Wednesday, August 4, 2010

JPA keluar syarat guru-guru berijazah aktif politik

PUTRAJAYA 3 Ogos - Guru-guru siswazah Gred DG41 hingga DG48 yang dibenarkan berpolitik, ditegah melakukan kegiatan itu sewaktu bertugas serta tidak mengganggu tugas rasmi.

Mereka juga tidak boleh menggunakan pengaruh politik bagi menyelesaikan masalah perkhidmatan demi kepentingan diri atau bagi pihak sesuatu kumpulan, pertubuhan dan persatuan.

Syarat-syarat itu dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menerusi surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2010.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, pekeliling itu menggariskan syarat kepada guru siswazah yang ingin bertanding, memegang jawatan atau dilantik untuk apa-apa jawatan dalam suatu parti politik.

Menurut beliau, bagi tujuan cuti untuk aktiviti politik, guru berkenaan perlu memohon cuti tanpa rekod jika kegiatan itu melibatkan waktu bertugas.

"Ia terhad kepada menghadiri mesyuarat parti di peringkat kebangsaan sebagai perwakilan dan menghadiri seminar atau bengkel anjuran parti yang membincangkan isu-isu nasional dan pembangunan negara.

"Tetapi kedua-duanya itu tertakluk kepada persetujuan dan budi bicara ketua jabatan masing-masing mengikut peraturan yang ditetapkan," kata beliau dalam kenyataan yang dipetik Utusan Malaysia daripada laman web rasmi JPA.

Abu Bakar berkata, pembatalan dan penarikan balik kelulusan untuk berpolitik pula berlaku jika guru berkenaan ditempatkan sama ada secara lateral atau dinaikkan pangkat ke jawatan pentadbiran di kementerian atau jabatan pelajaran negeri atau daerah atau institusi pendidikan guru atau Kolej Matrikulasi atau mana-mana agensi kerajaan.

"Ia juga terbatal jika guru berkenaan bersetuju menerima tawaran pemangkuan atau kenaikan pangkat ke gred DG52 dan ke atas.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran boleh menarik balik kelulusan jika guru terbabit gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya.

Menurut beliau, kalangan guru gred itu yang memegang jawatan Pengetua atau Guru Besar atau memegang apa-apa jawatan pentadbiran di mana-mana institusi pendidikan dan agensi kerajaan tidak dibenarkan melibatkan diri dalam aktiviti politik.

Sehubungan itu, kata Abu Bakar, semua permohonan untuk guru siswazah berpolitik perlu dikemukakan dengan menggunakan borang (JPA(T) 1/10) kepada Ketua Setiausaha kementerian melalui ketua jabatan masing-masing.

1 comment:

Anonymous said...

mana dia borang ni?borang (JPA(T) 1/10)x dak pun...