Monday, May 24, 2010

Terapi Muzik

yalmizi.hamid@kosmo.com.my


MULANYA mereka malu-malu untuk tampil ke depan. Masing-masing menyorok di belakang ibu, ayah mahu pun jururawat yang bertugas. Namun, saat kerancakan alunan muzik memuncak mereka turut merasai keseronokan, bahkan ada yang melompat-lompat mengikut alunan irama.

Gelagat girang anak-anak cilik itu dapat dilihat di wad kanak-kanak Institut Jantung Negara (IJN) saat alunan lagu-lagu seperti Les Toreadors, Sukiyaki, March in B, Ala Canggung dan Rasa Sayang diperdengarkan melalui bunyi-bunyi lembut instrumen muzik.

Perasaan sayu dan sebak pastinya meruntun jiwa sesiapa sahaja yang melihat gelagat mereka. Kesakitan jelas terpampang melalui keadaan fizikal kanak-kanak itu dengan bibir kebiruan dan muka yang pucat. Namun, enggan emosi mereka turut larut dengan kesakitan itu, 13 orang pemuzik yang berjiwa murni mengukir senyuman pada wajah penghuni wad pediatrik tersebut dengan keindahan irama muzik.

Ketika Joost Christian Flach iaitu individu yang bertanggungjawab mengetuai barisan pemuzik terdiri daripada pelajar-pelajar Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mengangkat tangan tanda memulakan persembahan, kanak-kanak tersebut kelihatan sedikit keliru.

Mungkin mereka tertanya-tanya apakah yang akan dilakukan oleh lelaki Inggeris tersebut di tempat seperti itu.

Sejurus alatan muzik seperti bassoon, oboe, klarinet, french horn, flute dan double bass dialunkan bagi menerbitkan irama lagu Les Toreadors, mereka mula sedar bahawa kehadiran Flach bersama-sama anak didik MPO ke wad itu adalah untuk menceriakan hari mereka.

Kemuncak hiburan pada hari itu diakhiri dengan alunan lagu March in B, sebuah lagu yang sedikit rancak. Instrumen ringkas diberikan kepada kanak-kanak itu untuk turut bersama-sama memainkannya mengikut irama lagu tersebut.


KANAK-KANAK wad IJN teruja menyaksikan alat muzik double bass yang dimainkan oleh seorang pemuzik MPO.


Seusai lagu itu dimainkan, mereka belum puas. Ada yang memaksa untuk lagu itu diulang lagi. Flach sudah terbiasa situasi anak-anak kecil yang meminta agar persembahannya tidak dihentikan.

Lagu itu sekali lagi diulangmainkan oleh anak-anak didik MPO yang terdiri daripada empat pemuzik wanita dan tujuh lelaki itu sebagai tanda ingin melihat anak-anak itu terus mengukir tawa gembira.

Flach berkongsi rasa bahawa beliau sangat selesa melakukan kerja-kerja amal kepada golongan seperti itu, bahkan sejak mula menjejakkan kaki ke Asia Tenggara lagi beliau sering tampil melakukan persembahan amal.

"Muzik boleh memberi kesenangan kepada orang yang susah. Saya turut dapat merasai kesenangan mereka itu," kata lelaki bujang itu yang sudah 12 tahun berkhidmat di MPO.

"Dengan memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama mengalunkan bunyi-bunyian pada hari ini, ia dapat menambah penghayatan mereka dan memberikan kegembiraan.

"Saya fikir persembahan saya pada hari ini sangat berjaya kerana anda juga pasti perasan dengan raut wajah mereka yang tidak lekang dengan senyuman," jelasnya.

Menyingkap sejarah hidup lelaki yang berusia 40-an itu, Flach yang gemar mengenakan kemeja berwarna-warni sebagai lambang dirinya yang bebas dan tenang adalah seorang graduan daripada Sweelinck Conservatory of Music, Amsterdam, Belanda.


SEKUMPULAN 13 pemuzik MPO diketuai Flach menghiburkan penghuni wad kanak-kanak IJN dengan pelbagai lagu seperti Rasa Sayang, Les Toreadors dan Ala Canggung.


Bermula tahun 1984 beliau telah mula menjadi warga Asia Tenggara kerana pernah berkhidmat di Bangkok Symphony, Singapore Symphony dan Kuala Lumpur Symphony sebelum memulakan karier di MPO.

Anak mata penulis tertarik dengan gelagat seorang pesakit di situ, Nor Nafiesya Nor Amiruddin, 7, yang mengalami masalah jantung berlubang. Gelagat Nor Nafiesya tidak menggambarkan kanak-kanak itu sedang bertarung dengan sakit, apatah lagi senyuman sentiasa terukir di wajahnya.

Nor Nafiesya atau sering dipanggil Eisya oleh ahli keluarga turut ditemani oleh ibunya, Noor Idayu Ab. Rahman. Kata ibunya, Eisya adalah seorang kanak-kanak yang aktif tetapi mudah penat akibat penyakit yang dihidapinya sejak setahun lalu.

"Eisya sangat gembira pada hari ini tetapi saya dapat merasai kesakitan yang dia sedang tempuhi. Dia juga merindui arwah ayahnya yang meninggal dunia dua tahun lalu. Eisya seorang kanak-kanak yang kuat.

"Kehadiran MPO ke wad kanak-kanak pada hari ini sememangnya sangat membantu Eisya untuk menikmati sedikit kegembiraan seperti kanak-kanak lain. Saya turut rasa tempiasnya," kata ibu kepada pelajar Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Sri Tasik Permaisuri, Cheras itu.


FLACH sedang memberikan tunjuk ajar kepada pesakit wad pediatrik dan jururawat di IJN cara-cara untuk bermain alat muzik mengikut alunan lagu.


Aktiviti meriah yang berlangsung di IJN itu adalah salah satu usaha murni MPO bagi mendekatkan muzik kepada masyarakat di bawah Program Pendidikan dan Lawatan Orkestra Filharmonik Malaysia (Encounter).

Menurut Pengurus Pendidikan dan Lawatan MPO, Soraya Mansor, pihaknya mengadakan program Encounter bagi meraikan kumpulan dan institusi komuniti seperti hospital, rumah anak yatim, rumah warga emas dan pusat orang kurang upaya.

"Usaha ini adalah untuk memberi ruang kepada golongan yang perlu diberi perhatian. Mereka sebenarnya perlu dihiburkan, bukan kita hanya sekadar bersimpati dan melihat sahaja mereka bertarung dengan kesakitan.

"MPO ingin membuktikan bukan sahaja golongan tertentu yang dapat menikmati persembahan kami, bahkan kami sendiri akan datang bagi menghiburkan golongan susah.

Sehingga kini MPO sudah menjelajah ke banyak pusat komuniti seperti Pusat Disleksia, Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Pusat Autistik Kuala Lumpur, Rumah Pengasih, Rumah Orang Tua Seri Setia, Rumah Aman, Rumah Anak-anak Yatim Darul Izzah, Persatuan Orang Buta Malaysia, Pertubuhan Strok Nasional (NASAM) dan hospital-hospital.

Seorang pemuzik MPO yang memainkan instrumen bassoon iaitu sebuah alat tiupan, Chong Chun Khoi, 27, nyata gembira kerana menyokong usaha MPO untuk mempersembahkan lagu-lagu instrumental di IJN pada hari itu.

"Ia memang nampak pelik bermain alat muzik di tempat seperti ini. Ramai yang beranggapan bahawa bermain muzik di hospital akan mengganggu mereka yang sakit.

"Tetapi saya dapat merasai perasaan gembira mereka pada hari ini. Muzik adalah satu terapi kepada kesakitan dan ia boleh mengawal rasa sakit," kata guru muzik di Sekolah Cempaka, Damansara itu.

"Melihat mereka menari-nari dan menjerit tanda gembira, itu membuatkan saya puas bermain muzik di sini," katanya.

Seorang rakannya, Yam Sai Kwang, 22, yang sudah enam tahun bermain alat muzik yang sama turut berasa bertuah kerana dapat bersama-sama berkongsi perasaan gembira mereka dengan pesakit-pesakit di situ.

"Siapa lagi yang boleh buat bising di hospital melainkan kami," katanya berseloroh.

"Membuat persembahan di tempat seperti ini adalah sesuatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana ia sangat berbeza daripada mengalunkan muzik di pentas.


DUA orang pemuzik MPO mengalunkan instrumen flute dan bassoon kepada salah seorang pesakit di IJN.


"Segalanya perlu dilakukan dengan perancangan. Bunyi-bunyian mestilah tidak terlalu keras dan bising supaya pesakit tidak terganggu," ujar anak jati Ampang, Kuala Lumpur itu lagi.

"Apa yang pasti saya gembira saat melihat mereka lebih bersemangat setelah persembahan kami selesai. Itu yang mahu kami lihat," tambahnya.

Sebelum membuat persembahan di wad kanak-kanak tersebut, kumpulan pemuzik itu terlebih dahulu membuat persembahan di ruang legar IJN kepada pelawat-pelawat dan pesakit yang mendapat rawatan di situ.

Ramai yang tertarik untuk menghayati persembahan instrumental termasuklah pegawai perubatan, jururawat dan staf-staf IJN yang lain. Pastinya semua berasa teruja dan senang menyaksikannya, walaupun bunyi tiupan french horn yang lantang bisa mengejutkan.KOSMO!

1 comment:

amirul said...

ade x teori tentang terapi muzik ni? ade rujukan die x?