KEMENTERIAN Kesihatan sekali lagi memperkenalkan langkah yang kelihatan agak drastik dalam mencegah penularan tabiat buruk merokok dengan mengharamkan penjualan kotak kurang 20 batang di pasaran bermula 1 Jun 2010.
Tempoh tujuh bulan yang agak selesa diberikan kepada penjual dan syarikat-syarikat rokok bagi menghabiskan stok sedia ada sebelum ‘penguatkuasaan semula’ bermula.
Sebenarnya, penguatkuasaan yang bakal dijalankan pada pertengahan tahun hadapan ialah suatu program pelaksanaan semula setelah ia sebenarnya telah pun diwartakan pada September 2004 melalui peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Namun disebabkan oleh rayuan pihak-pihak tertentu, kerajaan telah berkompromi dan menunda ke suatu masa sehinggalah tarikh 1 Jun 2009 disebut semula oleh Menteri Kesihatan.
Penguatkuasaan ini akan membolehkan sesiapa yang melanggar peraturan tersebut didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.
Sungguhpun mungkin ada pihak yang mempertikaikan kompromi dari segi masa dan hukuman yang tidak sebegitu berat, namun langkah ini haruslah dilihat sebagai suatu kejayaan sebelum langkah-langkah susulan yang lebih hebat dapat dilaksanakan dalam kalangan masyarakat yang telah sebati dengan budaya ini.
Larangan jualan rokok dalam amaun yang kecil ini setidak-tidaknya akan menghindarkan pembeli-pembeli runcit dan kecil-kecilan yang baru cuba untuk merokok agar terasa sedikit terhindar daripada membelinya.
Hasil yang bakal dilihat ialah sama ada golongan peruncit rokok ini akan mendapat motivasi baharu untuk berhenti ataupun sebaliknya bertukar kepada status pembeli rokok dalam kuantiti yang lebih besar. Namun itulah risiko yang harus dihadapi oleh kita dalam menghapuskan budaya ini yang telah lama dimasyarakatkan oleh pihak-pihak tertentu.
Apa yang mungkin menjadi halangan dan hadangan kejayaan program ini ialah mampukah penyeliaan dan penguatkuasaan ini dilakukan dengan berkesan memandangkan rokok sememangnya boleh dan mudah didapati di mana-mana ceruk di seluruh Malaysia.
Namakan sahaja di bandar besar mahupun kecil, pekan atau desa, ladang dan estet hatta di tempat yang tiada bekalan elektrik pun rokok masih lagi boleh ditemui.
Rokok yang dijual secara loose item yang boleh dibeli secara batang demi batang juga harus termasuk dalam penguatkuasaan ini. Kita mendapati begitu mudah dan terang sekali rokok diperoleh golongan kanak-kanak sekolah dan remaja yang hanya semudah berkunjung ke kedai-kedai kopi dan membuka tin yang diletak di atas meja lantas mengambil sebatang atau biasanya dua tiga batang dengan sedikit bayaran.
Walaupun peraturan sedia ada telah menggariskan dengan jelas dan mempamerkan larangan penjualan rokok kepada kanak-kanak dan remaja bawah umur, namun sebanyak manakah peniaga yang mematuhinya walaupun papan tanda larangan tersebut ada di atas kepala mereka?
Tidak dinafikan syarikat-syarikat rokok memerikan banyak kemudahan kepada peniaga-peniaga untuk menjual barangan mereka. Dengan pelbagai hadiah dan insentif baik berbentuk perabot atau prasarana jualan lain, seringkali mereka mendapat tempat istimewa di bahagian kaunter bayaran betul-betul di belakang tempat duduk penjual.
Lokasi strategik ini adalah suatu pemandangan yang bukan sahaja menyakitkan mata yang memandang bahkan perasaan mereka yang terlibat dalam bidang penjagaan kesihatan turut meradang.
Dengan adanya penguatkuasaan semula ini, serta penglibatan semua pihak dalam menjayakan misi Kementerian Kesihatan ini diharapkan mampu memberi nafas baru bukan sahaja kepada mereka yang selama ini merokok bahkan juga nafas baru kepada kempen anti merokok yang selama ini belum lagi menampakkan pengurangan dari segi jumlah penggunanya.
Bahkan, keputusan Kabinet baru-baru ini yang tetap tidak membenarkan syarikat-syarikat rokok menaja arena bola sepak negara juga walaupun keadaan semasa nampak begitu memerlukan dan mendesak, merupakan suatu yang amat menggembirakan banyak pihak walau ada pihak yang terkilan. Namun kesan kepada majoriti haruslah diutamakan dan pasti ada penyelesaian lain yang boleh difikirkan.
Diharapkan penguatkuasaan ini akan menjadi pemangkin baru ke arah pengurangan perokok-perokok muda dan baru khasnya dan perokok tegar yang kronik amnya. Sama-samalah kita menjadikan udara di Malaysia terus segar bebas daripada asap rokok.
Pusat Pengajian Sains Perubatan
Univeristi Sains Malaysia">
No comments:
Post a Comment