Saturday, February 21, 2009

Guru digesa galakkan murid baca buku terkini


IPOH 1 Feb. - Guru-guru perlu menggalakkan murid-murid membaca buku terkini yang terdapat di pasaran dalam usaha meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan di negara ini.

Presiden Dewan Industri Buku Melayu Malaysia (DIBMM), Datuk Abdul Ghani Ngah berkata, pendedahan seumpama itu penting bagi murid-murid selain menerima pengajaran secara langsung di sekolah.

''Perkembangan industri buku yang pesat pada masa kini menuntut guru sentiasa peka dan membuat penyelidikan sepanjang masa untuk mengetahui tentang keluaran terkini yang ada di pasaran," katanya ketika berucap di majlis perasmian mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Tasek Dermawan, di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Abdul Ghani menyumbangkan buku bernilai RM10,000 kepada perpustakaan sekolah berkenaan.

Beliau juga menyumbangkan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada PIBG sekolah untuk menjalankan pelbagai kegiatan murid-murid.

Menurutnya, pihak pengurusan sekolah dengan kerjasama PIBG harus menyediakan pusat sumber yang mempunyai buku terkini.

Katanya lagi, walaupun Internet kini menjadi pilihan untuk mendapatkan bahan bacaan, namun buku masih tetap relevan kerana tidak semua bahan mampu dimuat turun dalam bentuk salinan asal.

Malah jelas beliau, tidak semua murid juga mampu menyediakan kemudahan Internet di rumah masing-masing selain ada sekolah yang juga masih berkeadaan serba kekurangan.

''Oleh itu buku menjadi rujukan utama untuk mendapatkan sumber ilmu dan buku terkini perlu diisi di pusat sumber supaya ia menarik perhatian murid," katanya.

Rujukan di sini

No comments: