Monday, April 13, 2009

Kepentingan mempelajari Ibadah terhadap Individu dan Masyarakat


Menurut Idris Ahmad (2002:1) Islam adalah satu agama yang syumul. Agama Islam tidak disandarkan kepada mana-mana individu mahupun manusia yang membawanya ataupun dinisbahkan kepada tempat asalnya. Sebagai contoh, agama Kristian disandarkan kepada Jesus Christ, agama Buddha disandarkan kepada Gautama Buddha. Begitu juga agama Zoroasterianism kepada Zoraster. Islam juga tidak dikaitkan kepada mana-mana tempat seperti agama Yahudi yang dikenali Judaism yang berasal dari nama tempat iaitu Jew (Judah Tribe), demikian juga agama Hinduism yang dinisbahkan kepada nama tempat iaitu Indus yang kemudiaannya bertukar sebutan menjadi Hindhu. Tetapi Islam dan akidahnya adalah dari Allah dan bukan dicipta manusia atau mana-mana individu berdasarkan falsafah dan pemikiran manusia yang dangkal.

Ibadah dalam Islam berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan-amalan kepercayaan dan agama lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, menolak dan meninggalkan kehidupan dunia sebagaimana yang dipelopori oleh golongan ascetisme, ianya bukan juga terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu atau dewa-dewa yang dipilih dan dibuat khas untuk tujuan kononnya tanpa mereka amalan seseorang itu tidak akan diterima. Konsep-konsep seumpama ini tidak ada tempat langsung di dalam syariat Islam. Namun demikian, pengaruh konsep asing ini dapat juga menyerap ke dalam kehidupan sebahagian besar umat Islam yang berpegang Islam tapi mempelajari serta mengamalkan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan sempit terhadap pelaksanaan ibadah dalam Islam. Ada yang menganggap ibadah itu hanyalah tertumpu kepada solat, puasa, haji dan zakat sahaja, terdapat juga mereka yang mengaku beribadah kepada Allah tetapi ubudiyyah mereka mereka juga diberikan kepada selain daripada Allah, malah ada yang berpendapat bahawasanya ruang ibadah itu adalah jauh sekali malah tidak ada sama sekali kaitannya dengan urusan masyarakat terutamanya di bidang politik (siasah), ekonomi (Ikqtisodiyah), pelancongan (siyahah) bahkan pendidikan (tarbiah).

Kesan kepada Individu.

Sebenarnya, Allah telah meletakkan ibadah di tempat yang paling istimewa sekali. Di dalam Al-Quran menjelaskan bahawa seluruh jin dan manusia dijadikan semata-mata untuk tujuan ini. Ini perlu difahamkan oleh setiap Muslim dan Muslimat, agar mereka benar-benar dapat melaksanakan segala tuntutan Islam dalam kehidupan mereka seharian.

Selain itu, dengan mempelajai ibadah juga, secara individu kita juga akan dapat mengetahui dan memahami perbezaan antara ibadah dan adat yang mana kita akan dapat membezakan ibadat dan adat yang mana ibadah adalah dilakukan kerana Allah SWT manakala adat adalah perkara tradisi yang telah dipersetujui dan diamalkan oleh sesuatu masyarakat.Dalam scenario hari ini, bila mana ibadah bertembung dengan adat, maka kita akan melebihkan adat dan sanggup mengenepikan ibadah. Ini merupakan satu persepsi negatif yang harus disingkar dari pemikiran kita dengan kadar segera.

Seterusnya, kesan mempelajari ibadah kepada individu juga akan menyebabkan individu tersebut :-
• Meningkatkan keimanan kepada Allah
• Mencegah perbuatan keji dan mungkar
• Mendapat ganjaran pahala
• Dikasihi oleh Allah Ta’ala
• Bahagia dunia akhirat
• Dihormati orang lain

Ini hanya akan dicapai jika individu tersebut melakukan ibadah yang dipelajarinya secara ikhlas dan benar-benar mengharapkan redha dan keampunan daripada Allah swt.
Antara kepentingan mempelajari ibadat lagi ialah kita dapat mengetahui perbezaan di antara ibadat dan adat serta kesan dan akibat meninggalkan ibadat dan adat. Contoh-contoh kesan meninggalkan ibadat dan adat ialah:
• Kesan Meninggalkan Ibadah
– Jika ibadah wajib berdosa
– Jika ibadah sunat mendapat kerugian di akhirat
• Kesan meninggalkan adat
– Jika bertentangan dengan syarak, mendapat pahala

Kesan Kepada Masyarakat.

Islam adalah satu agama yang mementingkan perpaduan. Islam amat menggalakkan kerjasama dalam kehidupan masyarakat dan ia harus dibina atas dasar memahami Islam dan mengamalkannya. Berikut adalah kesan mempelajari Ibadah kepada masyarakat.

Pertama, masyarakat yang mementingkan akidah kepada Allah. Bayangkanlah, jika umat Islam yang ada pada hari ini meletakkan ubudiyah kepada Allah setiap masa, maka generasi yang mementingkan Ibadah akan muncul. Masyarakat yang ada akan sentiasa mementingkan solat serta suruh perintah agama.

Kedua, mensifarkan gejala sosial. Remaja yang ada adalah remaja yang faham agama dan sentiasa menyahut cabaran hayya ‘alal falah (mari menuju kejayaan). Tidak ada lagi remaja yang akan membuang masa. Remaja yang ada hanyalah remaja yang mementingkan ajaran Islam seperti solat berjamaah, belajar bersungguh-sungguh, sentiasa menjaga pergaulan lelaki dan perempuan serta berkata tidak kepada perkara yang mazmumah seperti minum arak, penagihan dadah, seks bebas, pendedahan aurat dan juga hedonisme yang melampau.

Ketiga, sistem ekonomi yang seimbang. Sudah tentu fasal ke lima gagasan Islam Hadhari, pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif akan tercapai. Masyarakat yang terlibat dalam perniagaan akan memastikan perniagaan yang mereka ceburi bebas dan terhindar dari unsur rasuah, riba, menuntungkan sebelah pihak dan merugikan pihak yang lain. Keberkatan akan mengatasi keuntungan. Itulah matlamat perniagaan yang sebenar.
----------------
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 14 April

No comments: