Thursday, February 4, 2010

Pelajar Cemerlang ?

RATA-RATA kalangan kita pasti inginkan kejayaan yang cemerlang para pelajar dalam pelajaran mereka. Lebih-lebih lagi dalam suasana persaingan yang cukup sengit di era globalisasi kini menuntut penguasaan ilmu yang mantap dan luas memungkinkan setiap pelajar mampu menghadapi cabaran ini.

Mungkin kerana cabaran pendidikan masa kini dilihat terlalu hebat maka sistem pendidikan negara juga terpaksa diubah suai dan direka bentuk sesuai dengan keperluan dan perubahan yang mendadak ini.

Terkini dan mungkin bukan yang terbaru ialah pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran terhadap 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi yang diberikan beberapa autonomi tambahan. Langkah ini dilihat sebagai mengukuhkan lagi usaha Sekolah Bestari yang telah dilancarkan pada tahun 1996, iaitu usaha untuk membantu negara melonjak ke zaman maklumat dengan membekalkan pendidikan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan masa hadapan negara.

Pasti ramai ibu bapa yang menaruh harapan tinggi terhadap pencapaian anak-anak mereka apabila pendekatan pendidikan yang dibawa menerusi sistem sekolah bestari ini agak sedikit berbeza iaitu memberikan penekanan terhadap pengajaran dan pembelajaran (P&P), sumber manusia, kemahiran dan sikap, teknologi, sistem pengurusan yang lebih cekap, dan perubahan kepada beberapa polisi yang tertentu.

Semuanya ini dilihat sebagai satu usaha murni untuk melahirkan generasi pelajar yang jauh lebih hebat dan berketerampilan dalam menghadapi era yang juga hebat dan penuh dengan persaingan ini. Tetapi adakah sistem pendidikan yang sedemikian rupa mampu untuk melahirkan generasi pelajar yang kita inginkan.

Persoalan ini timbul apabila kita kembali melihat kepada realiti hidup masa kini yang cukup kronik dan membingungkan. Ini adalah kerana ketika kita berbicara mengenai perkembangan pesat pembangunan manusia dengan segala bentuk penguasaan ilmu yang hebat, maka pada masa yang sama juga kita turut melahirkan manusia yang keliru tentang identiti dirinya sendiri serta tidak tahu hala tuju kehidupannya.

Semakin rancak pembangunan yang dirancang, maka semakin rancak juga keruntuhan nilai kemanusiaan yang berlaku. Namakan saja jenis keruntuhan tersebut, semuanya ada dalam masyarakat kita.

Bermula dari bangku sekolah membawa kepada institusi keluarga yang kucar-kacir, hinggalah kepada pudarnya akhlak yang mulia, runtuhnya pemikiran yang sihat, cetek dan dangkalnya ilmu, sehingga kepada parahnya amalan masyarakat seperti rasuah, dan kotornya amalan politik.

Antara sebab yang membawa kepada keadaan ini ialah kekeliruan terhadap ilmu itu sendiri. Ini bukan kerana manusia tidak mempunyai ilmu tetapi kerana manusia memiliki ilmu yang tidak tepat dan salah. Kini ilmu yang dipelajari hanya kerana ilmu, iaitu menuntut ilmu hanya untuk memenuhi keghairahan kegunaan duniawi yang didorong oleh runtunan nafsu.

Tujuan dan konsep ilmu yang sebeginilah yang telah melahirkan ramai ilmuwan yang lupakan Allah tetapi sangat ghairah dan bernafsu untuk menguasai dunia dan alam ini demi memenuhi segala keinginan nafsu.

Maka dengan itu, sekalipun kemajuan ilmu pengetahuan masa kini benar-benar hebat dan mempesonakan, namun sebenarnya ilmu itu tidak membangunkan manusia sebagai manusia yang sebenar sebagai mana yang diinginkan oleh Islam.

Ilmu yang dibangunkan kini lebih banyak melahirkan manusia yang sangat cepat lupakan Allah tetapi pada masa yang sama sangat cepat terpesona dengan keindahan dunia. Maka dengan itu lahirlah ilmuwan yang sering dalam keraguan terhadap Tuhannya, sering dalam dilema dan bimbang tentang masa depan dunianya, dan sentiasa sibuk mencari harta dan habuan dunia.

Perkembangan pengisian ilmu masa kini juga telah memperlihatkan kepada kita bahawa tujuan dan konsepnya yang salah dan kabur telah melahirkan ramai manusia yang juga kabur tentang tujuan dan konsep hidupnya.

Pengisiannya telah menjadikan manusia sekarang mempunyai sifat-sifat keduniaannya yang sangat menonjol. Manusia sekarang penuh dengan sifat sombong dan bangga diri, kedekut dan tamak kepada harta dunia, suka angan-angan, penuh dengan hasad dengki, suka kepada pujian dan kemegahan dunia, khianat kepada amanah, selalu meninggalkan apa yang disuruh Allah, melupakan Allah, memandang rendah sesama manusia dan tidak ambil peduli sebarang permasalahan yang menimpa saudara-saudara yang seagamanya dengannya

Perkembangan ilmu yang sebegini sebenarnya sangat berlawanan dengan ilmu yang ingin dibangunkan oleh Islam. Bagi Islam, ilmu adalah sesuatu yang wajib dituntut oleh setiap individu Muslim, dan ilmu juga adalah asas pembangunan insan dan juga asas kepada pembangunan tamadunnya.

Menerusi ilmu juga dapat melahirnya manusia yang sentiasa ingat kepada Tuhannya, ingat kepada kebesarannya serta menjadikan manusia yang bertakwa dengan sentiasa cermat dan berhati-hati dalam mengharungi kehidupan di dunia. Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa dan kemuliaan yang tinggi kepada ilmu.

Justeru itu, wajar bagi kita kini untuk kembali menilai ke arah mana hala tuju perkembangan ilmu yang berlaku dalam negara kita sekarang.

Kita akan merasa lebih senang dan selamat sekurang-kurangnya untuk generasi akan datang sekiranya ilmu yang dibangunkan itu lebih bersifat membangunkan kemanusiaan dan keinsanan berbanding sekiranya ia lebih meruntuh dan membahayakan manusia dan dunia.

Kita juga tidak mahu ilmu dan pendidikan kita diasaskan kepada landasan pemikiran asing yang tidak mengikut penekanan yang ditentukan oleh Islam. Juga kita tidak mahu pendidikan dan ilmu yang kita pelajari adalah ilmu yang dipaksakan oleh perkembangan semasa kerana dikhuatiri tujuannya lebih bersifat keduniaan dan akan terus melahirkan manusia yang lupakan Tuhan.

Oleh demikian, manusia itu perlu dipimpin dan diberitahu bahawa pembangunan berteraskan Islam dan ilmu yang betul adalah lebih utama daripada pembangunan yang hanya dapat memuaskan nafsu.

Kerana ia bukan sahaja memerlukan penggabungan bersepadu antara manusia, benda dan alam, malah lebih penting daripada itu ialah penggabungan antara unsur dalaman dan unsur luaran manusia serta dipimpin oleh ilmu yang benar dan sah. Iaitu ilmu yang dapat memimpin kalbu, akal dan nafsu serta anggota lahiriah dan pancaindera yang lain ke arah mengenali dan menjadi hamba kepada Tuhan yang menciptanya.

Hubungan murni antara unsur-unsur ini yang bertunjangkan pengabdian sepenuhnya kepada Allah sahajalah yang dapat melahirkan amal dan perilaku manusia yang selamat dan aman pembangunannya.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Rujuk di sini

No comments: