BULAN Ramadan menjelma kembali. Ia bulan yang penuh dengan keberkatan, rahmat dan pengampunan. Bermulanya Ramadan, umat Islam berusaha mengerjakan ibadah sebanyak mungkin. Bertadarus al-Quran, berzikir dan mengerjakan solat tarawih cukup sinonim dengan Ramadan. Tidak kurang juga, Ramadan bulan rezeki untuk umat Islam.
Masakan tidak, pada bulan inilah, para peniaga mendapat 'durian runtuh' menjual barangan mereka. Sebut sahaja apa jenis barangan, insya-Allah kesemuanya dapat dijual pada masa ini. Umpamanya, bazar-bazar Ramadan akan sentiasa dipenuhi orang ramai pada sebelah petang. Suasana meriah akan dirasai oleh sesiapa sahaja yang berkunjung di bazar Ramadan. Pelbagai juadah berbuka puasa yang menyelerakan sesiapa sahaja boleh didapati di sini.
Kedai-kedai pakaian dan perabot juga akan dikunjungi umat Islam. Tidak kurang juga, bulan Ramadan adalah bulan rezeki kepada tukang jahit pakaian. Kalau sesiapa ingin mendapatkan khidmat tukang jahit pakaian, dapatkanlah khidmat mereka sebulan sebelum Ramadan. Jika tidak, berputih matalah anda. Ini kerana tukang jahit pakaian tidak dapat menerima tempahan anda. Mereka tidak dapat memenuhi permintaan anda untuk menyiapkan pakaian menjelang Hari Raya Puasa.
Lantaran itu, bulan Ramadan merupakan pintu rezeki kepada para peniaga. Ada di antara peniaga, mampu mengaut keuntungan bersamaan dengan keuntungan sepanjang tahun. Itulah rezeki buat para peniaga pada bulan Ramadan. Namun, di sebalik mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda, para peniaga juga seharusnya memainkan peranan mereka. Tatkala, umat Islam berpusu-pusu membeli juadah berbuka puasa, biarlah harganya tidak terlalu menekan. Kebersihan makanan juga patut dijaga. Inilah amalan perniagaan yang baik. Beretikalah ketika berniaga. Janganlah hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
Bagi para pengguna pula, bijaklah berbelanja. Kalau ikutkan nafsu makan, kesemuanya mahu dibeli. Seolah-olah ingin melepaskan geram dek kerana tidak makan pada waktu siang. Sering kali kita lihat, ada orang membeli makanan berlebih-lebihan sehingga membazir. Berapa banyak sangatlah yang mahu dimakan ketika berbuka puasa.
Tetapi kerana ingin memuaskan nafsu makan, apa sahaja makanan yang terlintas di hati, dibelinya. Akhirnya, dibuang begitu sahaja. Walhal, puasa berperanan melatih kita agar tidak membazir dan pada masa yang sama, merasai betapa peritnya golongan miskin yang saban hari terpaksa mengharung kehidupan umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita pula bermewah-mewah membeli juadah berbuka puasa sehingga melebihi keperluan.
Itu belum dikira pembaziran lain seperti membeli perabot dan pakaian baru secara keterlaluan. Maklumlah musim perayaan setahun sekali. Maka, dizahirkan segala nafsu bermewah-mewah ketika bulan Ramadan dan Syawal.
Ketika inilah, kita akan lihat ramai peniaga mempromosi pelbagai jenis kuih-muih. Bahkan, tidak mengejutkan jika ada peniaga yang mempromosi barangan mereka sebulan sebelum Ramadan. Modus operandi mereka adalah menggalakkan para pembeli berhutang. Dengan pelbagai tawaran seperti tidak payah membayar wang sehingga berbulan-bulan meskipun barangan telah diperoleh, sedar atau tidak kita sebenarnya terikut-ikut dengan budaya berhutang.
Sedangkan perabot sedia ada di rumah masih dalam keadaan baik, tetapi sekali lagi dek kerana ingin memuaskan nafsu di mata, segala-galanya mesti baru. Maka, tidak menghairankan apabila ramai yang terjebak dengan budaya berhutang ketika bulan Ramadan.
Sedangkan ketika bulan Ramadan, umat Islam diajar agar berjimat cermat mengekang hawa nafsu. Ada yang berhutang sehingga tidak mampu membayarnya bertahun-tahun. Bermewah-mewah semasa bulan Ramadan perlu dielak sama sekali.
Bersederhanalah. Berhutang secara keterlaluan boleh memudaratkan diri. Memang seronok menayang barangan baru di rumah kepada tetamu, tetapi keseronokan itu tidak membawa erti jika terpaksa menanggung beban hutang selama berbulan-bulan, bahkan ada yang bertahun-tahun.
Dikhuatiri, disebabkan budaya berhutang inilah menyebabkan kita terjebak dengan perangkap kemuflisan. Setiap hari, dilaporkan ada sahaja individu yang diisytiharkan muflis. Faktor mereka terjebak dengan kemuflisan kerana bermewah-mewah dalam berbelanja sehingga tidak mampu membayar sewa beli kenderaan, pinjaman peribadi dan hutang kad kredit. Adakah kita ingin termasuk dalam sebahagian daripada angka individu yang muflis itu? Ukurlah baju di badan sendiri.
Kita sahajalah yang mengetahui sejauh mana kemampuan kita berbelanja. Lebih elok lagi jika kita bersederhana kerana inilah yang dituntut oleh Islam ketika menyambut bulan Ramadan. Semoga, ibadat puasa kita mengajar erti kesederhanaan dalam menjalani kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment