Pertama, komponen kepimpinan tertinggi universiti yang mantap perancangan dan misinya. Kedua, komponen tenaga akademik yang hebat ilmu kepakarannya sama ada di dalam pengajaran, penyelidikan dan penulisan berkualiti.
Ketiga, komponen tenaga pentadbiran yang cekap dan efisien serta keempat, komponen kemahasiswaan yang berketrampilan tinggi.
Jika salah satu komponen tersebut tidak berfungsi dengan baik maka sesebuah universiti itu akan ketinggalan.
Malah kekuatan keempat-empat komponen ini akan menentukan sejauh manakah pemain industri berminat untuk bekerjasama dengan pihak universiti.
Lebih 10 tahun lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah merasmikan Hari Kerjaya UKM.
Keesokan harinya media massa perdana negara memetik ucapan "peringatan" beliau supaya universiti di negara ini jangan jadi "dinosaur".
Beberapa hari selepas itu bertambah riuh apabila media memanjangkan lagi isu dinosaur dengan cerita ungkapan "profesor kangkung" ditujukan kepada ilmuwan di universiti. Mereka ini mencapai tahap tertinggi kepakarannya tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk mengaplikasikan kepakarannya di dalam konteks menyelesaikan permasalahan dan memenuhi keperluan masyarakat semasa.
Antara lain dikatakan kualiti sesetengah para tenaga akademik tempatan bertaraf profesor ketika itu yang masih terkebelakang ilmunya berbanding rakan-rakan setaraf mereka di luar negara khususnya negara maju.
Kini, isu yang sama masih terus menerus dibicarakan dalam media massa. Tetapi nadanya agak lebih tertib dan lembut.
Keadaan juga sudah berubah. Sejak penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi, sistem pengurusan pengajian tinggi negara menjadi lebih baik dan terserlah.
Malah semakin banyak hasil penyelidikan mula dikomersial dan dikeluarkan sebagai barangan pengguna untuk industri dan awam. Pakar dan profesor IPT sudah berjaya membuka bidang baru melalui penyelidikan termasuklah kejuruteraan angkasa lepas dan teknologi perubatan yang terbaru di dunia.
Semakin ramai juga ahli akademik yang dilantik di dalam pentadbiran tinggi negara termasuk sebagai menteri serta pemimpin tertinggi GLC negara.
Soalnya, di peringkat tenaga akademik tidak dinafikan lagi kecemerlangan sudah mula menonjol, malangnya tidak di kalangan mahasiswa. Budaya ilmu masih jauh dan asing di dalam kehidupan mahasiswa IPT.
Apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa bulan lalu menyiarkan rencana penulis bertajuk "Menjana Modal Insan Mahasiswa", ramai menghantar email kepada penulis. Banyak pandangan diberikan.
Penulis bersetuju dengan pandangan beberapa mahasiswa yang menyatakan bahawa universiti kita pada hari ini jangan dirancang menjadi seperti sekolah tinggi. Konsep kebebasan akademik di universiti mestilah diiktiraf oleh kerajaan.
Malangnya keadaan sebaliknya berlaku. Para pelajar semakin disogokkan dengan pembelajaran bermodul. Mereka tidak lagi berani belajar dalam bentuk yang lain selain berkuliah.
Nota mereka disediakan, pembentangan bukan lagi menjadi keutamaan. Modul semakin rigid dan statik. Pembelajaran eksplorisasi dan inovasi ilmu kurang mendapat sambutan.
Maka program seperti khidmat masyarakat, projek perbincangan isu semasa di kolej kediaman, keaktifan berpersatuan serta perbincangan isu semasa luar dewan kuliah dianggap hanya membuang masa belajar.
Memang benar universiti adalah sebuah 'sekolah' dalam erti kata yang luas. Tetapi apabila definisi sekolah yang digunakan sekarang sudah lebih terbatas seperti sekolah rendah, menengah dan tinggi, maka mewujudkan makna sekolah kepada sebuah universiti akan menjadi kabur kepada masyarakat.
Maka itu pemisahan budaya belajar antara sekolah dan universiti harus dilakukan untuk meningkatkan keupayaan intelektual para pelajar. Jika di sekolah tujuan asasnya untuk mendidik pelajar kepada kemahiran asas dalam kehidupan.
Oleh itu, di peringkat sekolah rendah diutamakan tentang membaca, menulis dan mengira manakala di peringkat sekolah menengah pelajar diajarkan tentang bidang-bidang ilmu khusus seperti sejarah, bahasa kedua, matematik lanjutan dan sains khusus dan seterusnya dikembangkan di sekolah tinggi atau matrikulasi.
Seharusnya budaya ilmu universiti adalah tempat berlakunya cetusan ilmu baru. Kebebasan akademik menjadi tunggak mencari ilmu baru.
Sedih dan kecewa rasanya jika di universiti, pelajar masih perlu diajar dan dilatih berkaitan perkara asas.
Jika perlanggaran terhadap perkara ini asas ini masih berlaku maka sudah jelas bahawa sistem pendidikan peringkat rendah dan menengah telah gagal mendidik kemahiran hidup dan sosialisasi yang betul.
Malangnya jika kita berkesempatan meninjau keadaan di semua kampus IPT kita masih akan berjumpa dengan keadaan sebegini.
Di universiti, seharusnya budaya ilmu menuntut pelajar melakukan perbincangan tentang perkara baru berkaitan pemikiran, dasar kemasyarakatan sama ada yang bersifat teori atau amali khususnya di dalam bidang pengajian masing-masing.
Di Barat, peluang ini digunakan sepenuhnya. Bukan pelik untuk pelajar di sana menjemput ahli politik, pakar ekonomi, CEO syarikat, peguam, pejuang hak asasi, aktivis masyarakat untuk berhujah dan berdebat tentang sesuatu dasar baru atau isu semasa.
Bukan sesuatu yang janggal juga pihak universiti ruang pengucapan umum untuk pelajar meluahkan aspirasi mereka.
Tentu juga kebebasan akademik ini ada had dan peraturannya. Menyentuh soal sensitiviti, menghasut dan menimbulkan ketegangan awam tentulah perlu dielakkan sama sekali tetapi tidak menjadi kesalahan untuk membicarakan soal kesihatan, politik semasa, kemunduran pendidikan, patriotisme atau apa sahaja yang sebenarnya akan membentuk jiwa untuk mencari bahan-bahan di perpustakaan sebagai modal pengucapan.
Maka bila budaya berpidato, berhujah semakin kuat di kalangan mahasiswa maka budaya membaca dan membuat penyelidikan juga akan meningkat. Keadaan ini akhirnya akan menggalakkan pembinaan pemikiran kritis dan kreatif khususnya pemimpin pelajar.
Maka jangan lagi universiti dilihat sebagai sebuah sekolah. Jika meneliti AUKU selepas pindaan dilakukan, kita akan sedari bahawa akta dan peraturan tersebut tidak pernah mempunyai semangat untuk 'menyekolahkan' universiti.
Dakyah-dakyah golongan tertentu sahaja yang cuba mengaitkan bahawa AUKU (khususnya berkaitan perkara kemahasiswaan) telah melemahkan pelajar. Itu tidak benar, tetapi jika ada pelajar yang sudah terdakyah maka hal ini akan menjadi seperti "benar-benar" belaka.
Jika kita berkesempatan melawat IPT dalam negara hari ini, kita akan kagum dengan bangunan-bangunan serta persekitaran yang indah, tidak kalah berbanding universiti hebat di dunia. Namun, bila di congak-congak secara kasar peruntukan universiti, tentulah bahagian kewangan yang besarnya disalurkan kepada membina prasarana universiti bertaraf dunia.
Soalnya adakah bahan-bahan keilmuan yang ada di dalam sesebuah universiti juga bertaraf dunia. Berbanding dengan universiti luar negara, bukan sahaja perpustakaan di kebanyakan IPTA kita masih menyimpan buku-buku rujukan yang lama, kita juga masih kurang menganjurkan seminar, persidangan akademik serta bengkel berstatus tahunan yang benar-benar bertaraf dunia.
Walaupun perpustakaan atas talian sedang berkembang, membaca buku secara fizikal masih kuat pengaruhnya di dalam membina budaya ilmu di universiti.
Semua universiti di negara ini ingin menjadi antara universiti terbaik di dunia. Oleh itu semua warga universiti perlu bersatu hati, kekal fokus serta memahami aspirasi kemunculan universiti jika ingin mencapai matlamat bersama tersebut.
Penulis merupakan Timbalan Pengarah (Akademik Kolej) Pusat Perkembangan Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment