Friday, September 26, 2008

Ayat muhkamaat dan mustasyabihaat

Ayat muhkamaat dan mustasyabihaat

Firman Allah yang bermaksud: Dialah yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci al-Quran. sebahagian besar dari al-Quran itu ialah ayat-ayat ‘Muhkamaat’ (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat Mutasyaabihaat (yang samar-samar, tidak terang maksudnya).

Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya).

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: “Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya. (ali-‘Imran: 7-9)

Selepas membincangkan berkenaan kekuasaan Allah SWT dan ilmu-Nya pada ayat berikutnya pula dijelaskan berkenaan dengan kitab-Nya yakni al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Ayat Ketujuh

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci al-Quran. Sebahagian besar dari al-Quran itu ialah ayat-ayat Muhkamaat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat Mutasyaabihaat (yang samar-samar, tidak terang maksudnya).

Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: “Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Sebab Nuzul

Al-Qurtubi berkata: “Muslim telah mengeluarkan hadis daripada Aishah r.a yang berkata: Rasulullah SAW membaca ayat ini dan katanya sabda Rasulullah SAW: Apabila kamu melihat mereka yang mengikut apa yang menjadi kesamaran maka merekalah yang dinamakan Allah SWT. Justeru, awasilah mereka.

Iktibar dan fiqh ayat:

* Al-Alusi berkata: “Permulaan ini sebagai membatalkan segala syubhat dari rombongan dan saudara mereka berkenaan dengan sifat al-Masih selepas diterangkan secara khusus hal Rububiyyah.

* Al-Qurtubi berkata: “Ayat ini menjadi dalil umumnya setiap golongan daripada kumpulan kafir dan Zindiq, begitu juga dengan ahli bidaah dan yang jahil sekalipun isyarat kepada Kristian Najran.

* Al-Maraghi berkata: “Tiada orang yang akan memikirkan dan memahamkan hikmah-hikmah ayat-ayat mutasyabihat, kecuali orang yang mempunyai pandangan yang bersih dan akal yang luas dan menggunakannya dengan cara istimewa memikirkan dan memerhatikan semua ayat muhkam yang menjadi pokok pengajaran al-Quran. Sewaktu dia menemukan ayat-ayat mutasyabihat , dia segera mengingat dan merujuknya kepada ayat-ayat muhkam”.

* Hamka berkata: “Bahawasanya ayat-ayat dalam al-Quran itu ada dua macam, pertama muhkam kedua mutasyabih. Misalnya ayat-ayat mengenai hukum, perintah solat, zakat, puasa dan haji.

“Ayat-ayat muhkam disebut sebagai Ibu dari Kitab. Ibu Kitab ertinya menjadi sumber hukum yang tetap dan kekal untuk selamanya. Berbeza pula dengan ayat mutasyabih, maksud yang tidak jelas dan kadang-kadang serupa pada lafaznya beza pada maknanya dan sukar pula untuk difahami”.

* Muhammad Quraish Shihab berkata: “Allah SWT tidak menentukan, yang mana ayat mutasyabih atau muhkam. Ada ulama menilai dengan mutasyabih dan ada yang menilai dengan ayat muhkam, begitu juga sebaliknya”.

* Al-Sonhadji berkata: “Di dalam al-Quran itu ada ayat-ayat yang muhkamat, yakni yang terang maknanya, jelas maksudnya dan tidak mengelirukan. Maka itulah yang dinamakan Ummul Kitab, Ibu Kitab iaitu tempat sandaran dan rujukan hukum-hukum agama.

“Ayat-ayat muhkamat ini banyak di dalam al-Quran dan mudah difahami dan diamalkan. Berbeza ayat mutasyabihat yang tidak jelas maknanya atau lafaznya didapati ada yang serupa tetapi maknanya berlainan”.

Ayat ini jelas menunjukkan betapa luasnya ilmu Allah SWT. Di samping itu manusia tidak sama darjat akal fikirannya serta kemampuan aqliahnya. Justeru, yakin dan percayalah lemahnya manusia dan ceteknya ilmu pengetahuan mereka berbanding dengan ilmu Allah SWT.

Ayat Kelapan

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.

Iktibar dan fiqh ayat:

* Al-Qurtubi berkata: “Ayat ini menjadi hujah bagi ahli sunnah menentang muktazilah yang berpendapat bahawa Allah SWT tidak menyesatkan hamba-Nya.

* Al-Maraghi berkata: “Orang yang dalam ilmunya dan mengakui beriman kepada ayat-ayat mutasyabihat segera memohon kepada Allah SWT agar diri mereka dipelihara dari segala kesesatan setelah mendapat hidayah, diberi sikap teguh untuk mengetahui hakikat sesuatu bersikap lurus sewaktu menetapkan kebenaran”.

* Muhammad Quraish Shihab: “Doa ini menggambarkan betapa takwa mereka kepada Allah SWT, dan betapa besar kekhuatiran dan waspada mereka pada godaan dan rayuan.

* Al-Sonhadji berkata: “Orang-orang berilmu yang telah beriman dengan ayat-ayat mutasyabihat, mereka memohon dengan berdoa kepada Tuhan seperti dalam ayat ini, agar kiranya Tuhan memeliharakan mereka, tidak menyesatkan hati mereka selepas mendapat pengajaran, petunjuk dan hidayat”.

Ayat ini mengajar kita supaya melazimi doa mengikut riwayat Syahar bin Hausyab yang bertanya pada Ummu Salamah: “Hai Ummu Mukminin! Apakah doa yang paling banyak diamal oleh Rasulullah SAW? Jawabnya, “Hai yang membalik-balikkan hati, sabitkan hatiku atas agama-Mu”.

Ayat Kesembilan

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya.

Iktibar dan fiqh ayat:

* Al-Alusi berkata: “Tidak sayugia seseorang merasa ragu berkenaan dengan adanya mahsyar dan hisab”.

* Al-Maraghi berkata: “Mereka mengucapkan doa ini setelah mempercayai ayat-ayat mutasyabihat, agar timbul kesedaran di dalam diri mereka untuk berasa takut jika tergelincir ke jalan yang sesat, sehingga terlepas daripada kemurahan Allah SWT pada hari pembalasan nanti.

“Rasa takut ini merupakan sumber pendorong sikap berhati-hati dan seterusnya menjaga diri daripada seksaan di hari akhirat kelak”.

* Hamka berkata: “Pada hari yang telah dijanjikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran iaitu hari akhirat tempat dihitung segala dosa dan pahala, amal ibadat dan sebagainya. Semoga pembalasan syurgalah yang akan didapati di akhirat kelak”.

* Muhammad Quraish Shihab: “Ayat ini mengandungi isyarat bahawa harapan utama orang-orang mukmin adalah kenikmatan ukhrawi, kerana itu setelah mereka memohon agar dimantapkan hati mereka dalam keimanan”.

Ayat ini jelas menunjukkan penguasaan Allah SWT yang mutlak pada hari akhirat dan seluruh manusia pasti dibangkitkan untuk dihisab di hadapannya sama ada baik atau sebaliknya.

Antara sifat-sifat Allah SWT itu ialah sekali-kali Dia tidak akan memungkiri janji. Semoga kita mendapat rahmat dan taufik daripada Allah SWT dan sentiasa menginsafi diri.

Rujukan di sini
----------------------------
Menjana Pedagogi
Markaz Tarbiah Haraki 27 September

No comments: