar stres pelajar sekolah tinggi

Satu projek mengesan kesihatan mental pelajar sekolah menunjukkan tahap keresahan, kemurungan dan stres mereka berada pada
tahap yang disifatkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai "tinggi".

NONEDaripada 6,540 murid yang telah disaring dalam projek perintis dikenali "Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah" itu, 17.1 peratus daripadanya mengalami tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus mengalami tanda kemurungan teruk dan 4.8 peratus mengalami stres teruk.

Daripada jumlah pelajar yang disaring itu, 2,345 pelajar iaitu 36 peratus telah mengikuti intervensi latihan kemahiran daya tindak kesihatan mental manakala 279 guru telah dilatih untuk mengenal pasti dan mengendali masalah emosi, tingkah laku dan permasalahan mental pelajar, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental di Putrajaya hari ini.

Projek dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu bermula pada Mac lepas di enam sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi di Pulau Pinang, SMK Simpang Bekoh di Jasin, Melaka, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak, SM St Michael, Penampang Sabah, Maktab Rendah Sains Mara, Gemencheh, Negeri Sembilan, dan SM Jenis Kebangsaan Katholik Petaling Jaya, Selangor.

"Meskipun tiada kajian khusus dibuat untuk kenal pasti faktor penyebab, tetapi kita dapati apa yang penting ialah memberikan persediaan awal kepada murid mengenai kemahiran gaya daya tindak," kata Liow.

Katanya bagi pelajar yang dikenal pasti mengalami masalah stres, keresahan dan kemurungan teruk, ibu bapa mereka dipanggil bagi membantu, selain kes dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata kementerian akan memperluaskan projek itu ke semua sekolah dalam usaha mempertingkatkan kesejahteraan mental pelajar dan warga sekolah serta sebagai persediaan mengelak masalah menjadi lebih serius.

Mulai Jun tahun ini, pelaksanaan saringan kesihatan mental di Klinik Kesihatan juga telah diperluaskan secara berperingkat di Klinik Kesihatan seluruh negara.

- Bernama

Graduan ISMP terperangkap dengan pengangguran

Ribuan graduan ijazah sarjana muda pendidikan (ISMP) kini seolah-olah terperangkap dalam dunia pengangguran apabila gagal ditempatkan sebagai guru dan dalam masa sama sukar diterima di sektor swasta.

Penyelaras Gabungan Graduan ISMP Malaysia (GGIM) Abdul Rahman Usman (bawah) berkata, masalah itu berpunca daripada penempatan mereka sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) masih belum diumumkan.

penyelaras gabungan draduan ismo malaysia ggim abdul rahman usmanKatanya, graduan ISMP mempunyai latihan khusus dalam pendidikan yang menjadikan meerka sukar diterima di pasaran kerja dan tiada pilihan selain menjadi guru.

"Buktinya ramai Graduan ISMP di tolak mentah-mentah oleh majikan swasta atas alasan tidak kekal lama dan akan mengambil hak graduan bidang lain," kata Abdul Rahman.

Menurutnya, penempatan kedua mereka sehingga kini masih menjadi persoalan setelah hanya satu penempatan diumumkan bagi tempoh Disember 2010 sehingga awal Oktober tahun ini.

Pengumumkan itu bagi graduan yang mengisi borang e-GST pada Disember tahun lalu.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Abdul Rahman menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang "membekukan" perjawatan guru GST - tetapi membuka penempatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dan Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI).

Acuh tak acuh

Daripada maklum balas yang diterimanya juga, GGIM mendakwa hanya graduan lepasan institut pendidikan guru dan ISMP dari institus pengajian tinggi awam sahaja layak berkhidmat.

"Melihat dari sudut ini, di manakah keadilan untuk graduan dan mahasiswa IPTS (institut pengajian tinggi swasta) dalam bidang pendidikan," katanya lagi,

Selaras dengan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi Julai lalu bahawa 13,000 GSTT diserap kepada guru berjawatan, Abdul Rahman juga menimbulkan persoalan sama ada ia bermaksud pengambilan kedua GST akan dibekukan.

"Pihak GGIM melihat pihak kerajaan tidak dapat merealisasikan perancangan mensifarkan GSTT semasa perlaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang sudah pun berlalu, di mana isu GSTT masih berlarutan hingga kini dan menimbulkan banyak kecelaruan dalam penempatan GST," katanya.

Abdul Rahman juga menyelar tindakan KPM yang didakwanya tidak dapat memberitahu tarikh tepat borang penempatan dikeluarkan dan sering menasihatkan graduan terlibat selalu menyemaknya di laman web.

"Bagi pihak GGIM, ini bukanlah jawapan yang positif dan bersifat umum serta satu bentuk alasan yang boleh digelarkan sebagai acuh tak acuh," katanya.

"Dengan ini, pihak GGIM menuntut agar Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat satu kenyataan rasmi berhubung penempatan GST secara khusus dari segi masa dan jumlah penempatan yang akan di buat seperti mana yang di buat oleh timbalannya."

GGIM ditubuhkan pada September 2011 ekoran masalah penempatan tersebut. NGO itu dianggotai 3,600 daripada 7,000 graduan pendidikan seluruh negara.

Rujuk di Malaysia Kini...

Saturday, October 1, 2011

13,000 guru J-QAF diperlukan

MELAKA 1 Okt. — Kementerian Pelajaran memerlukan kira-kira 13,000 lagi guru bagi program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) bagi menampung kekurangan guru program itu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setakat ini hanya terdapat 14,000 guru J-Qaf yang mengajar di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.

"Cadangan untuk dilaksanakan program J-Qaf di sekolah menengah belum dapat dilaksanakan hingga hari ini kerana masalah untuk mendapatkan guru J-Qaf," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Khatam Al-Quran Sekolah Kementerian Pelajaran Peringkat Kebangsaan Keempat di Masjid Al-Azim di sini, hari ini.

Dr. Mohd Puad berkata, terdapat cadangan bagi memberi peluang kepada guru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dilatih menjadi guru J-Qaf.

Bagaimanapun, kementerian menggalakkan mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang berkenaan terutama lepasan universiti tempatan dan negara Timur Tengah memohon jawatan guru J-Qaf.

Beliau berkata, program J-Qaf banyak mencapai kejayaan terutama peningkatan tahap penguasaan jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain kepada pelajar yang mengikuti program itu.

Mengenai laporan akhbar hari ini yang mendakwa ganjaran kewangan kepada guru besar dan sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dipercayai menjadi punca beberapa calon kurang pandai dihalang sekolah daripada menduduki peperiksaan, Dr. Mohd. Puad berkata, ganjaran bukan puncanya.

"Pada saya, ini lebih kepada masalah kemungkinan ada satu, dua guru besar yang tidak faham dasar Kementerian Pelajaran sendiri.

''Mereka ambil jalan mudah terhadap pelajar yang mungkin mereka katakan ada masalah untuk menduduki peperiksaan tersebut, sebab itulah berlaku kes seperti ini.

"Kadangkala kita (guru dan guru besar) terlalu dirasuk kepada peperiksaan untuk mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran, iaitu 5A atau 10A, itu juga yang menjadi puncanya," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Pelajaran Daerah perlu terus memperingatkan guru besar dan pengetua bahawa mereka tidak ada hak untuk menghalang seseorang pelajar daripada menduduki peperiksaan.

Baru-baru ini, beberapa calon UPSR Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Sira, Baling, Kedah dan SK Bandar Bintangor, dalam bahagian Sarikei, Sarawak dihalang menduduki peperiksaan tersebut kerana dianggap lemah dan boleh menurunkan prestasi peperiksaan sekolah. - BERNAMA