Sunday, August 7, 2011

Raja Berpelembagaan Sistem unggul bagi Malaysia


PARLIMEN menjadi tempat perlembagaan negara didaulatkan dalam sistem pemerintahan Malaysia.

SISTEM Raja Berperlembagaan merupakan salah satu dari tiga teras asas pemerintahan Malaysia selain sistem Demokrasi Berparlimen dan sistem Persekutuan.

Ketiga-ketiga teras asas kenegaraan ini telah dimaktubkan ke dalam peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengikut Perkara 4 Fasal 1 merupakan undang-undang tertinggi negara semenjak merdeka hampir lima puluh empat tahun yang lalu.

Malaysia amat bertuah kerana apabila kemerdekaan diperoleh dari United Kingdom pada tahun 1957 bapa-bapa pengasas negara kita (our founding fathers) telah membuat keputusan yang berpandangan jauh dengan mengekalkan sistem pemerintahan beraja sebagai teras utama sistem pemerintahan. Kebijaksanaan bapa-bapa kita ini semakin terserlah apabila sistem beraja yang diterimapakai adalah sistem Raja Berperlembagaan dan bukannya sistem monarki mutlak.

Untuk lebih lima dekad sistem Raja Berperlembagaan telah memberikan kestabilan dan keamanan yang diperlukan kepada sebuah negara yang mempunyai kemajmukan yang kompleks, berbilang bukan sahaja etnik tetapi juga bahasa, budaya dan agama untuk merancang serta melaksanakan inisiatif-inisiatif pembangunan yang diperlukan bagi meningkatkan taraf hidup warganya.

Berubah

Hasilnya dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang bergantung kepada komoditi getah dan bijih timah dan di mana lebih separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan telah berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi dan mempunyai ekonomi yang pelbagai dalam masa satu generasi.

Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia diinstitusikan melalui jawatan Yang di-Pertuan Agung yang bertindak sebagai Kepala Utama Negara melalui peruntukan Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Berbeza dengan konsep “ Divine Right of Kings” doktrin yang dikembangkan dan diguna-pakai di benua Eropah semasa zaman pertengahan di mana mengikut doktrin ini raja dipilih oleh Tuhan dan hanya bertanggungjawab kepadanya dan mana-mana manusia yang tidak mematuhi perintah Raja adalah berdosa, kedudukan, peranan dan kuasa yang Di Pertuan Agung yang merupakan raja berperlembagaan telah di tinta dan diperincikan oleh perkara-perkara, fasal-fasal dan seksyen dalam Perlembagaan Persekutuan serta Akta Parlimen.

Terang lagi bersuluh sebagai Raja Berperlembagaan Yang di-Pertuan Agung tidak boleh melunaskan kuasa dan tanggungjawab baginda secara berwewenang tetapi berdasarkan kepada apa yang tersurat dan tersirat dalam undang-undang negara. Di United Kingdom prinsip ini dinukilkan sebagai “ratu/raja bertakhta tetapi tidak memerintah” kerana yang menjalankan pemerintahan atas nama Baginda adalah kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya umum.

Dalam perlembagaan prinsip dan konsep Raja Berperlembagaan dilakar melalui Perkara 39 dan Perkara 40. Perkara 39 menyatakan “Kuasa Pemerintah bagi persekutuan adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agung dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan jadual kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang-orang lain.

Peruntukan

Perkara 40 pula adalah peruntukan yang memperjelaskan konsep kedaulatan rakyat dan raja berperlembagaan serta hubungan di antara kedua-duanya. Yang di-Pertuan Agung bukan sahaja perlu melaksanakan tanggungjawab baginda berasaskan undang-undang mengikut Perkara 39 tetapi juga berdasarkan nasihat mengikut Perkara 40; Fasal 1 berbunyi “Pada menjalankan tugas-tugasnya di bawah perlembagaan ini atau di bawah undang-undang persekutuan, Yang Di Pertuan Agung hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya oleh perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agung adalah berhak, atas permintaannya, mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan persekutuan yang boleh didapati oleh jemaah menteri.”

Fasal 1 diperjelas dan perincikan lagi melalui Fasal (1A) iaitu “Pada menjalankan fungsi-fungsinya di bawah perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agung dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat , Yang di-Pertuan Agung hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”

Lebih memperjelaskan prinsip Raja Berperlembagaan di Malaysia adalah apabila dalam Perlembagaan Persekutuan diperincikan perkara-perkara yang boleh dilakukan mengikut budi-bicara Baginda sepertimana Fasal 2 Perkara 40;

“Yang di-Pertuan Agung boleh bertindak menurut budi-bicaranya pada melaksanakan tugas-tugas yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri

(b) tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen;

(c) meminta supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang tersebut dalam perlembagaan ini”.

Di dalam menjalankan kuasa budi bicaranya juga baginda dibatasi oleh peruntukan perlembagaan. Contohnya dalam melantik seorang Perdana Menteri beliau terbatas pilihannya kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapat Baginda akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu. Dari segi realitinya baginda akan melantik pemimpin parti yang menguasai majoriti kerusi dalam Dewan tersebut.

Era monarki mutlak di semenanjung Tanah Melayu sebenarnya tidak tamat dan digantikan oleh sistem Raja Berperlembagaan dengan berolehnya kemerdekaan pada tahun 1957, sebaliknya ia berakhir dan negara telah memulakan perjalanan ke arah sistem Raja Berperlembagaan lebih awal lagi apabila Perjanjian Pangkor di tandatangani pada 20 September 1874 di antara Inggeris yang diwakili ketika itu oleh Gabenor Negeri- Negeri Selat dan Sultan serta Pembesar Negeri Perak (Bendahara, Temenggung, Menteri, Syahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato’ Sagor Perak).

Mengikut Artikel Enam perjanjian itu;-

“Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana baginda, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam

No comments: