Wednesday, August 4, 2010

Senario guru berpolitik

Senario guru berpolitik bukanlah sesuatu yang baru atau luar biasa dalam sejarah politik negara. Suatu ketika dahulu, kelompok ini adalah kelompok terpenting dalam menentukan hala tuju sesebuah parti politik dalam negara.

Mana-mana parti politik yang mempunyai ramai kelompok guru, maka parti tersebut akan diyakini oleh rakyat sebagai sebuah parti yang boleh menjadi tempat mereka bernaung dan bergantung harap.

Puncanya adalah satu iaitu guru adalah kelompok yang dilihat sebagai berilmu, terpelajar, memiliki pekerti mulia, rela berkorban dan tidak mengutamakan kepentingan diri. Segala yang dilakukan adalah untuk parti dan kerajaan.

Perubahan senario landskap parti mulai berlaku apabila kebanyakan parti politik mula mengubah arah dengan mengutamakan kemasukan golongan selain daripada guru seperti ahli korporat atau profesional.

Puncanya adalah mereka mempunyai kekuatan dari segi wang ringgit yang dianggap sebagai jaminan kepada kekuatan parti sekali gus menarik pengaruh parti.

Namun begitu, perkembangan yang semakin pesat dalam sektor pendidikan dan harapan rakyat yang mulai berubah telah menyebabkan kerajaan membuat keputusan untuk menyekat semua kakitangan kumpulan A termasuk guru daripada bergiat aktif dalam mana-mana parti politik.

Sejajar dengan itu, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 diperkenalkan. Ia berlaku 17 tahun lalu dan sejak itu, kelompok guru mula dikesampingkan dalam arena politik perdana. Mereka hanya dibenarkan menjadi ahli biasa parti sahaja walaupun mereka mempunyai kapasiti intelektual dan pengaruh tulen terhadap masyarakat.

Sedikit demi sedikit, mereka menjadi tawar hati untuk membantu parti politik sama ada pembangkang ataupun kerajaan yang mana mereka akhirnya mengambil pendekatan menjadi pemimpin senyap dalam masyarakat. Mereka memimpin masyarakat setempat sama ada di taman-taman perumahan, di kampung-kampung, di kejiranan bandar, pinggir bandar dan seumpamanya.

Sesuatu yang menarik adalah keupayaan mereka mempengaruhi masyarakat walaupun mereka tidak berduit kencang tetapi hebat seperti generasi guru zaman pra dan awal merdeka dahulu. Kuasa rujuk yang dimiliki oleh mereka sukar digugat oleh kelompok lain termasuklah kelompok korporat dan seumpamanya. Semuanya kerana mereka bergelar guru.

Dalam konteks inilah, tanpa disedari pembaziran sumber berlaku. Kelompok ini telah ditolak ke tepi sedangkan mereka mempunyai kekuatan yang cukup hebat yang sememangnya didambakan oleh mana-mana parti politik.

Dalam sektor pendidikan, pada tahun 2009 sahaja, lebih kurang 140,000 guru kumpulan A telah dikenal pasti di sekolah menengah dan rendah di seluruh negara. Ini adalah satu jumlah yang cukup besar berbanding dengan sektor awam yang lain.

Dalam hal ini, apabila kerajaan membenarkan semula guru-guru kumpulan A berpolitik aktif mulai Ogos ini, maka pelbagai tafsiran telah mulai menghantui kelompok ini.

Ada yang mengatakan bahawa kelompok ini tidak wajar dilepaskan daripada belenggu tersebut, ada yang mengatakan bahawa sistem sekolah akan menjadi kacau bilau dengan gambaran guru tidak akan mengajar, anak-anak mereka akan terabai dan seumpamanya.

Lebih ekstrem lagi, ada yang dengan negatif membayangkan bahawa sekolah akan menjadi kem-kem kadet politik. Ini semua adalah satu kenyataan yang seolah-olah cuba menggambarkan bahawa guru begitu rendah kotak fikirannya. Seolah-olah guru tidak mampu membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang hitam dan yang putih. Apa yang pasti jika jumlah 140,000 guru diambil kira, sebenarnya hanya lebih kurang 20 peratus sahaja yang akan terlibat sebagai kelompok aktif politik.

Yang lain akan seperti biasa menjadi pengikut setia sahaja. Justeru itu, kita perlu yakin akan kemampuan dan keupayaan warga guru untuk bergerak aktif dalam politik.

Dalam konteks politik kepartian, kebenaran kepada guru berpolitik ada untungnya iaitu ia bakal kembali memberikan suntikan kepimpinan intelektual kepada parti politik. Ia diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri bahawa kemasukan golongan ini ke dalam parti-parti politik boleh memperkuatkan parti dari segi daya kepimpinan.

Bagi UMNO, daya kepimpinan intelektual yang dimiliki oleh kelompok guru ini dijangka mampu memberi keseimbangan kepada kepimpinan parti yang selama ini hanya berdasarkan kepada kepimpinan bercorak paling kanan dan kuasa semata-mata.

Begitu juga dengan parti Pas yang dilihat sebelum ini, lebih kepada kepimpinan insitu (setempat). Dengan perubahan ini, maka perubahan struktur parti akan berlaku sekali lagi, di mana kemasukan kumpulan ini dilihat mampu membawa gelombangnya yang tersendiri.

Walaupun begitu, jika dilihat kepada senario semasa, masih ramai orang-orang parti terutamanya parti pemerintah dilihat begitu skeptikal terhadap kelompok ini. Ini menunjukkan bahawa cabaran pertama terhadap perubahan pekeliling penjawat awam khas untuk kelompok guru adalah keupayaan parti untuk menyerap perubahan yang berlaku secara positif.

Ketidakupayaan mana-mana parti, sama ada pembangkang atau kerajaan menyerap elemen perubahan ini akan mengundang kepada krisis penstrukturan parti. Inilah polemik yang seharusnya dihadapi dengan tuntas oleh parti-parti politik.

Dalam konteks pendidikan pula, kegusaran masyarakat yang sebenarnya adalah memanipulasikan tugas. Kebimbangan yang timbul adalah guru akan menghabiskan masa dengan berpolitik, menggunakan ruang kelas sebagai medan menitipkan ideologi politik, menggunakan sekolah sebagai kebuk politik dan seumpamanya.

Dalam hal inilah, warga guru yang diberikan kebenaran khas oleh Ketua Pengarah Pelajaran untuk memegang jawatan politik perlu akur dan faham akan diri mereka yang sebenar iaitu sebagai penjawat awam.

Mereka perlu jelas dan faham peranan mereka sebagai pendidik dan ahli politik berjawatan parti. Maknanya di sini, sebaik sahaja mereka melangkah kaki ke dalam kawasan sekolah, maka buku politik perlulah ditutup dan fokus kembali semula kepada pengajaran dan pembelajaran.

Maknanya juga, guru terbabit perlu mempunyai keupayaan menjalankan dua tugas dan tanggungjawab dalam kerangka masa, tempat dan matlamat yang berbeza. Satu untuk mendidik dan melahirkan generasi Malaysia yang berjaya dalam hidup dan kedua adalah untuk berbakti kepada rakyat melalui mekanisme politik.

Kegagalan untuk membuat keseimbangan dalam tugas sebagaimana yang diperjelaskan akan menatijahkan huru-hara di dalam sistem persekolahan.

Mungkin akan berlaku pertindihan tugas dan keutamaan dalam menjalankan tugas yang mana akhirnya yang menjadi mangsa adalah anak-anak yang ke sekolah dengan niat suci untuk mencari ilmu.

Dalam hal ini, pihak Kementerian Pelajaran perlu mengambil langkah-langkah yang bersifat lebih tegas dalam merungkai makna di sebalik perubahan yang membenarkan guru A berpolitik. Satu perincian yang jelas mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh guru yang ingin memegang jawatan politik secara aktif perlu disiarkan kepada warga melalui pekeliling ikhtisas dan seumpamanya.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Institut Latihan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan, Kementerian Pelajaran

No comments: