Sunday, March 21, 2010

3,138 lulus STAM 2009

PUTRAJAYA 11 Mac - Sebanyak 66.9 peratus atau 3,138 daripada 4,694 calon yang menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) layak mendapat sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya lulus (maqbul).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, jumlah tersebut meningkat sedikit berbanding tahun lalu iaitu seramai 3,098 calon.

"Bagaimanapun jumlah mereka yang lulus cemerlang (mumtaz) menurun iaitu seramai 422 berbanding 562 tahun lalu.

"Jumlah mereka yang gagal pula adalah seramai 1,556 calon berbanding 1,584 pada tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan analisis keputusan SPM dan STAM 2009 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Alimuddin berkata, pencapaian pelajar dalam setiap mata pelajaran sangat membanggakan iaitu tujuh daripada 10 mata pelajaran yang ditawarkan menunjukkan peningkatan.

"Mereka yang mendapat pangkat lulus dalam peperiksaan ini layak mendapat tempat di Universiti Al-Azhar, Mesir dan beberapa universiti antarabangsa tempatan berkenaan yang lain," katanya.

Tahun 2009 merupakan tahun ke-10 STAM dilaksanakan mengikut kurikulum yang diambil daripada Maahad Bu'uth al-Islamiah, Al-Azhar dan menggunakan bahasa Arab sepenuhnya.
UTUSAN 12 MAC 2010

No comments: