Sunday, August 28, 2011

Qiraat Syazah


MELENGKAPKAN lagi maklumat berkaitan Qiraat, perlu disempurnakan dengan maklumat berkaitan Qiraat Syazah. Jika memerhati dengan teliti penyusunan Qiraat Mutawatirah yang dibuat oleh ulama kelihatan bagaimana cantiknya kaedah yang dikemukakan termasuk susunan imam, susunan bab dalam usul dan farsy.

Susunan Qiraat Mutawatirah sepuluh Qiraat dimulai dengan tujuh Qurra iaitu Nafe' al-Madani, Ibn Kathir al-Makki, Abu Amru al-Basri, Ibn 'Amir al-Dimaysqi, 'Asim, Hamzah dan al-Kisai. Ditambah dengan tiga Qurra lagi iaitu Abu Ja'far, Ya'qub dan Khalaf al-'Asyir.

Setiap imam yang dikemukakan ini mempunyai dua perawi dan ittifaq di kalangan ulama ia adalah Qiraat mutawatirah.

Menurut al-Zarqani, empat Qurra yang dimaksudkan ialah Hasan al-Basri meninggal pada tahun 110 hijrah, Ibn Muhaisin meninggal pada tahun 123 hijrah, Yahya al-Yazidi meninggal pada tahun 202 hijrah dan Syanabuzi meninggal pada tahun 328 hijrah.

Ciri-ciri Qiraat Syazah menyalahi rasm uthmani walaupun menepati bahasa arab dan sanadnya sahih. Apabila sesuatu qiraat tidak memenuhi tiga rukun qiraat ia dinamakan Qiraat Syazah meskipun qiraat tersebut datangnya daripada Abu Darda', Umar Ibn al-Khattab, Abdullah Ibn Mas'ud dan sahabat ra yang lain.

Qiraat Syazah yang tidak menepati rasm uthmani hukumnya tidak sah dibaca dalam sembahyang. Imam Abu Umar Ibn Abdul al-Bar melalui kitabnya Tamhid menyatakan telah berkata Imam Malik barang siapa membaca dalam solatnya qiraat Ibn Mas'ud atau qiraat lain di kalangan sahabat yang menyalahi mushaf maka tidak boleh sembahyang di belakangnya.

Dalam sejarah perkembangan Qiraat, berlaku kisah yang masyhur berkaitan penguatkuasaan membaca Qiraat mengikuti Mushaf Uthmani. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 323 hijrah antara Imam Ibn Syanbuz dengan Imam Ibn Mujahid.

Ibn Syanbuz ialah seorang yang alim dalam ilmu qiraat mempunyai guru yang ramai antaranya Ibrahim al-Harbi, Ahmad Ibn Ibrahim Waraq Khlaf, Ahmad ibn Basyar. Beliau banyak merantau ke kota Islam untuk mendalami ilmu qiraat.

Ibn Syanbuz beramal dengan qiraat yang tidak menepati Mushaf Uthmani. Pandanganya mendapat reaksi dari pemerintah ketika itu Abi Ali Ibn Muqlah. Beliau telah memanggil Ibn Syanbuz untuk dibicarakan dan majlis tersebut dihadiri Imam Ibn Mujahid, sekumpulan Qadhi dan ulamak.

Apabila beliau mengakui bacaannya yang menyalahi Mushaf Uthmani, beliau diminta bertaubat dan menarik balik pandangannya itu. Namun beliau berkeras dengan pandangannya sehingga dijatuhi hukuman rotan sebanyak 10 kali. Akhirnya beliau menarik balik pandangannya itu.

Walaupun begitu, ramai ulama yang memuji kealiman Ibn Syanbuz, antaranya, Abi Tahir Ibn Abi Hasyim yang ditanya manakah yang lebih afdal antara Ibn Mujahid dengan Ibn Syanbuz. Beliau menjawab: "Adapun Abu Bakar Ibn Mujahid akalnya mengatasi ilmunya dan Ibn Syanbuz pula ilmunya mengatasi akalnya".

Rujukan di sini.

Tamadun Melayu dan PPSMI

Teras-teras jati diri kebangsaan Malaysia berpaksi kepada bahasa Melayu dan agama Islam(tanpa menafikan hak serta kepentingan bahasa dan kepercayaan lain).

azlanDi dalam Perlembagaan Persekutuan, antara perkara yang disebut ialah Perkara 32(1) yang memaktubkan kedudukan raja-raja Melayu; Perkara 152(1) tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi; dan Perkara 3(10) mengenai Islam sebagai agama Persekutuan.

Berhubung perkara yang menyentuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, mereka yang berjiwa Melayu dan rakyat Malaysia yang terbuka minda untuk bergerak ke hadapan bersama-sama jati diri kebangsaannya, pastilah ingin melihat bahasa kebangsaan itu diperkasakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, termasuk sebagai bahasa ilmu pengetahuan.

Golongan yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu tinggi, lebih disebabkan kelemahan mereka menguasai bahasa Melayu, bukan kerana kelemahan bahasa Melayu. Dan semua pejuang bahasa kebangsaan bukanlah golongan fanatik, berpandangan jumud atau berusaha mengundurkan bangsanya ke belakang.

asia euro cultural minister meeting pak lah 220408 wayang kulitPejuang-pejuang bahasa selalu memetik kebijakan Hang Tuah yang menguasai 12 bahasa, sebagai suatu unjuran profetik 'pujangga penulis' karya agung itu bahawa setiap bangsa akan menjadi lebih maju jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Akan tetapi walaupun menguasai pelbagai bahasa, setiap bangsa harus meletakkan bahasa kebangsaannya dimercunya yang tinggi, atau seperti sepotong puisi Sasterawan Negara Usman Awang, “manakan sama bahasa bunda.”

Jika menurut tiga kriteria yang dikenalpasti oleh Charles Ferguson, sesungguhnya bahasa Melayu sudah dianggap sebagai 'bahasa maju.'

Tiga kriteria Charles Ferguson itu ialah (a) Bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan. Dalam hubungan ini bahasa Melayu telah mempunyai sistem tulisannya sendiri – sama ada dalam jawi atau pun rumi; (b) Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu. Bahasa Melayu jelas mengatasi segala dialek, kerana di Malaysia dialek tidak mempunyai penerbitan bakunya; dan (c) Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan ilmu dan pemikiran moden.

Ini jelas terbukti dengan penerbitan pelbagai buku dalam bidang dan subbidang ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu, sejak kurun ke-12 Masihi lagi, dan memasuki era 'moden'nya sejak sebelum merdeka lagi hingga memuncak mutakhir ini.

azlanTradisi ilmu dalam bahasa Melayu telah berkembang, termasuk di IPTA, umpamanya di UKM sejak awal tahun 1970-an. Tokoh ilmuwan Selangor 2011, Dr Shahril Mohamad Zain (mantan profesor fizik dan matematik di UKM) pernah membentangkan fakta bahawa UKM telah menghasilkan lebih 450 tesis Ph.D dan lebih 2,000 tesis Sarjana (MA & M.Sc.) dalam bidang sains dan pelbagai bidang lain, yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pengantar untuk pelbagai bidang ilmu pengetahuan moden di IPT, dan memanfaatkan penguasaan bahasa asing sebagai pelengkap sebagaimana saranan profetik Hang Tuah.

Tamadun Melayu boleh diperkasakan jika terdapat ilmu-ilmu pengetahuan moden (termasuk sains & matematik) disampaikan dan ditulis dalam bahasa ini (Melayu).

muhyiddin yassin and education ppsmiSehubungan itu pelbagai pihak berasa terperanjat apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran membayangkan pendirian kerajaan untuk membenarkan sekolah membuat pilihan sama ada meneruskan dasar PPSMI atau sebaliknya.

Pendirian tersebut amat berbeza semangatnya daripada pengumuman yang beliau lakukan tahun lepas, untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012.

Sesuatu dasar kerajaan (termasuk untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012, empat bulan dari sekarang) mestilah bersifat merata dan menyeluruh. Tidak boleh mana-mana kumpulan kecil dan serpihan untuk menebuk dasar itu di mana-mana, lalu menghidupkan dasar PPSMI semula.

ppsmi march 070309 crowd.jpgJika kumpulan kecil dan serpihan itu mewakili elit di bandar dan kota, yang kaya raya, maka mereka boleh menghantar putera puteri mereka ke sekolah swasta atau sekolah antarabangsa, dan jangan dibiarkan menebuk dasar pemansuhan PPSMI mulai 2012 menurut selera mereka.

Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran pastilah telah menerima “Kajian Tahap Kompetensi Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid” (2008, setebal 186 halaman tidak termasuk tiga lampiran) oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA).

Kajian ini dengan jelas menunjukkan kompetensi guru yang boleh dipersoalkan, yang mengakibatkan kelemahan pembangunan modal insan murid khususnya di luar bandar, Felda dan sebagainya.

anti ppsmi rally 070209 chinese educationalistPrinsip ketamadunan kerajaan harus berpegang kepada kajian yang berwibawa, menyeluruh dan mendalam seperti dilakukan PEMBINA.

Sebarang polisi yang tidak didasari kajian akan goyah dalam tempoh yang pendek. Bagi pejuang bahasa Melayu dan mereka yang yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dapatan PEMBINA adalah pendorong utama kepada 'cadangan' pemansuhan dasar PPSMI mulai 2012, dan dengan itu mereka tidak perlu lagi turun ke jalan raya untuk mendesak pemansuhan PPSMI.

Akan tetapi jika dasar PPSMI hidup semula selepas ditalqinkan, ia adalah zombie baru. Mamat Khalid pun tahu bagaimana cara untuk menewaskan zombie!


Datuk Dr Anwar Ridhwan merupakan sasterawan negara ke-10. Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Antara karyanya yang terkenal Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto.

Tulisan ini bahagian kedua daripada siri artikel pendek bertemakan'Masyarakat Bertamadun"yang akan diterbitkan setiap dua minggu.

Thursday, August 18, 2011

Guru pra sekolah perlu kelayakan lebih tinggi

Pendidik awal pendidikan kanak-kanak dan pengasuh di negara ini perlu mempunyai kelayakan yang lebih tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran sedang dalam proses mengubal mekanisme dan syarat bagi membolehkan para pendidik dan pengasuh mencapai kelayakan yang lebih tinggi dalam masa terdekat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini perlu kerana walaupun kerajaan telah menjalankan pelbagai latihan untuk mempertingkatkan prestasi kemahiran para pengajar dan pengasuh, ia masih tidak mencukupi untuk menghasilkan pendidik awal kanak-kanak bertaraf dunia.

"Semakin berilmu seseorang pendidik, semakin tinggi kemahiran mereka, dan semakin berkesanlah fungsi mereka sebagai pendidik dalam tahun-tahun formatif dan kritikal untuk perkembangan kanak-kanak,” katanya ketika melancarkan Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Mengambil contoh Rusia, Muhyiddin berkata negara itu telah lama memberi pengiktirafan kepada pendidikan awal kanak-kanak dan tenaga pengajarnya memiliki Ijazah Doktor Falsafah atau sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana.

- Bernama

Sunday, August 7, 2011

Raja Berpelembagaan Sistem unggul bagi Malaysia


PARLIMEN menjadi tempat perlembagaan negara didaulatkan dalam sistem pemerintahan Malaysia.

SISTEM Raja Berperlembagaan merupakan salah satu dari tiga teras asas pemerintahan Malaysia selain sistem Demokrasi Berparlimen dan sistem Persekutuan.

Ketiga-ketiga teras asas kenegaraan ini telah dimaktubkan ke dalam peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengikut Perkara 4 Fasal 1 merupakan undang-undang tertinggi negara semenjak merdeka hampir lima puluh empat tahun yang lalu.

Malaysia amat bertuah kerana apabila kemerdekaan diperoleh dari United Kingdom pada tahun 1957 bapa-bapa pengasas negara kita (our founding fathers) telah membuat keputusan yang berpandangan jauh dengan mengekalkan sistem pemerintahan beraja sebagai teras utama sistem pemerintahan. Kebijaksanaan bapa-bapa kita ini semakin terserlah apabila sistem beraja yang diterimapakai adalah sistem Raja Berperlembagaan dan bukannya sistem monarki mutlak.

Untuk lebih lima dekad sistem Raja Berperlembagaan telah memberikan kestabilan dan keamanan yang diperlukan kepada sebuah negara yang mempunyai kemajmukan yang kompleks, berbilang bukan sahaja etnik tetapi juga bahasa, budaya dan agama untuk merancang serta melaksanakan inisiatif-inisiatif pembangunan yang diperlukan bagi meningkatkan taraf hidup warganya.

Berubah

Hasilnya dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang bergantung kepada komoditi getah dan bijih timah dan di mana lebih separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan telah berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi dan mempunyai ekonomi yang pelbagai dalam masa satu generasi.

Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia diinstitusikan melalui jawatan Yang di-Pertuan Agung yang bertindak sebagai Kepala Utama Negara melalui peruntukan Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Berbeza dengan konsep “ Divine Right of Kings” doktrin yang dikembangkan dan diguna-pakai di benua Eropah semasa zaman pertengahan di mana mengikut doktrin ini raja dipilih oleh Tuhan dan hanya bertanggungjawab kepadanya dan mana-mana manusia yang tidak mematuhi perintah Raja adalah berdosa, kedudukan, peranan dan kuasa yang Di Pertuan Agung yang merupakan raja berperlembagaan telah di tinta dan diperincikan oleh perkara-perkara, fasal-fasal dan seksyen dalam Perlembagaan Persekutuan serta Akta Parlimen.

Terang lagi bersuluh sebagai Raja Berperlembagaan Yang di-Pertuan Agung tidak boleh melunaskan kuasa dan tanggungjawab baginda secara berwewenang tetapi berdasarkan kepada apa yang tersurat dan tersirat dalam undang-undang negara. Di United Kingdom prinsip ini dinukilkan sebagai “ratu/raja bertakhta tetapi tidak memerintah” kerana yang menjalankan pemerintahan atas nama Baginda adalah kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya umum.

Dalam perlembagaan prinsip dan konsep Raja Berperlembagaan dilakar melalui Perkara 39 dan Perkara 40. Perkara 39 menyatakan “Kuasa Pemerintah bagi persekutuan adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agung dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan jadual kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang-orang lain.

Peruntukan

Perkara 40 pula adalah peruntukan yang memperjelaskan konsep kedaulatan rakyat dan raja berperlembagaan serta hubungan di antara kedua-duanya. Yang di-Pertuan Agung bukan sahaja perlu melaksanakan tanggungjawab baginda berasaskan undang-undang mengikut Perkara 39 tetapi juga berdasarkan nasihat mengikut Perkara 40; Fasal 1 berbunyi “Pada menjalankan tugas-tugasnya di bawah perlembagaan ini atau di bawah undang-undang persekutuan, Yang Di Pertuan Agung hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya oleh perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agung adalah berhak, atas permintaannya, mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan persekutuan yang boleh didapati oleh jemaah menteri.”

Fasal 1 diperjelas dan perincikan lagi melalui Fasal (1A) iaitu “Pada menjalankan fungsi-fungsinya di bawah perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agung dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat , Yang di-Pertuan Agung hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”

Lebih memperjelaskan prinsip Raja Berperlembagaan di Malaysia adalah apabila dalam Perlembagaan Persekutuan diperincikan perkara-perkara yang boleh dilakukan mengikut budi-bicara Baginda sepertimana Fasal 2 Perkara 40;

“Yang di-Pertuan Agung boleh bertindak menurut budi-bicaranya pada melaksanakan tugas-tugas yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri

(b) tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen;

(c) meminta supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang tersebut dalam perlembagaan ini”.

Di dalam menjalankan kuasa budi bicaranya juga baginda dibatasi oleh peruntukan perlembagaan. Contohnya dalam melantik seorang Perdana Menteri beliau terbatas pilihannya kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapat Baginda akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu. Dari segi realitinya baginda akan melantik pemimpin parti yang menguasai majoriti kerusi dalam Dewan tersebut.

Era monarki mutlak di semenanjung Tanah Melayu sebenarnya tidak tamat dan digantikan oleh sistem Raja Berperlembagaan dengan berolehnya kemerdekaan pada tahun 1957, sebaliknya ia berakhir dan negara telah memulakan perjalanan ke arah sistem Raja Berperlembagaan lebih awal lagi apabila Perjanjian Pangkor di tandatangani pada 20 September 1874 di antara Inggeris yang diwakili ketika itu oleh Gabenor Negeri- Negeri Selat dan Sultan serta Pembesar Negeri Perak (Bendahara, Temenggung, Menteri, Syahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato’ Sagor Perak).

Mengikut Artikel Enam perjanjian itu;-

“Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana baginda, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam