Wednesday, October 6, 2010

Penggunaan bahasa Melayu belum membanggakan

IPOH 5 Okt. - Kemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan belum dapat dibanggakan dan masih jauh daripada pencapaian yang dicatatkan pada zaman kegemilangan Melayu.

Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, pada ketika itu, bahasa Melayu bukan sahaja dijadikan sebagai lingua franca, tetapi juga digunakan dalam semua urusan termasuk penulisan karya agung, diplomatik, pentadbiran dan undang- undang.

Namun katanya, perhatian serius yang diberikan kerajaan melalui dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) serta usaha yang diamanahkan kepada DBP untuk menyebarluaskan bahasa Melayu dapat dijadikan asas kepada pembinaan bangsa.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 bertemakan 1Bahasa, 1Bangsa dan 1Negara yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 260 aktiviti akan dilaksanakan di seluruh negara sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010.

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuklah seminar, ekspo, pertandingan debat, pidato, forum, berbalas pantun, teater serta deklamasi puisi.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sumbangan Negeri Perak dalam perkembangan bahasa Melayu dapat dilihat menerusi penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC).

''Penglibatan negeri ini dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu apabila UPSI telah berjaya melahirkan ramai tokoh pendidik seperti Pendeta Za'aba dan Buyung Adil," katanya.

Beliau berkata, maktab perguruan pertama ditubuhkan pada 1922 dan kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dahulunya diwujudkan bagi melatih guru-guru lelaki di sekolah Melayu.

''Pada masa itu, maktab menghadapi masalah kekurangan bahan bacaan dalam bahasa Melayu, maka diwujudkan sebuah pejabat berperanan menerbitkan buku dan karya terjemahan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

''Buku tatabahasa Melayu oleh Pendeta Za'aba yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu jilid satu, dua dan tiga pula telah menjadi sumber rujukan pengajaran selama lebih 40 tahun," katanya.

Utusan Malaysia 6 Oktober 2010

No comments: