Sunday, October 26, 2008

Pelajar wanita serang guru

dipetik dari Kosmo 17 Oktober 2008

KANGAR - Gara-gara tidak berpuas hati dengan tugasan kerja yang diberikan, dua pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini didakwa bertindak di luar batasan membelasah seorang guru wanita.

Pelajar tingkatan dua berkenaan dipercayai telah menendang dan memukul guru Sivik dan Geografi, Azhana Ibrahim, 27, pada pukul 10 pagi semalam.

Menurut Azhana, dalam pergelutan itu, dia cuba mempertahankan diri selepas dua pelajar itu menyerangnya.

Ceritanya lagi, kejadian itu berlaku selepas pelajar itu menulis perkataan kesat dalam buku tugasan yang diserahkan kepada guru tersebut.

"Pelajar itu gagal menghantar tugasan yang diberikan kepada mereka sejak beberapa minggu lalu dan hanya menghantar kepada saya hari ini (semalam) selepas diminta berulang kali.

"Bagaimanapun saya terkejut apabila terdapat perkataan kesat pada buku tugasan tersebut dan pelajar itu bercakap kasar serta kurang sopan sebelum menyerang saya," dakwa guru itu di sini semalam.

Guru yang berasal dari Perlis itu berkata, beliau kemudian melaporkan kejadian kepada Penolong Kanan Sekolah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kangar.

Jelasnya, beliau membuat laporan polis kerana bimbang diancam kedua-dua pelajar terbabit.

"Selama lima tahun berkhidmat sebagai guru, ini adalah kali pertama saya diserang,'' ujarnya.
-------------------------
- Fikir - fikirkanlah...

Friday, October 10, 2008

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

Monday, October 6, 2008

Hari Guru mungkin disambut 2 kali setahun

KUALA TERENGGANU 6 Okt. – Warga pendidik mungkin menyambut Hari Guru dua kali dalam setahun jika sambutan peringkat dunia turut diraikan di negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, Hari Guru Sedunia diisytiharkan pada setiap 5 November manakala sambutan peringkat kebangsaan ialah pada 16 Mei.

Katanya, tarikh sambutan Hari Guru Sedunia itu diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

‘‘Sehingga kini beberapa kesatuan guru seperti Majlis Guru Besar dan Persatuan Guru Siswazah membincangkan cadangan itu.

‘‘Kementerian pula tidak mempunyai masalah untuk menerima cadangan itu jika ia memberi kesan yang positif kepada guru,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas program motivasi kepada 314 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman di sini, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November ini.

Katanya, dengan mengadakan dua sambutan perayaan tersebut membuktikan pengorbanan dan jasa guru dihargai bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi juga di peringkat global

Utusan Malaysia