Saturday, February 21, 2009

625,987 guna bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) mendedahkan 625,987 murid tidak menjawab kertas soalan dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr. Hassan Ahmad (gambar) berkata, keputusan UPSR tahun lalu menunjukkan hanya 159,234 murid daripada 511,875 murid tahun enam menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris manakala 352,641 murid menjawab dalam bahasa Melayu sejak pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

‘‘Bagi Matematik pula, 238,153 murid daripada 511,499 yang menduduki peperiksaan itu menjawab dalam bahasa Inggeris manakala 273,346 menjawab dalam bahasa Melayu.

‘‘Ia menunjukkan seramai 625,987 murid tidak memahami untuk menjawab Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,’’ katanya kepada pemberita di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena) di sini semalam.

Selain itu, beliau berkata, kajian juga telah dilakukan oleh pasukan penyelidik yang terdiri daripada 50 pensyarah dari tujuh buah universiti dalam negara.

Katanya, kajian yang dibuat terletak di bawah penyeliaan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).

Menurutnya, hasil kajian menunjukkan beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar gagal mata pelajaran Sains dan Matematik melebihi 50 peratus.

Tambahnya, sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga menunjukkan kejatuhan bagi pelajar Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

‘‘Kajian yang dibuat di 70 buah sekolah menengah dan 90 buah sekolah rendah di seluruh negara juga menunjukkan berlakunya kemerosotan dalam mata pelajaran tersebut.

‘‘Ia menunjukkan PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar,’’ katanya

Menurut Hassan, ia jelas menunjukkan PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar sebaliknya membebankan pelajar.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk Bahasa Inggeris di setiap sekolah.

Tambahnya, wakil kerajaan perlu ke sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar untuk memantau sistem yang digunakan dalam P&P bahasa tersebut.

‘‘Sistem P&P untuk Bahasa Inggeris perlu diubah dan diperkemaskan terlebih dahulu supaya menjadi bahasa kedua yang dikuasai pelajar bukannya mengajar bahasa tersebut dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

‘‘Selain itu, jadikan negara-negara Eropah sebagai model di mana mereka mengajar mata pelajaran tersebut dalam bahasa ibunda, tetapi menggalakkan pelajarnya menguasai pelbagai bahasa,’’ katanya.

Rujukan di sini

Kumpulan guru selami kesukaran rakan sekerja

GUA MUSANG 6 Feb. - Seramai 20 warga pendidik semalam dibawa oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan bagi merasai dan menyelami sendiri pengalaman rakan-rakan sejawat mereka yang bertugas di sebuah sekolah yang lokasinya paling jauh di pendalaman di negeri ini.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Rombongan guru yang diketuai oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kelantan, Zahari Daud itu terpaksa meredah hutan dan lereng bukit melalui trek lori balak yang becak dan lompang dengan perjalanan mengambil masa kira-kira empat jam.

Mereka yang menaiki enam buah kenderaan pacuan empat roda turut meredah empat batang sungai sebelum sampai ke sekolah yang menempatkan murid-murid anak Orang Asli itu kira-kira pukul 4 petang.

Perjalanan yang berhadapan dengan keadaan sukar itu adalah sebahagian daripada rencah kehidupan 16 guru yang bertugas di SK Balar.

Guru-guru terbabit hanya keluar sekali setiap tiga minggu ke bandar Gua Musang dengan menumpang pacuan empat roda syarikat pembalakan atau menggunakan motosikal untuk membeli bekalan.

Kunjungan rombongan itu adalah sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 dan Penyampaian Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Turut sama dalam rombongan itu ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Norhashimah Abdul Rashid dan Guru Besar SK Bechah Laut, Zainun Hamzah yang turut menyampaikan ceramah motivasi kepada guru-guru terbabit.

Berucap pada majlis di sekolah itu, Zahari berkata, terdapat lebih 3,000 anak Orang Asli yang belajar di 12 buah sekolah di pedalaman Kelantan termasuk sebuah di jajahan Jeli.

Katanya, di pedalaman sebilangan guru seperti di SK Balar menerima elaun kesukaran RM1,000 sebulan dan ini diharap dapat merangsang mereka lebih gigih dan bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Menurut beliau, murid-murid di 12 buah sekolah itu dibimbing oleh kira-kira 300 guru termasuk yang baru ditawarkan mengajar sekolah-sekolah terlibat pada Januari lalu.

''Harapan JPN supaya mereka dapat berkhidmat dengan sepenuh hati bagi meningkatkan prestasi akademik terutamanya dalam UPSR 2009," ujarnya.

Katanya lagi, ia boleh dilakukan sebagaimana UPSR 2008, apabila buat pertama kalinya lima murid SK Balar mendapat sekurang-kurangnya 2A.

Beliau berkata, dua murid itu ialah Intosa Along Adil dan Yuyi Busu mendapat 2A, manakala Siti Pandak, Jalil Abu dan Hasmin Lebai mendapat 1A dan Sungkai Adu, Ajek Alug serta Azmi Alang pula lulus dalam semua subjek.

Kesemua mereka melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Gua Musang.

Beliau seterusnya memberitahu, hanya komitmen guru dapat memastikan pencapaian anak Orang Asli termasuk dari suku kaum Temiar, Jahai dan Batek terus meningkat.

Rujukan di sini

Sabah kurang guru Inggeris

KOTA KINABALU 1 Feb. – Kekurangan guru bahasa Inggeris merupakan faktor utama yang menyebabkan kelemahan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di negeri ini.

Exco Pelajaran Negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, selain itu, ketiadaan prasarana dan kemudahan sekolah yang sempurna juga menyukarkan mewujudkan suasana pembelajaran dalam bahasa Inggeris yang berkesan di negeri ini.

“Bagi Sabah penyumbang besar kepada kelemahan ini ialah ketiadaan guru-guru bahasa Inggeris yang cukup di luar bandar.

“Guru-guru yang dilatih khusus untuk mengajar bahasa Inggeris juga tidak mencukupi malah guru-guru mata pelajaran lain terpaksa mengambilalih mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rujukan di sini

Guru digesa galakkan murid baca buku terkini


IPOH 1 Feb. - Guru-guru perlu menggalakkan murid-murid membaca buku terkini yang terdapat di pasaran dalam usaha meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan di negara ini.

Presiden Dewan Industri Buku Melayu Malaysia (DIBMM), Datuk Abdul Ghani Ngah berkata, pendedahan seumpama itu penting bagi murid-murid selain menerima pengajaran secara langsung di sekolah.

''Perkembangan industri buku yang pesat pada masa kini menuntut guru sentiasa peka dan membuat penyelidikan sepanjang masa untuk mengetahui tentang keluaran terkini yang ada di pasaran," katanya ketika berucap di majlis perasmian mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Tasek Dermawan, di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Abdul Ghani menyumbangkan buku bernilai RM10,000 kepada perpustakaan sekolah berkenaan.

Beliau juga menyumbangkan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada PIBG sekolah untuk menjalankan pelbagai kegiatan murid-murid.

Menurutnya, pihak pengurusan sekolah dengan kerjasama PIBG harus menyediakan pusat sumber yang mempunyai buku terkini.

Katanya lagi, walaupun Internet kini menjadi pilihan untuk mendapatkan bahan bacaan, namun buku masih tetap relevan kerana tidak semua bahan mampu dimuat turun dalam bentuk salinan asal.

Malah jelas beliau, tidak semua murid juga mampu menyediakan kemudahan Internet di rumah masing-masing selain ada sekolah yang juga masih berkeadaan serba kekurangan.

''Oleh itu buku menjadi rujukan utama untuk mendapatkan sumber ilmu dan buku terkini perlu diisi di pusat sumber supaya ia menarik perhatian murid," katanya.

Rujukan di sini

Layak sekolah jika ibu bapa warga Malaysia

PENAMPANG: Pelajar tanpa sijil kelahiran tetapi ibu atau bapa mereka warganegara Malaysia, layak meneruskan persekolahan ke sekolah menengah hanya selepas taraf kerakyatan ibu atau bapa disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong, berkata ibu atau bapa terbabit diwajibkan menulis surat kepada JPN untuk mendapatkan pengesahan status kewarganegaraan mereka.

"Kementerian Pelajaran dalam proses menyerahkan pekeliling kepada JPN untuk membantu ibu bapa berkenaan. Jika tiada halangan, mereka boleh memulakan persekolahan tahun ini," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yue Min, di sini semalam.

Bangunan bernilai RM800,000 itu bagi menampung pertambahan murid dan menggantikan bangunan lama yang tidak selamat digunakan.

Pada 11 Februari lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan pelajar tanpa sijil kelahiran tetapi seorang daripada ibu bapa mereka warganegara Malaysia, layak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

Tuesday, February 10, 2009

Pengurusan Bilik Darjah

Pengurusan Bilik Darjah

- Mengurus bilik darjah dan kerja-kerja rutin dengan kemas dan teratur

- Mewujudkan suasana bilik darjah yang menggalakkan dan sesuai untuk pengajaran pembelajaran

- Menyusun meja/ kerusi/ alat-alat pengajaran/ kedudukan p[elajar sesuai mengikut tajuk atau aktiviti yang dirancang

- Mengawal disiplin pelajhar dengan berkesan supaya pelajaran berjalan dengan lancar

- Menggunakan ruang/ kemudahan sedia ada dengan baik

- Menggunakan strategi/ teknik ynag dapat mengawal tingkahlaku yang tidak diingini


Penilaian

- Membuat rumusan yang berkaitan dengan isi pelajaran

- Memberi rasa puas hati pelajar

- Menggerakkan pelajar supaya bersedia untuk pelajaran akan datang

Konsep Kendiri

Apakah konsep kendiri ?

"Konsep kendiri adalah semua persepsi anda terhadap diri anda sendiri, dari segi kebolehan, kesukaan, personaliti, kemahiran dan lain-lain lagi tentang anda".

"Apabila maklumat yang anda terima bertentangan dengan konsep kendiri anda, anda menjadi cemas, bimbang, begitu juga dengan orang lain yang menerima maklumat yang berlawanan".

Konsep kendiri positif

Pelajar yang mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi merupakan pelajar yang berminat dan bermotivasi untuk belajar serta mempunyai matlamat kerjaya untuk masa hadapan. Pelajar juga melihat diri mereka sebagai orang yang berkebolehan dan mahukan kepuasan dalam membuat keputusan kerjaya.

Kelebihan konsep kendiri tinggi/positif

1. Dapat menilai diri mereka dengan positif dan percaya bahawa mereka lebih cekap/berkebolehan.
2. Bertindak dengan positif.
3. Memikul tanggungjawab.
4. Menahan perasaan kekecewaan dengan baik.
5. Rasa dapat mempengaruhi persekitaran.
6. Berasa bangga dengan perlakuan sendiri.
7. Pencapaian gred yang tinggi.
8. Lebih bersedia menerima risiko.
9. Menerima diri dengan lebih positif.
10. Menghargai diri sendiri serta menyedari kekuatan & kelemahan diri.

Kesan negatif konsep kendiri/Penghargaan kendiri yang rendah dan negatif

1. Mereka cenderung untuk merasa bersalah.
2. Takut kepada kegagalan.
3. Sering merasa bimbang dan cepat berkecil hati.
4. Ada kaitan dengan pencapaian akademik yang rendah.
5. Tidak gemar kerja yang mencabar.
6. Kurang keyakinan dan kebolehan untuk membuat tugasan yang lebih mencabar.
7. Kurang berminat untuk mendapatkan maklumbalas.
8. Melihat diri sebagai orang yang kurang menarik dari segi personaliti.

Konsep kendiri rendah

1. Mudah rasa kecewa.
2. Sering menyalahkan orang lain kerana kesalahan diri.
3. Mengelak situasi yang sukar.
4. Terdapat kaitan antara gangguan dalam pemakanan dengan konsep kendiri yang rendah.
5. Mudah mengikut orang lain.

Hubungan antara konsep kendiri dan penghargaan kendiri dengan ibu bapa

1. Pelajar yang mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi mendapat sokongan daripada ibu bapa mereka iaitu ibu bapa sentiasa mengambil tahu dan mengambil berat tentang pelajaran mereka.
2. Remaja yang mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu bapa mempunyai penghargaan kendiri tinggi.
3. Terdapat korelasi yang kukuh antara dimensi-dimensi tingkah laku menyokong ibu bapa (seperti kemesraan fizikal, sikap menyokong, keakraban, hubungan yang berkekalan) dengan penghargaan kendiri remaja.
4. Penghargaan kendiri remaja berkait rapat dengan corak perhubungan dalam keluarga dan juga korelasi yang positif antara penghargaan kendiri yang tinggi dengan gaya ibu bapa yang autoritatif.
5. Minat, galakan dan sokongan ibu bapa terhadap anak merupakan penentu penting bagi penghargaan kendiri.
6. Semakin remaja merasakan perlakuan mereka dikawal oleh ibu bapa, semakin rendah penghargaan kendiri mereka. Anak perempuan lebih bergantung kepada ibu bapa dalam mengukuhkan penghargaan kendiri.

Membina konsep kendiri

Terdapat kanak-kanak menahan diri daripada menuju ke arah yang mereka inginkan melalui perkataan atau bahasa yang digunakan seperti "saya jahat" atau tidak berguna dan sebagainya. Kita boleh membantu anak sedar bahawa bukan diri mereka yang "jahat" atau tidak berguna, tetapi perlakuan yang khusus sahaja.

Hubungan dengan orang lain memainkan peranan yang penting dalam pembentukan konsep kendiri anak. Sebagai contoh jika anak gagal mendapat kawan, ini boleh menjejaskan konsep kendiri mereka. Menerang tentang diri seperti matlamat, nilai, kekuatan dan kelemahan, gaya hidup dan lain-lain. Fokus kepada pengenalan diri dan mempunyai idea bahawa "saya bangga menjadi saya".

Anak menyedari tentang anggota badan boleh membantu dalam pembentukan konsep kendiri untuk mengetahui mengenai diri, anak perlu sedar perasaan diri, tahu mimik muka sendiri, bagaimana ia bergerak, relaks, mesej-mesej anggota badan.

Aktiviti untuk menunjuk arah tujuan diri, tentang apa yang ingin dicapai dan siapa yang mereka mahu jadikan contoh. Apakah matlamatnya dan pelan tindakannya ?

Dipetik daripada :-
Membina Kendiri Unggul Berkarisma
Amer Shakir Zainol
Kaunselor UiTM Segamat.