Thursday, September 10, 2009

Penghayatan Akhlak

ISU PENGHAYATAN AKHLAK DALAM KALANGAN PELAJAR.

Pendahuluan


Dasawarsa hari ini kita melihat media massa arus perdana sering kali menjadikan isu kebejatan sosial di kalangan remaja sebagai isu utama. Ini memberikan mesej yang jelas kepada kita warga masyarakat bahawa bahana ini sudah pun membarah dan amat membimbangkan kita. Tidak dapat tidak kita harus akui bahawa generasi muda ini merupakan bakal pemimpin negara di masa hadapan.

A) Permasalahan akhlak di kalangan pelajar.

·Dadah
Dadah mengikut Kamus Dewan (2005) bermaksud ubat-ubatan atau bahan seperti ganja, heroin, marijuana dan sebagainya yang merosakkan atau membinasakan orang yang menggunakannnya secara berlarutan.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), angka rasmi penagih dadah di Malaysia ialah 2 juta orang . Dalam hal ini, penglibatan belia Islam dan Melayu amatlah membimbangkan kita.

Umumnya faktor-faktor berlakunya penagihan dadah yang dikenal pasti ialah kurang kefahaman ilmu agama, rumah tangga yang bermasalah, kurang mendapat perhatian ibu bapa, bergaul dengan rakan-rakan yang tidak berakhlak, persekitaran dan sebagainya. Masalah penagihan dadah ini akan melibatkan banyak pihak, bukan sahaja individu, bahkan keluarga, masyarakat, negara dan agama. Dadah akan melemahkan fizikal dan mengganggu keseimbangan mental. Implikasinya individu berkenaan akan bertindak di luar batasan moral seperti mencuri, meragut dan sebagainya.

· Ketagihan Arak.
Arak bermaksud minuman yang mengandungi alkohol dan memabukkan atau minuman keras. Dewasa ini ketagihan akhlak dikalangan belia semakin menjadi-jadi khasnya di kalangan masyarakat bandar. Golongan remaja yang masih bersekolah juga tidak berkecuali. Sungguhpun begitu, kebanyakkan golongan yang ketagihan arak ini terdiri dari kalangan penagih dadah. Sehingga kini, tidak ada data khusus mengenai tahap alkoholisme di kalangan pelajar sekolah. Bahkan kajian atau penyelidikan mengenainya juga sukar dijalankan.

· Lari Dari Rumah.
Lari dari rumah bermaksud meninggalkan rumah atau keluarga tanpa pengetahuan ibu bapa atau penjaga. Kejadian remaja lari dari rumah semakin meruncing khasnya dikalangan remaja Melayu. Mengikut laporan Kementerian Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Polis, majoritinya golongan remaja yang terlibat dalam kes ini terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Statistik menunjukkan pada tahun 1991 hingga 1994 terdapat sebanyak 20 377 orang remaja telah dilaporkan hilang dan hanya 9385 sahaja yang berjaya dikembalikan ke pangkuan keluarga ( laporan Utusan Melayu Mac 1996 ). Pelbagai faktor yang dikenal pasti menyebabkan remaja lari dari rumah seperti kurang mendapat kasih sayang daripada ibu bapa, krisis rumah tangga, ingin bebas, pengaruh rakan sebaya, kemiskinan, masalah cinta dan lain-lain faktor yang berkaitan.

·Budaya Berpasangan.
Dewasa ini anak-anak muda tidak segan silu berpegangan tangan dan berpelukan dengan pasangan yang bukan muhrim. Suasana begitu merupakan satu perkara biasa terutamanya di kawasan bandar. Hal ini terjadi kerana berlakunya perubahan - perubahan dalam pola kemasyarakatan pada zaman ini. Kemajuan dan pembangunan yang pesat telah mendorong nilai -nilai barat di beri keutamaan berbanding nilai-nilai Timur. Masyarakat juga tidak lagi mementingkan agama dan moral dalam setiap tindak tanduk. Keadaan ini memberi ruang kepada kemasukan budaya kuning seperti seks bebas. Apabila syariat tidak dijadikan panduan dalam hubungan sosial, maka berlakulah kes-kes remaja hamil tanpa nikah, dirogol pasangan sendiri, bersekedudukan, terlibat dalam kegiatan maksiat dan diperangkap oleh sindiket-sindiket untuk dijadikan GRO, pelacuran dan sebagainya.

· Rogol / Sumbang Mahram
Rogol ialah satu perhubungan seks yang dilakukan dengan seseorang wanita dengan cara kekerasan tanpa kerelaan perempuan itu samada didapati dengan cara tipu, paksaan atau ugutan. Rogol boleh dikategorikan kepada beberapa keadaan. Pertama, jenayah ini dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa seperti namanya. kedua, jenayah ini dilakukan oleh orang yang tidak dikenali mangsa.

Sumbang mahram juga boleh dikategorikan sebagai rogol. Mengikut statistik, pada tahun 2001, mangsa sumbang mahram telah mencecah 700 kes yang majority mangsa berumur 16 tahun ke atas. Jenayah rogol yang melibatkan remaja atau belia menunjukkan keruntuhan akhlak yang teruk. Golongan belia yang terbabit kebarangkalian menghadapi sakit mental yang teruk sehingga hilang pertimbangan akal.

No comments: