Wednesday, October 6, 2010

Bibit vokasional mulai tahun enam

ENDIDIKAN teknik dan vokasional perlu diperkemas supaya ia sekali lagi dapat diletakkan dalam arus perdana pendidikan negara - di samping pendidikan kebangsaan dan aliran agama, tanpa mengetepikan sekolah aliran Cina dan Tamil.

Legasi vokasional hampir terpadam apabila ada gerakan secara pukal menaik taraf sekolah vokasional kepada sekolah teknik serta penyerapan mata pelajaran vokasional dan teknikal ke dalam aliran kebangsaan. Sejak itu takungan tenaga kolar biru negara longlai - umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Ke arah itu, tidak keterlaluan jika penulis mencadangkan supaya ura-ura untuk merombak Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dilakukan dengan memperkenalkan sistem jurusan mengikut minat vokasional seawal usia 12 tahun.

Apabila melangkah sahaja ke peringkat menengah, remaja kita sudah tahu apa mereka hendak lakukan - daripada tukang membaiki paip domestik, mekanik kereta, atau pengimpal paip minyak mentah di bawah dasar lautan. Pada masa yang sama, kita boleh memperkenalkan semula ujian formatif bukan vokasional peringkat kebangsaan seawal usia 11 tahun atau pada tahun lima.

Ujian ke sekolah berasrama penuh pula boleh diadakan pada tahun enam, tetapi secara sumatif dan melihat kemampuan akademik, psikomatrik dan aptitud sekumpulan pelajar yang dipilih mengikut penilaian berasaskan sekolah, yang dikumpulkan di satu pusat peperiksaan. Bibit awal pendedahan vokasional ini bertujuan untuk melahirkan usahawan teknikal yang cekap dan mahir ketika berusia 23 tahun - sama usia ketika seseorang graduan memegang segulung ijazah.

Oleh itu, dasar Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) sedia ada yang menetapkan hanya setelah murid-murid tingkatan 1 baru mereka diberi pendedahan awal asas kemahiran selama tiga tahun sebelum mereka membuat pilihan kursus mengikut minat dan kebolehan masing-masing, perlu dirombak. Ia perlu bermula seawal tahun enam lagi.

Hal ini akan menjadikan kita negara pertama di dunia melaksanakan sistem pendidikan yang menjurus kepada bakat dan minat teknikal pelajar seawal usia 12 tahun. Kenapa tidak?

Kalau sekolah vokasional sebelum ini dilabel lekeh, maka perkenalkan sahaja sekolah berasrama penuh vokasional, sekolah berprestasi tinggi vokasional atau sekolah kluster vokasional. Beri label dan promosi yang lebih muluk kepada sekolah vokasional ini supaya ibu bapa berasa senang hati dan berkeyakinan menghantar anak mereka ke sekolah aliran vokasional.

Selain itu, model pendidikan teknikal dan vokasional di luar negara bolehlah dicontohi jika difikirkan sesuai dengan suasana di Malaysia.

Beberapa institusi pendidikan teknikal dan vokasional yang tersohor di luar negara seperti TAFE College, Northern Sydney Institute di Australia boleh dicontohi kewajaran kewujudannya di negara ini.

Sekolah vokasional ketika kewujudan fizikal berasingan telah berjaya melahirkan ramai pekerja kolar biru serta usahawan, sama ada yang bersifat serius atau usahawan pokok ketapang.

Program teknikal yang disulam dengan semangat keusahawanan menjadikan sekolah vokasional secocok dengan jiwa sebahagian besar pelajar - khususnya pelajar lelaki - yang sukakan kerja praktikal, pendapatan segera dan mencabar kreativiti.

Hal ini sejajar dengan dasar PTV untuk memberi akses, ekuiti dan pendidikan yang berkualiti kepada murid yang mempunyai kecenderungan, kebolehan, minat dan bakat dalam bidang teknik, vokasional serta kemahiran.

Dalam program memperkasa PTV, Kementerian Pelajaran memang berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan dan mengembangkan sepenuhnya potensi kecemerlangan murid dari kumpulan ini dari peringkat awal, guru dan sekolah sehingga boleh mengangkat nama dan sistem pendidikan negara di mata dunia.

Adalah diharapkan program memperkasa PTV ini akan dapat mengurangkan kadar keciciran dari sistem persekolahan dan menambah modal insan yang berkemahiran untuk membantu pembangunan ekonomi negara.

Bagi tujuan ini, Kementerian Pelajaran telah menyusun enam strategi utama iaitu:

i. Memperkasakan Kurikulum PTV melalui lepasan sekolah yang mempunyai laluan kerjaya yang jelas dan luas, mendapat pengiktirafan kemahiran dan mempunyai nilai tambah melalui penerapan keusahawanan yang merentas kurikulum. Melalui pemantapan kurikulum PTV murid akan mempunyai pelbagai kemahiran.

Kemahiran murid akan diiktiraf oleh badan profesional bagi memberi nilai tambah untuk kemudahpasaran. Murid bukan sahaja mendapat sijil daripada peperiksaan umum SPM tetapi juga sijil daripada badan profesional dan Sijil Kemahiran Malaysia. Di samping ini juga dua (2) buah Matrikulasi Teknikal telah diwujudkan pada 2009 bagi memberi laluan ke IPT dalam bidang kejuruteraan.

ii. Penambahan Sekolah Vokasional Baru. Penambahan sekolah vokasional ini memberi peluang lebih ramai kepada murid untuk mengikuti aliran vokasional dan kemahiran. Konsep sekolah vokasional baru ini berdasarkan kepada Production Based-Education atau Pendidikan Berasaskan Produksi.

iii. Aliran Asas Kemahiran diperkenalkan kepada murid-murid seawal tingkatan 1 bertujuan untuk memperkukuhkan pembangunan sahsiah dan instruksional mereka disamping memberi pendedahan awal asas kemahiran selama tiga tahun sebelum mereka membuat pilihan kursus mengikut minat dan kebolehan masing-masing.

Minat dan potensi murid akan dibimbing serta disalurkan kepada bidang-bidang yang dapat memenuhi keperluan negara. Oleh yang demikian, menjadi dasar Kementerian Pelajaran untuk memberi peluang dan ruang kepada semua murid mendapat pendidikan dan kekal di dalam sistem persekolahan. Ini secara langsung dapat membantu mengatasi masalah keciciran murid.

iv. Kementerian Pelajaran akan meningkatkan penglibatan industri dan badan profesional dalam membantu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan PTV khususnya bagi mencapai wawasan negara dan Misi Nasional yang memerlukan modal insan berkemahiran tinggi. Antara program yang telah dirangka adalah termasuk Latihan Sangkutan Industri Guru PTV yang bertujuan mendedahkan guru kepada persekitaran kerja sebenar, mendalami teknologi masa kini yang digunakan oleh industri untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan guru.

v. Dengan adanya penglibatan industri dan badan profesional murid akan didedahkan dengan konsep pelaksanaan School Enterprise yang mengaplikasikan pengetahuan murid dengan persekitaran sebenar supaya menjadikan mereka murid yang kreatif, inovatif, proaktif, berdaya saing dan berdikari. Konsep School Enterprise akan meningkatkan minat dan motivasi murid untuk mendalami pendidikan teknikal dan vokasional.

Gabungan pendidikan akademik dan latihan kemahiran juga merupakan kesepaduan ilmu yang dapat membantu murid menjalin hubungan yang rapat dengan komuniti dan seterusnya membantu komuniti menjana ekonomi setempat.

vi. Bagi memastikan pendidikan teknikal dan vokasional sentiasa relevan, Kementerian Pelajaran akan meningkatkan hubungan dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara. IPT ini akan menjadi mentor atau payung bagi melestarikan kecemerlangan PTV terutama dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pelaksanaan. Hubungan ini juga akan membantu mengembangkan potensi sekolah, guru dan murid dengan lebih optimum terutama dalam aspek kebitaraan (niche areas) yang berupaya menyerlahkan watak serta melonjakkan kecemerlangan sekolah yang menawarkan PTV.

PENULIS ialah Pengurus/Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia (6 Oktober 2010)

No comments: