Monday, April 13, 2009

Konsep Perlembagaan

KONSEP PERLEMBAGAAN

MAKNA DAN PERANAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-undang dasar yang dianggap penting untuk melicinkan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Perlembagaan berperanan dalam menentukan bidang kuasa pemerintahan, bentuk sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat.

Perlembagaan juga mengandungi prinsip yang membentuk institusi-institusi negara seperti eksekutif, perundangan dan kehakiman dengan menyatakan kuasa dan peranan setiap institusi tersebut dalam kerangka pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara.

Perlembagaan digubal untuk menjadi garis panduan tentang corak pemerintahan, sistem politik dan pentadbiran sesebuah negara, di samping memberi jaminan perlindungan kepada rakyat. Perlembagaan juga menyatakan tanggungkjawab dan kewajipan setiap warganegara terhadap pemerintah dan negara.

Umumnya, Perlembagaan dibahagikan kepada dua, iaitu Perlembagaan bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan bertulis ialah bentuk Perlembagaan yang dikumpul dan disusun dalam satu dokumen. Manakala Perlembagaan tidak bertulis (seperti di Britain) pula merangkumi semua prinsip Perlembagaan yang tidak terkumpul dalam satu dokumen seperti undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan keputusan-keputusan mahkamah.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mengamalkan ‘perlembagaan secara bertulis’. Ini bermakna kesemua undang-undang yang dibuat, digubal dan dipinda tertakluk kepada kuasa yang diperuntukan oleh Perlembagaan.

KONSEP KETINGGIAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi di Malaysia dan menjadi tunggak semua undang-undang, sama ada yang sedia ada atau yang bakal digubal. Semua undang-undang yang digubal tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Jika wujud percanggahan, undang-undang berkenaan dianggap terbatal setakat bahagian yang bercanggah tersebut.

Kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi amat penting bagi sebuah negara yang mengamalkan Sistem Persekutuan seperti Malaysia. Ini memudahkan Kerajaan Persekutuan menjalankan kuasa pemerintahan dan pentadbiran dengan licin, tanpa terpaksa bersaing dengan pihak-pihak lain, terutama Kerajaan Negeri.

Seiring dengan kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, Parlimen memperoleh kuasanya daripada Perlembagaan. Parlimen mempunyai kuasa yang terhad dan tidak boleh membuat undang-undang untuk perkara-perkara yang terletak di luar bidang kuasa yang diperuntukan kepadanya.

Mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan sesuatu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen jika undang-undang tersebut berada di luar bidang kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna mahkamah juga tertakluk kepada kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua Negara, baginda juga tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Baginda tidak boleh bertindak sesuka hati tetapi perlu menjalankan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya dalam Perlembagaan.

Oleh itu, tidak ada institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan. Kuasa tertinggi Perlembagaan ini dikenali sebagai ketinggian perlembagaan.
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarniah Haraki 14 April

2 comments:

Hjh Ruhayah Ehsan said...

Assalamualaikum Ustaz. Sya mohon untuk copy artikel Ustaz. Sy br nak start buat tugasan Perlembagaan merupakan dokumen tertinggi negara. Terangkan unsur-unsur tradisi yang terkandung dan jelaskan sumbangan unsur-unsur tersebut ke arah hubungan etnik yang harmonis. Kalau Ustaz boleh beri idea bagaimana nak buat tugasan ini lebih baik. Tima kasih ustaz.

Ustaz Nazmi said...

Wsalam..silakan...