Tuesday, April 20, 2010

Pendidikan seks tidak perlu di sekolah - Mahathir

KUALA LUMPUR 20 April - Pendidikan seks tidak perlu dijadikan sebagai satu subjek khas di sekolah-sekolah kerana ia terdapat dalam ajaran agama Islam, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, subjek khas mengenai seks tidak perlu tetapi memadai menjelaskannya melalui cara yang baik supaya anak-anak faham dan tidak mudah terpengaruh dengan nafsu.

Menurut beliau, perkara-perkara yang mengajar tentang disiplin dan mengawal nafsu boleh dimasukkan dalam mata pelajaran Agama Islam kerana ia sebahagian daripada ajaran Islam.

"Akibat tidak mengawal nafsu, bayi dibuang dalam tong sampah dan kerana itu dalam pembelajaran agama Islam perlu ditekankan tentang pentingnya pengawalan nafsu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada majlis Multaqa Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Guru-Guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran dan warga Perkim peringkat zon tengah di Masjid Wilayah Persekutuan.

Dr. Mahathir juga menegaskan, semua pihak perlu memahami apa sebenarnya pendidikan seks itu kerana anak-anak akan tersalah tafsir istilah seks dengan membayangkan gambar lucah.

Terdahulu dalam ucapannya, bekas Perdana Menteri itu menarik perhatian tentang betapa pentingnya guru agama sekolah menekankan nilai yang dapat membentuk keperibadian anak supaya mereka dapat menjadi umat Islam yang kuat dan berjaya di dunia dan akhirat.

Beliau menegaskan, guru agama bukan sekadar mengajar anak-anak bersembahyang dan beribadat malahan perlu menerapkan nilai mulia supaya mereka menjadi inovatif dan sukakan ilmu sains bagi mencipta 'senjata' yang mampu mempertahankan umat Islam.

Tambahnya, melindungi umat Islam dengan penciptaan senjata juga dituntut oleh Islam kerana orang bukan Islam tidak akan menjual senjata terbaik kepada orang Islam.

"Hanya orang Islam yang berdisiplin, kuat pegangan agamanya, berjaya dan tidak miskin akan dihormati dan tidak mudah diperlekehkan oleh orang lain," katanya.

Sunday, April 11, 2010

Bila guru luah rasa...

Tabik dan salam semua guru.

Dengan rasa rendah diri, saya memohon maaf sekiranya berlaku kesilapan fakta ,dalam kolum Perspektif Mysekolah Isnin lalu, berjudul Mencemburui Gaji Guru. Saya menerima puluhan warkah e-mel daripada guru, ada pro dan kontra. Ada yang menghentam peribadi saya 360 darjah tanpa saya sempat membela diri - tanpa belas kasihan. Namun saya tidak menyimpan sebarang sentimen.

Tidak sangka saya akan guru-guru kita yang pandai menulis dalam nada sebegitu keras. Tetapi ada juga yang bersetuju dengan pendapat saya itu, dan mahu saya terus membongkar dan melondehkan hakikat.

Tapi dalam diri saya masih mempunyai kewarasan pertimbangan. Maka saya berpendapat kalau saya menyiarkan pandangan yang saling bertentangan itu, tentu masyarakat akan menjadi tambah keliru - mana satu yang betul dan yang mana satu salah tentang guru-guru kita ini.

Namun begitu, saya tetap percaya bahawa guru berhak mendapat apa yang setimpal dengan beban tugasan mereka - khususnya guru yang mengajar, yang memimpin, yang mendidik, dan yang menjadi lilin kepada kesamaran dan kegelapan di pedalaman - walau mereka sendiri terpaksa bergelap.

Keikhlasan, keberanian pengorbanan, perjuangan dan kemahuan yang tidak boleh diukur dengan apa-apa juga alat pengukur itu hanya boleh dihargai dengan ucapan terima kasih dan syabas.

Mungkin sedikit penghargaan boleh diluahkan melalui sejambak bunga, kad ucapan, ciuman pada tangan atau persembahan penghargaan pada hari-hari yang istimewa seperti Hari Guru, hari lahir, perayaan dan sebagainya.

Sesungguhnya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Berikut saya petik sebahagian daripada reaksi e-mel:

Sepucuk e-mel daripada Shafarizan Mohamed, eddeved@hotmail.com berkata, gaji pokok permulaan guru DG1 P1T4 bersamaan RM1,967.82, bukan RM2,500 sehingga RM2,700.

Kata beliau, tidak adil membuat 'pukul rata' bahawa semua guru yang ada di Malaysia ini tergila-gila kepada kenaikan pangkat dan kenaikan gaji.

''Sebelum saudara terbawa-bawa dengan tuduhan ini, saya cadangkan agar saudara memohon untuk kursus Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sekiranya saudara berumur belum 35 tahun dan masuk ke mana-mana institut perguruan kalau nak tahu macam mana kami menghadapi perkara-perkara yang tak masuk akal dan mencabar," tegas beliau.

Tambah beliau: ''Saya bersyukur dan berterima kasih akhirnya kepada bapa saya kerana memaksa saya memilih kerjaya sebagai guru kerana setelah setahun saya menjadi guru, baru saya memahami maksud saya itu. Tugas sebagai seorang guru bagi saya lebih menyeronokkan kerana:

i) kerja kurang daripada lima jam,

ii) tidak terlalu pening kepala dan

iii) tiap-tiap hari jumpa murid yang comel dan petah bercakap menyebabkan kita bersemangat nak mengajar mereka."

Tambah beliau: ''Bagi saya biarlah akaun gaji duniawi saya tidak seberapa asalkan akaun gaji akhirat saya melimpah ruah kerana saya percaya Allah sahaja yang boleh menilai kerja saya dan keikhlasan saya."

Elia Hasimi di eliahasimi@yahoo.com pula menceritakan susahnya bertugas di pedalaman.

Berikut ialah luahan isi hati beliau.

''Saya sendiri seorang guru dan bertugas di kawasan pedalaman. Kalau hendak ke sekolah saya, kita akan naik van dari bandar S ke bandar K. Selepas itu, kita perlu naik perahu selama lima minit untuk menaiki van ke tebing sungai yang satu lagi selama 15 minit. Setelah sampai di situ, kita perlu naik long boat selama satu jam ke sekolah. Kami hanya keluar sekali seminggu untuk mendapatkan bekalan makanan.

Hanya beberapa rumah staf di sini mempunyai Astro. Itu pun bukan disediakan oleh kerajaan. Saya pernah pada satu ketika dahulu memiliki antena televisyen biasa. Semua ditanggung sendiri. Untuk pengetahuan saudara, bukan senang bertugas di kawasan seperti ini lebih-lebih lagi dalam kalangan guru beragama Islam. Oleh itu, saya rasa usaha yang bagus kerajaan sediakan rumah untuk kami berteduh.

Yang paling kelakar saya baca tulisan saudara ialah berkenaan dapur pun disediakan oleh kerajaan. Sebenarnya dapur dan tong gas kami beli dan bawa sendiri dari pekan. Bukan mudah bertugas di tempat ini lebih-lebih lagi tiada coverage (liputan) untuk talian telefon. Kalau nak bertelefon, kena panjat bukit yang tinggi baru dapat coverage.

Anda tidak berada di tempat kami, dan anda tidak rasa apa yang kami rasa."

Adni Atha e-mel athaadni@yahoo.com.my dalam coretannya bertajuk Pendidik Pedalaman Wajar Di Hormati menegaskan, setelah 20 tahun menabur bakti, hampir 13 tahun saya mengajar di pedalaman, tiada yang percuma, di pedalaman, semuanya memerlukan perbelanjaan yang besar. Semua perkakas terpaksa dibeli, seperti katil, tilam, apatah lagi jika hendak memasang Astro.

Jangan menyalahkan guru atas kurniaan gaji yang Kementerian Pelajaran berikan, tetapi carilah mengapa pihak KPM memberi elaun pedalaman kepada warga pendidikan di pedalaman.

Berkenaan akujanji pula, pengirim e-mel itu berkata, ''bagi guru-guru yang baru dilantik, mereka diwajibkan 'bersumpah' untuk menyimpan rahsia serta menjalankan tugas dengan penuh amanah dalam borang akujanji.

Selain daripada itu, para guru juga diberikan sasaran tertentu seperti Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang perlu dicapai untuk digunakan oleh ketua jabatan (Guru Besar/Pengetua) menilai prestasi dipenghujung tahun dalam borang Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

Hal ini bermakna semua warga pendidik sudah ada akujanji atau Bai'ah seperti yang saudara sebutkan."

Tambah pengirim e-mel itu: ''Kami warga pendidik amat mengharapkan sokongan berterusan daripada semua pihak dalam menjayakan hasrat murni kerajaan untuk mewujudkan rakyat celik huruf dan angka melalui NKRA Pendidikan."

Pengirim e-mel fazlinfy@gmail.com mengirim e-mel dalam bahasa Inggeris dan saya alih bahasa. Lebih kurang seperti berikut: ''Saya tinggal di dalam rumah yang disediakan oleh kerajaan.

Rumah itu kosong, kecuali almari pakaian di setiap bilik dan kabinet dapur. Tiada katil, tiada tilam dan sudah tentulah tiada peti televisyen. Jika seorang guru baru masuk ke sebuah rumah yang sudah lengkap, maka itu adalah titik keringat penghuni guru sebelum mereka.

Saya terpaksa menunggu enam bulan sebelum saya memiliki televisyen dan dekoder. Saya terpaksa tidur di atas tilam angin. Saya tinggal bergelap bila solar hybrid mengalami kerosakan yang teruk, dan solar hybrid kadang kala mengalami kerosakan menyebabkan kami tinggal dalam kegelapan - sehinggalah ke hari ini."

Katanya: ''Sekolah di pedalaman masih kekurangan guru dan kakitangan. Guru menjalankan tugas pentadbiran untuk melicinkan perjalanan harian. Sekolah di bandar mempunyai juruteknik dan pustakawan mereka sendiri. Tetapi di pedalaman tidak ada semua itu. Guru terpaksa menjadi juruteknik dan pustakawan."

Ada Guru Pusat Sumber terpaksa mengajar 37 waktu subjek English kerana kekurangan guru English. Dengan 37 waktu mengajar, maka guru-guru ini hanya tinggal satu masa senggang setiap hari, menyebabkan tugas pentadbiran di perpustakaan menjadi perlahan."

Kata beliau: ''Mengajar di pedalaman dengan murid yang sedikit lebih susah daripada mengajar sebuah kelas dengan 40 orang murid, kerana faktor kurang pendedahan dalam kalangan murid. Dengan kepadatan waktu mengajar tujuh hingga lapan waktu sehari menyebabkan cikgu kehabisan tenaga dek keletihan pada penghujung waktu dalam sehari."

Tentang elaun pedalaman, katanya, bila tinggal di pedalaman banyak duit dihabiskan untuk pengangkutan.

''Ambil contoh berikut, seorang guru yang ingin mengeluarkan duit terpaksa ke Sandakan kerana tiada mesin ATM di Beluran. Kos pengangkutan dengan bot dari Kampung Bukit Besi ke Beluran berharga RM25 seorang. Kalau guru ini tidak mempunyai kereta, dia terpaksa membayar RM18 lagi untuk ke Sandakan.

Kos yang sama terpaksa ditanggungnya apabila tugasnya selesai dan hendak berpatah balik ke Kampung Bukit Besi. Kesemuanya akan menelan kos RM86. Kesemua ini akan menyebabkan elaun pedalamannya habis.

Hal ini belum termasuk tiket penerbangan yang mahal jika hendak pulang ke Semenanjung untuk bertemu yang tersayang."

Seterusnya beliau bertanya: ''Encik Wahid, kalau anda cemburu dengan gaji dan elaun guru pedalaman, kenapa tidak saudara datang dan tinggal di pedalaman, dan mengajar di sini, Anda juga akan mendapat insentif. Apa kata saudara?"

Berikut ialah jawapan saya, di sudut hati saya, saya sangat mencintai profesion perguruan. Jika diberi peluang mengapa tidak?

Jika ada kesempatan dan ruang, saya akan siarkan lagi beberapa e-mel minggu hadapan di ruangan istimewa Mysekolah ini.
Rujukan di sini

Cabaran guru bandar


KUALA LUMPUR 11 April - Mengajar di pedalaman memang memeritkan fizikal dan mental para guru. Masalah infrastruktur dan tiada bekalan tenaga elektrik serta air sememangnya memberi tekanan.

Guru yang sudah terbiasa dengan jalan berturap pasti tertekan bila terpaksa melalui jalan berlopak dan meredah belantara untuk sampai ke sesuatu destinasi. Apatah lagi jika perlu bersampan atau menaiki bot tanpa jaket keselamatan.

Tiada bekalan air bersih dan air paip memburukkan lagi keadaan. Tenaga elektrik hanya bersumberkan set generator atau sel bateri basah pasti menimbulkan kesulitan.

Bangunan sekolah dan tempat tinggal yang daif memang satu cabaran untuk guru di pedalaman.

Bagaimanapun, guru di bandar juga punya cabaran tersendiri. Dalam bentuk berbeza namun amaun tekanan tetap sama.

Bagi guru bahasa, Fenty Khosny, 36, mengharungi kesesakan jalan raya setiap kali pergi dan balik sekolah merupakan cabaran utama yang membazirkan masa dan wang.

Menurutnya, dia terpaksa bangun seawal 5.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan supaya sampai ke sekolah tepat pada masanya.

"Perjalanan memakan masa selama 45 minit dari Seri Kembangan ke Gombak melalui Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2)," katanya.

Laporan Khas Utusan Malaysia pada 15 Mac lalu menyatakan menggunakan MRR2 seolah-olah melalui 'zon perang' kerana keadaan jalan itu yang terdapat banyak 'periuk api' dan 'jerangkap samar' selain menyamakan keadaan jalan seperti menaiki 'roller coaster'.

Dari segi bahaya, kata ibu yang mengandung tujuh bulan ini, risikonya hampir sama dengan melalui jalan di kawasan pedalaman.

Malah mungkin lebih berbahaya kerana kadar kematian jalan raya di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Situasi serupa juga dilalui oleh guru pendidikan khas, Hasri Ismail, 38, yang bersolat subuh setiap hari di surau sekolah.

Hasri yang menetap di Klang, Selangor dan mengajar di Petaling Jaya perlu keluar awal dengan menaiki motosikal biarpun memiliki kereta untuk mengelakkan kesesakan dan sebagai satu langkah penjimatan.

"Menunggang motor tidak kena tol dan lebih cepat sampai ke sekolah," jelasnya.

Bermotosikal ke tempat kerja sudah menjadi trend kehidupan di bandar dan melibatkan semua jenis profesion.

Pergi subuh balik maghrib sudah menjadi rutin harian Fenty dan Hasri.

Berbeza pula halnya, dengan Nurazlina Ahamad Thamizi, 31, yang tinggal berhampiran dengan tempat dia mengajar.

Guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi ini memberitahu, kesesakan bukan satu masalah tetapi kos sara hidup di bandar agak tinggi dan membebankan.

"Segala kemudahan memang tersedia namun ia datang dengan kos," ujarnya.

Kata Nurazlina, barang keperluan harian dan upah pengasuh di bandar secara relatifnya lebih tinggi berbanding dengan kawasan kampung.

Tambahnya, masalah yang sama turut membelenggu guru bandar yang tinggal di kuarters.

Kelebihan tinggal di kuarters - di desa atau kota - ialah boleh berjalan kaki ke sekolah. Cuma di kota, kereta menjadi satu keperluan menyebabkan si guru menanggung bayaran ansuran bulanan.

Hal ini tentunya memberi kesan kepada ekonomi keluarga guru di bandar berbanding di pedalaman.

Sementara itu, bekas guru, Muninah Masiran, 57, berpendapat, cabaran utama mengajar di bandar adalah memenuhi harapan ibu bapa yang mahukan prestasi akademik anak mereka pada kedudukan tertinggi.

Beliau berkata, tahap kesedaran ibu bapa di bandar tentang pentingnya pendidikan kepada masa depan anak masing-masing jauh lebih baik daripada ibu bapa di kampung atau kawasan pedalaman.

"Mereka akan mempersoalkan kewibawaan para guru jika prestasi pelajar tidak memuaskan," katanya.

Berdepan dengan ibu bapa yang 'intelektual' ini menuntut kesabaran tahap tinggi kerana jika tersalah jawab boleh menyebabkan pertelingkahan atau kes diheret ke mahkamah.

"Masalah disiplin ada di mana-mana dan memerlukan kebijaksanaan para guru untuk menyelesaikannya," jawab Muninah ketika disoal perbandingan kes salah laku pelajar di bandar dan di pedalaman.

Namun, bagi penuntut tahun akhir jurusan Pendidikan Dalam Sains (Fizik), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Farizatul Shima Hashim, faktor disiplin pelajar menjadi cabaran utama kepada dirinya.

Pengalaman menjalani latihan mengajar selama enam bulan di sebuah sekolah di Subang Jaya, Selangor membuatkan dia membatalkan hasrat menjadi guru dan beralih cita-cita menjadi pensyarah.

"Ketika mengajar dalam makmal hanya pelajar barisan depan sahaja yang menumpukan perhatian manakala yang lain tidak ambil peduli malah membuat bising hingga mengganggu perjalanan kelas," ceritanya yang akan menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan Ph.D.

Mungkin susuk tubuhnya yang kecil molek dan usianya yang masih muda serta status guru pelatih menyebabkan pelajar kurang menghormati Farizatul Shima.

Walau apa pun, senario dan situasi yang dilalui oleh guru tidak kira di mana mereka mengajar memang mencabar dan perlu dihargai sama ada dalam bentuk insentif kewangan atau melalui ucapan terima kasih cikgu. UTUSAN 12 April

Wednesday, April 7, 2010

Cabaran kerjaya sebagai doktor

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru diumumkan mencatatkan seramai 7,987 pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran. Daripada jumlah itu, seramai 214 pelajar mendapat A+ dalam semua mata pelajaran. Jumlah pelajar yang mendapat kurang satu, dua atau tiga A yang masih boleh dikategorikan sebagai bijak pandai juga sudah semakin ramai.

Di kalangan pelajar-pelajar pintar ini, sebahagian besar daripada mereka barangkali menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Kerjaya ini menjadi pilihan kerana pelbagai faktor seperti jaminan kerja, gaji lumayan, prestij dan dipandang mulia. Tiada ibu bapa atau keluarga yang tidak berbangga memiliki anak-anak atau ahli keluarga yang bergelar doktor. Seorang doktor di mata masyarakat pula adalah penyelamat dan insan yang boleh dipercayai.

Ini adalah persepsi biasa yang wujud di kalangan kita apabila bercakap mengenai kerjaya sebagai seorang doktor. Apa yang mungkin tidak kita ketahui adalah bukan sedikit pengorbanan dan kepayahan yang diperlukan untuk bergelar doktor.

Tempoh pengajian yang panjang, persekitaran kerja yang mencabar dan penuh tekanan, harapan yang terlalu tinggi oleh keluarga serta diri sendiri dan yang di penghujungnya tidak menjamin pendapatan lumayan seperti yang disangka membuatkan tidak banyak pelajar mampu mengurus tekanan seperti itu, sekali gus berakhir dengan kegagalan. Keadaan lebih buruk bagi pelajar yang mengikuti kursus perubatan bukan kerana minat. Mereka sama ada terpaksa memenuhi impian ibu bapa, meneruskan tradisi keluarga atau sekadar mencuba dan mengikut jejak langkah rakan sebaya.

Memang tidak dinafikan hampir 90 peratus atau lebih pelajar perubatan berjaya menamatkan pengajian dan bergelar seorang doktor. Tetapi dalam perkara ini, bukan kuantiti doktor yang dicari, sebaliknya kualiti iaitu bagaimana seorang doktor itu benar-benar mampu berkhidmat. Ketika ini, hanya 20 atau 30 peratus sahaja pelajar perubatan yang berjaya menjadi doktor pakar dalam pelbagai bidang. Selebihnya, hanyalah sebagai pegawai perubatan biasa atau doktor am tanpa kepakaran khusus. Perkara ini dikongsi oleh Pensyarah Kanan & Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd. Ramzisham Abdul Rahman.

Menurut beliau, hakikat itu adalah satu kerugian kerana negara memerlukan lebih ramai pakar perubatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pakar dari luar negara. "Senario ini berlaku disebabkan beberapa perkara, antaranya kriteria kemasukan pelajar perubatan bergantung sepenuhnya kepada keputusan akademik terutamanya SPM. Sedangkan tidak semua pelajar yang mendapat semua A dalam mata pelajaran layak menjadi seorang doktor yang baik," kata beliau. Pelajar-pelajar yang tidak mendapat semua A dalam mata pelajaran juga sebenarnya mampu menjadi doktor yang jauh lebih baik jika diberi peluang.

Namun, disebabkan terlalu ramai pelajar dengan keputusan sangat cemerlang memohon kursus perubatan, maka pelajar-pelajar sederhana ini langsung tidak mendapat tempat. Lebih-lebih lagi universiti awam di negara ini tidak mempunyai tempat untuk kesemua calon yang memohon.

Ini mendorong ramai ibu bapa sanggup membiayai pengajian anak-anak mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di dalam dan luar negara. Kebelakangan ini pelajar lelaki sering menjadi mangsa keadaan. Ini kerana sebahagian besar yang mendapat keputusan cemerlang adalah pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki. Jadi, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila pelajar perempuan mendominasi kursus perubatan ketika ini. Profesor Mohd Ramzisham menambah, adalah wajar jika pemilihan pelajar perubatan itu dilihat semula.

Pemilihan secara saringan menggunakan sistem meritokrasi sedia ada iaitu 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum agak sukar. Justeru, kaedah yang digunakan kebanyakan institusi luar negara yang mana pelajar lepasan sekolah menengah perlu mempunyai 'work experience' di hospital-hospital boleh diterima pakai. Pelajar-pelajar yang berminat ditempatkan lebih awal di hospital-hospital sebelum mereka memasuki kursus perubatan.

Pelajar-pelajar ini didedahkan dengan persekitaran sebenar hospital termasuk cabaran-cabaran yang perlu dihadapi sebelum mereka layak memohon. Jika perlu, pelajar-pelajar ini juga boleh dibawa masuk ke bilik bedah untuk merasai pengalaman sebenar seorang doktor. "Proses ini sebenarnya mirip kepada latihan amali (intern) tetapi bezanya ia dibuat kepada pelajar lepasan sekolah yang muda dan sebelum mereka mengambil kursus perubatan," katanya.

Utusan Malaysia 7 April

Thursday, April 1, 2010

Guru dibebani tugas berat - betul atau salah?

TERTARIK sungguh apabila membaca komentar Wahid Hashim dalam laman Pendidikan, Utusan Malaysia bertarikh 29 Mac 2010 yang bertajuk 'Mencemburui gaji guru'. Terdetik hati saya untuk bersama-sama berkongsi pendapat dan pandangan tentang isu-isu yang dibangkitkan.

Tulisan beliau yang menjurus kepada reaksi KPPK untuk bersemuka dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas beberapa isu berkaitan bebanan tugas dan kenaikan gaji guru, sedikit sebanyak mampu membuka minda semua yang terlibat dalam profesion keguruan.

Bebanan tugas guru ibarat isu yang tidak ada kesudahannya, padahal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru tetapi oleh sebahagian guru terutama guru mata pelajaran peperiksaan utama, guru yang menjawat jawatan penting sekolah dan guru yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah dan sebagainya.

Namun yang pelik dalam 'gegak-gempita' isu bebanan tugas guru ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru tersebut menjawat 'dua profesion' dalam satu masa.

Sebenarnya 'atas kertas,' Kementerian Pelajaran telah imbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru-guru muda yang hanya mampu dicapai oleh guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif lain.

Akan tetapi yang peliknya, gaji lumayan seolah-olah membawa kesan negatif kepada dunia pendidikan apabila guru berkenaan hilang semangat untuk berkorban dan 'rasa susah' demi mendidik anak bangsa. Tuisyen berbayar hanya dipandang sebelah mata apatah lagi tuisyen percuma dan ditambah lagi dengan alasan suami tidak izin, anak sakit dan seribu satu alasan lain.

Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan, berjenis 'kabel' digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika temu duga 'jangankan Gunung Everest, lautan api sanggup direnangi'.

Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang 'enggan susah' dan bersikap 'anak manja' maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru terbabit. Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani dengan pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru tersebut. Mereka akan dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari, sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain 'enak dibuai mimpi'.

Setiap profesion tentu ada cabarannya lebih-lebih lagi profesion keguruan. Namun, jika ia tidak diseimbangkan dengan adil, akan berlakulah bebanan tugas tersebut. Tentu amat terbeban jika seseorang guru yang mengajar kelas peperiksaan lebih tiga tahun secara berterusan, guru yang memegang lima jawatan utama sekolah dalam satu masa dan sebagainya.

Sebagai 'orang lama' dalam dunia pendidikan, KPPK kini dilihat semakin hilang 'sengat' terutama pada kaca mata guru-guru lama. KPPK dilihat lebih mengejar populariti dan nama berbanding kebajikan guru. Isu yang diperjuangkannya seperti menguntungkan satu pihak tetapi menyakitkan hati pihak yang lain.

Jadi, untuk mengembalikan 'taring' KPPK, peranan sebenar KPPK adalah menuntut Kementerian Pelajaran memberi insentif untuk guru yang sanggup menanggung bebanan tugas yang diberikan. Insentif berbentuk elaun mampu memberi keadilan kepada guru-guru terbabit agar terubat duka menanggung bebanan tugas yang diberikan.

KPPK juga harus membuat soal selidik bebanan tugas guru di sekolah melalui wakil guru dan ahli KPPK yang hampir mencecah 200,000 guru itu. Jangan hanya 'terjah' dan 'timbang kilo' tanpa fakta yang tepat kerana ini hanya merugikan guru-guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.

Kerajaan pula hanya membazir wang negara andai kata memberi ganjaran seperti elaun dan bonus kepada kakitangannya yang tidak produktif. Eloklah kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mengkaji elaun-elaun yang telah diberikan kepada guru-guru agar dinikmati hanya oleh guru-guru yang benar-benar layak dan berhak.

Setiap sen wang negara yang diperoleh oleh para guru adalah ibarat titisan keringat ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak mereka demi kelangsungan hidup yang mendatang. Fikir-fikirkanlah.

IRMAZ DINI
Pendang, Kedah