Sunday, August 28, 2011

Qiraat Syazah


MELENGKAPKAN lagi maklumat berkaitan Qiraat, perlu disempurnakan dengan maklumat berkaitan Qiraat Syazah. Jika memerhati dengan teliti penyusunan Qiraat Mutawatirah yang dibuat oleh ulama kelihatan bagaimana cantiknya kaedah yang dikemukakan termasuk susunan imam, susunan bab dalam usul dan farsy.

Susunan Qiraat Mutawatirah sepuluh Qiraat dimulai dengan tujuh Qurra iaitu Nafe' al-Madani, Ibn Kathir al-Makki, Abu Amru al-Basri, Ibn 'Amir al-Dimaysqi, 'Asim, Hamzah dan al-Kisai. Ditambah dengan tiga Qurra lagi iaitu Abu Ja'far, Ya'qub dan Khalaf al-'Asyir.

Setiap imam yang dikemukakan ini mempunyai dua perawi dan ittifaq di kalangan ulama ia adalah Qiraat mutawatirah.

Menurut al-Zarqani, empat Qurra yang dimaksudkan ialah Hasan al-Basri meninggal pada tahun 110 hijrah, Ibn Muhaisin meninggal pada tahun 123 hijrah, Yahya al-Yazidi meninggal pada tahun 202 hijrah dan Syanabuzi meninggal pada tahun 328 hijrah.

Ciri-ciri Qiraat Syazah menyalahi rasm uthmani walaupun menepati bahasa arab dan sanadnya sahih. Apabila sesuatu qiraat tidak memenuhi tiga rukun qiraat ia dinamakan Qiraat Syazah meskipun qiraat tersebut datangnya daripada Abu Darda', Umar Ibn al-Khattab, Abdullah Ibn Mas'ud dan sahabat ra yang lain.

Qiraat Syazah yang tidak menepati rasm uthmani hukumnya tidak sah dibaca dalam sembahyang. Imam Abu Umar Ibn Abdul al-Bar melalui kitabnya Tamhid menyatakan telah berkata Imam Malik barang siapa membaca dalam solatnya qiraat Ibn Mas'ud atau qiraat lain di kalangan sahabat yang menyalahi mushaf maka tidak boleh sembahyang di belakangnya.

Dalam sejarah perkembangan Qiraat, berlaku kisah yang masyhur berkaitan penguatkuasaan membaca Qiraat mengikuti Mushaf Uthmani. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 323 hijrah antara Imam Ibn Syanbuz dengan Imam Ibn Mujahid.

Ibn Syanbuz ialah seorang yang alim dalam ilmu qiraat mempunyai guru yang ramai antaranya Ibrahim al-Harbi, Ahmad Ibn Ibrahim Waraq Khlaf, Ahmad ibn Basyar. Beliau banyak merantau ke kota Islam untuk mendalami ilmu qiraat.

Ibn Syanbuz beramal dengan qiraat yang tidak menepati Mushaf Uthmani. Pandanganya mendapat reaksi dari pemerintah ketika itu Abi Ali Ibn Muqlah. Beliau telah memanggil Ibn Syanbuz untuk dibicarakan dan majlis tersebut dihadiri Imam Ibn Mujahid, sekumpulan Qadhi dan ulamak.

Apabila beliau mengakui bacaannya yang menyalahi Mushaf Uthmani, beliau diminta bertaubat dan menarik balik pandangannya itu. Namun beliau berkeras dengan pandangannya sehingga dijatuhi hukuman rotan sebanyak 10 kali. Akhirnya beliau menarik balik pandangannya itu.

Walaupun begitu, ramai ulama yang memuji kealiman Ibn Syanbuz, antaranya, Abi Tahir Ibn Abi Hasyim yang ditanya manakah yang lebih afdal antara Ibn Mujahid dengan Ibn Syanbuz. Beliau menjawab: "Adapun Abu Bakar Ibn Mujahid akalnya mengatasi ilmunya dan Ibn Syanbuz pula ilmunya mengatasi akalnya".

Rujukan di sini.

No comments: