Monday, October 6, 2008

Hari Guru mungkin disambut 2 kali setahun

KUALA TERENGGANU 6 Okt. – Warga pendidik mungkin menyambut Hari Guru dua kali dalam setahun jika sambutan peringkat dunia turut diraikan di negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, Hari Guru Sedunia diisytiharkan pada setiap 5 November manakala sambutan peringkat kebangsaan ialah pada 16 Mei.

Katanya, tarikh sambutan Hari Guru Sedunia itu diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

‘‘Sehingga kini beberapa kesatuan guru seperti Majlis Guru Besar dan Persatuan Guru Siswazah membincangkan cadangan itu.

‘‘Kementerian pula tidak mempunyai masalah untuk menerima cadangan itu jika ia memberi kesan yang positif kepada guru,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas program motivasi kepada 314 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman di sini, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November ini.

Katanya, dengan mengadakan dua sambutan perayaan tersebut membuktikan pengorbanan dan jasa guru dihargai bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi juga di peringkat global

Utusan Malaysia

No comments: