Monday, April 13, 2009

Perbezaan Ibadat dan Adat

PERBEZAAN IBADAH DENGAN ADAT

Ibadah sebenarnya ialah sejenis tunduk yang tiada yang layak menerimanya , melainkan Allah SWT , yang mengurniakan kepada makhluk-nya jenis-jenis nikmat yang tinggi seperti nikmat hidup , nikmat faham , nikmat pendengaran , nikmat penglihatan dan sebagainya .

Oleh yang demikian , ibadah merupakan urusan agama yang tidak ditetapkan melainkan daripada jalan wahyu . sebagaimana Hadis nabi yang bermaksud :

" barang siapa membuat cara baru dalam urusan kami , dengan suatu yang tidak ada contohnya maka dia itu tertolak . "

Ini adalah kerana hakikat Agama , beribadah itu dapat dilihat dalam dua perkara iaitu ;
• Hanya kepada Allah SWT
• Untuk menyembah Allah SWT, hanya dapat dilakukan menurut apa yang disyariatkannya .

Justeru itu , barang siapa yang mengadakan - adakan suatu cara ibadah yang timbul atau ditimbulkan daripada dirinya sendiri , maka hal tersebut adalah suatu kesesatan yang harus ditolak . ini disebabkan hanya syariat sahaja yang berhak mengadakan cara dan bentuk ibadah yang dapat digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Definisi dan konsep Adat

Dengan ini , adat dalam bahasa Arab dapatlah didefinisikan sebagai :-

الديدن وهو ما اعتاد الناس عليه او طائفة منهم

Maksudnya : perkara yang menjadi kebiasaan bagi orang ramai atau segolongan

Manakala , para Fukaha pula mentakrifkan adat seperti berikut ;

الامر المتكرر من غير علاقه عقليه

maksudnya : perkara yang diulang-ulangkan tanpa perkaitan daripada segi akal .

Makna ' perkara ' dalam maksud ayat diatas adalah yang menerangkan perkataan atau perbuatan , manakala ' yang diulang-ulangkan ' bermaksud perkara yang diulang-ulangkan beberapa kali . Oleh yang demikian , perbuatan tersebut dinamakan adat . Sebaliknya perkara yang dilakukan sekali sahaja , tidak dinamakan adat , begitu juga halnya jika perkara tersebut berulang tatapi mempunyai perkaitan dari segi akal .

Umpamanya , kesan atau peristiwa yang terjadi berulang kali yang disebabkan oleh sesuatu perkara seperti adanya cahaya setiap kali matahari naik . Adat ini merangkumi tiap-tiap perkara yang berulang-ulang yang terbit daripada orang perseorangan atau kumpulan sama ada yang berpuncakan keadaan semula Jadi seperti iklim negeri yang panas adatnya boleh mempercepatkan bahang atau panas seseorang . Sebaliknya jika iklim negeri yang sejuk adatnya boleh melambatkan sedikit seseorang itu menjadi panas .

Niat membezakan adat dan ibadah

Perbezaan antara ibadah dengan adat dapat dilihat melalui niat. Misalnya , seseorang itu boleh mendapat ganjaran pahala daripada perbuatannya. Sebagai contoh, antara duduk di dalam masjid dengan niat iktikaf dengan masuk masjid kerana untuk berehat semata-mata ada bezanya. Maka sesiapa yang berniat iktikaf akan mendapat pahala sedangkan sesiapa yang tidak berniat iktikaf tidak akan mendapat pahala ( duduk dalam masjid sebagai adat kebiasaan ) .

Demikian juga halnya dengan seseorang yang memberi wang kepada seseorang yang lain dengan niat ikhlas untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti zakat , sedekah atau membayar kafarah akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT , dan jika dia memberi dengan tujuan dunia maka dia tidak akan mendapat apa-apa ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Selain itu , niat juga dapat dijadikan neraca atau penilaian dalam menentukan sama ada suatu perbuatan itu mendapat pahala ataupun sebaliknya terhadap setiap perbuatan yang merupakan adat kebiasaan seperti orang yang menyimpan Al-Quran di rumah sedangkan dia tidak membacanya . Jika dia berniat untuk kebaikan dan mendapat berkat di samping memperoleh keredhaan Allah SWT , maka dia akan mendapat pahala , tatapi jika dia menyimpan kerana perhiasan semata-mata , maka dia tidak akan beroleh apa-apa ganjaran . Demikian juga halnya dengan seseorang yang makan hingga kenyang , jika dia berniat mengikut nafsu adalah berdosa tatapi berbeza pula halnya jika dengan niat bertakwa kerana untuk berpuasa kemudiannya , maka dia akan beroleh ganjaran pahala .

Dengan ini sebagai kesimpulannya , dapatlah dirumuskan dalam pengertian yang luas bahawa ibadah itu mempunyai kesyumulannya dan merangkumi seluruh aspek kehidupan . Iaitu kita tidak hanya membataskan kepada solat , puasa , zakat dan haji sahaja kerana risalah dan tugas kita dalam hidup ini ialah untuk beribadah kepada Allah SWT yang bermaksud seluruh kehidupan kita ini adalah merupakan ibadah kepada Allah SWT. Sebagaimana Firman Allah dalam surah al- Zariyat ayat 56 yang bermaksud :

"dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya Mereka menyembahku"

Justeru itu , setiap individu Muslim hedaklah bersungguh-sungguh untuk merealisasikan setiap pengertian ini dengan memperbetulkan niat dan menghadirkan keikhlasan dalam diri dalam setiap amalan perbuatan yang dikira sebagai adat seperti menuntut ilmu, mencari rezeki, makan , minum , berpakaian , perniagaan , perkahwinan dan sebagainya dengan menjadikannya sebagai alat untuk mendidik diri dalam mentaati segala perintah dan larangan Allah serta mendapat keredhaan Allah SWT supaya setiap amalan yang dilakukan sentiasa mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
--------------------
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 14 April 2009

No comments: