Monday, August 2, 2010

Guru berpolitik, antara amanah dan masalah

ISU mengenai keputusan kerajaan membenarkan guru berijazah aktif berpolitik telah mewujudkan pelbagai polemik, ada yang menyokong dan ada pula yang menentang.

Apa yang paling menarik, ada pula pandangan bahawa langkah kerajaan itu sebenarnya memberikan keuntungan kepada parti pembangkang atas alasan majoriti guru adalah penyokong mereka.

Selain itu, penulis diberitahu, ada sebahagian besar pemimpin dan ahli UMNO terutama di peringkat cawangan dan bahagian bimbang kehadiran guru akan menjejaskan kedudukan mereka.

Demikianlah pelbagai tafsiran, andaian dan spekulasi yang dibuat. Tetapi apa yang lebih penting daripada itu, sepatutnya keputusan kerajaan disambut dengan fikiran yang terbuka dan hati yang tenang.

Dalam amalan demokrasi, kita tidak boleh menafikan hak mana-mana individu untuk memilih parti mana yang mahu mereka sokong. Begitulah juga golongan guru, mereka juga perlu diberi peluang menentukan pihak mana yang perlu mereka pilih.

Kesempatan berbual dengan sekumpulan guru bertaraf penolong kanan di beberapa buah sekolah menengah di Kedah pada Sabtu lalu telah mendedahkan kepada penulis fakta sebenar mengenai kecenderungan politik mereka.

Sebenarnya, kalau dikaji golongan guru bukanlah penyokong tegar pembangkang tetapi mereka melihat terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dalam perkhidmatan perguruan.

Ia termasuklah mengkaji semula elaun tuntutan perjalanan yang dikatakan dipotong begitu besar. Mungkin ini dilihat perkara kecil tetapi dalam politik, perkara kecil kadang kala menjadi senjata ampuh bagi memungkinkan sebuah parti ditolak oleh rakyat.

Selain itu, para guru sebenarnya ingin mendapat maklumat yang tepat bukan sahaja berhubung perjalanan pentadbiran kerajaan, malahan juga politik. Tetapi malangnya seperti mana kata guru-guru berkenaan, akses mereka agak terhad.

''Di mana lagi kami hendak mendapat maklumat, kalau tidak menghadiri ceramah-ceramah pembangkang, bukan untuk menyokong mereka tetapi sekadar untuk mengetahui kedudukan sebenar terutamanya dari segi kewangan negara,'' kata seorang penolong kanan sebuah sekolah kepada penulis.

Semua ini sepatutnya menjadi cabaran kepada pentadbiran UMNO di peringkat cawangan dan bahagian untuk menyebarkan segala maklumat mengenai dasar dan tindakan kerajaan kepada guru.

Mereka tidak harus mengamalkan dasar takut kepada bayang-bayang sendiri, sebaliknya perlu bersikap terbuka untuk mendekati golongan guru.

Kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah melakukan pelbagai usaha bagi meningkat taraf bidang perguruan di negara ini.

Justeru, ia tidak boleh disia-siakan hanya kerana ada segelintir pemimpin atau ahli UMNO melihat kebenaran guru-guru berijazah sebagai satu ancaman.

Sebaliknya keputusan kerajaan perlu dilihat detik terbaik untuk mereka menghampiri golongan guru yang mungkin selama ini merasakan cawangan dan bahagian UMNO tidak pernah mengambil peduli masalah mereka.

Apa yang mereka tahu, selama ini apabila ada orang-orang kenamaan hendak melawat, mereka diarah meramaikan majlis, biarpun hakikatnya mereka tidak rela berbuat demikian. Tetapi oleh kerana ia seolah-olah satu arahan, maka ia terpaksa dipatuhi.

Atas sebab itulah, pemimpin dan ahli UMNO perlu menjadi orang tengah antara guru dan kerajaan. Mereka boleh mengatur dialog atau mengadakan pertemuan dengan golongan berkenaan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi (sembang di kedai kopi pun dah okey).

Selamilah masalah guru-guru yang pada masa ini sebahagiannya masih lagi mengeluh termasuk dalam soal peruntukan perbelanjaan sekolah yang semakin banyak dipotong.

Sama ada hendak diakui atau tidak, ada sesetengah sekolah langsung tidak mempunyai bajet sehinggakan hendak membayar bil utilitipun belum tentu lepas.

Semua ini perlu diberi perhatian oleh pemimpin dan ahli UMNO supaya golongan guru yang menjadi pendidik kepada anak bangsa itu berasa dihargai dan disanjungi.

Penulis diberitahu, kebanyakan guru menganggap parti pembangkang lebih baik dalam mendengar masalah mereka. Malahan mereka juga menganggap pembangkang sentiasa sahaja memberikan fakta yang benar berhubung sesuatu perkara berkaitan negara.

Tafsiran ini mungkin tidak benar tetapi kita berhak bertanya adakah UMNO di peringkat cawangan dan bahagian mengambil inisiatif membetulkan salah tafsiran yang berlaku?

Sudah pasti tidak, tetapi apabila kerajaan mengamalkan pendekatan terbuka dengan membenarkan guru berijazah berpolitik, mereka mula gelabah tidak tentu fasal.

Seperkara lagi yang tidak harus dilupakan adalah guru merupakan golongan paling berpengaruh dalam masyarakat. Jasa guru mendidik anak-anak orang kampung berjaya dalam pelajaran akan menjadi modal tuntutan membalas budi yang sudah pastinya begitu laris dalam arena politik.

''Bayangkan jika salah seorang calon pembangkang seorang bekas guru, sudah tentu jasanya mendidik anak-anak di kawasan yang ditandingi akan digunakan sebagai modal.

''Sebab itulah, sentimen membalas budi ini tidak harus dipandang remeh oleh UMNO dan kerajaan,'' kata penolong kanan tersebut.

Bagaimanapun pada masa yang sama kita juga mengharapkan sikap keterbukaan guru untuk turut menimbang jasa-jasa kerajaan kepada mereka. Mungkin ada satu dua perkara yang tidak memuaskan hati, namun janganlah sampai akibat perasaan tersebut ia mendorong mereka menggadaikan masa depan negara.

Selain itu, seperti mana diseru oleh pelbagai pihak mereka juga harus bersikap profesional. Jangan membawa sentimen politik ke dalam bilik darjah. Tak kisahlah kalau kereta mereka hendak ditampal dengan pelbagai pelekat menyokong mana-mana parti tetapi jangan sampai perasaan membuak-buak itu menjejaskan profesion mereka.

Apa pun berlaku, mereka tetap menerima gaji dan elaun yang dibayar oleh kerajaan untuk melaksanakan amanah untuk mendidik anak bangsa.

No comments: