Friday, November 13, 2009

Bosan berada dalam kelas punca murid ponteng


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Bosan berada dalam kelas adalah antara alasan yang diberikan oleh seorang pelajar untuk ponteng sekolah dan melepak di kafe siber.

Dia yang mendakwa sudah lebih dua bulan melakukan perkara itu juga mengakui sepanjang tempoh tersebut, ibu bapanya langsung tidak mengetahui tindakannya itu.

Ini kerana setiap pagi dia akan bersiap-siap seperti biasa untuk ke sekolah.

Pelajar tingkatan empat di salah sebuah sekolah di Wangsa Maju itu adalah antara 178 yang ditahan dalam Operasi Ponteng Ayuh Ke Sekolah! di sekitar Sri Rampai, Keramat dan Wangsa Maju di sini hari ini.

Operasi bersepadu yang dijalankan oleh Pejabat Pelajaran Keramat (PPK) itu turut dibantu pelbagai agensi lain termasuk polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Zon Keramat.

Menurut pelajar berkenaan, dia sering ponteng sekolah dan menghabiskan masa dua jam setiap hari untuk bermain permainan video bersama rakan di kafe siber berdekatan kediamannya.

Selain pelajar itu, ramai lagi pelajar yang ditahan turut memberikan alasan sama, selain baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan tidak ada aktiviti menarik di sekolah.

Apa yang mengejutkan, kebanyakan pelajar terbabit tidak terkejut ketika ditahan kecuali selepas diberitahu yang ibu bapa mereka akan dihubungi untuk dimaklumkan mengenai penahanan mereka.

Operasi berkenaan merupakan operasi kedua selepas operasi pertama dijalankan pada Ogos lalu.

Penolong Pegawai Pendidikan Keramat, Mohd. Najib Abdul Rahman berkata, pelajar yang ditahan terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima dan ketika tangkapan dilakukan, kebanyakan pelajar memakai pakaian biasa dan menyorokkan pakaian seragam sekolah mereka di dalam beg.

Kesemua pelajar yang ditahan kemudian dibawa ke PPK di Jalan Kuantan untuk tindakan susulan termasuk sesi kaunseling sebelum diserahkan kepada ibu bapa mereka.

Malah, pelajar terlibat turut diarahkan menjalani ujian air kencing bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Hasil ujian tiada seorang pelajar pun yang positif dadah.

Rujukan di sini

No comments: