Friday, December 25, 2009

Hafaz al-Quran bantu tumpuan


SEBAHAGIAN daripada pelajar cemerlang PMR Sekolah Mahad Tahfiz Kuantan berdoa selepas menunaikan solat kesyukuran di sekolah berkenaan, semalam.

KUANTAN: Pelajar terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) Maahad Tahfiz Pahang, Mohamad Nazmi Nordin, 15, berkongsi rahsia kejayaannya adalah berkat menghafaz al-Quran dan amalan melakukan sembahyang hajat.

Beliau yang mendapat A dalam semua sembilan mata pelajaran berkata, menghafaz al-Quran bukan mudah kerana menuntut pembahagian masa dengan mengulang kaji pelajaran.

"Menghafaz al-Quran sebenarnya turut membantu saya menghafal fakta penting subjek lain," kata anak peniaga dan suri rumah itu yang berasal dari Tok Sira di sini.

Kecemerlangan Mohamad Nazmi dalam akademik terbukti dari awal lagi apabila pernah dianugerahkan Anugerah Tunas Jaya peringkat kebangsaan ketika berada di Tingkatan Satu dan penerima Anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan ketika di sekolah kebangsaan.

Sementara itu, amalan sembahyang hajat yang dilakukan setiap kali dalam tempoh dua bulan membolehkan anak kepada guru Kelas Pengajian al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), Mohammad Tajul Hayyi Mohammad Hayat, 15, yang memperoleh 9A.

Beliau yang berasal dari Pekan berkata, rahsia kejayaannya itu juga adalah berkat daripada usahanya melakukan ibadat tengah malam setiap hujung minggu selain belajar secara berkumpulan.

"Faktor pemakanan juga perlu diberi perhatian kerana apabila kita memakan makanan yang sihat maka badan dan otak juga cergas dan memudahkan saya mengulangkaji sehingga lewat malam," katanya.

Beliau adalah seorang daripada 19 pelajar Maahad Tahfiz Pahang yang memperoleh 9A dalam PMR tahun ini.

Pelajar Orang Asli dari suku Jakun , Mimie Azura Manan, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar (SABS), di sini pula memperoleh 7A dalam PMR.

Bekas pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2006 itu berkata, kejayaan berkenaan adalah hasil kesungguhan serta dorongan dan galakan ibu bapa.

No comments: