Wednesday, December 23, 2009

Syor anjak pembukaan sesi sekolah pertengahan Januari

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi akan mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya menganjakkan permulaan sesi persekolahan tahunan ke pertengahan Januari berbanding awal bulan ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata cadangan itu bagi mengelakkan lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menghadapi tempoh senggang terlalu lama untuk memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Katanya, ini berikutan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk merombak kalendar akademik IPT supaya seragam dengan sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kalendar akademik IPT di negara ini bermula antara akhir Jun dan awal Julai, manakala sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa pula pada sekitar akhir Ogos.

"Sekiranya kalendar akademik IPT diubah kepada akhir Ogos tetapi permulaan sesi persekolahan kekal sama, ini menyebabkan lulusan SPM dan STPM terpaksa menunggu lebih lama untuk memasuki universiti.

"Dalam konteks ini, kementerian bimbang timbul isu negatif bahawa mereka menjadi tidak produktif atau terbabit dengan gejala seperti melepak atau merempit berikutan tempoh senggang yang terlalu panjang," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kalendar akademik IPT di negara ini akan diubah supaya seragam dengan sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa untuk menarik kemasukan lebih ramai penuntut asing dan memudahkan pelaksanaan program mobiliti pelajar serta tenaga pengajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dipetik sebagai berkata sebarang perubahan terhadap kalendar akademik IPT bakal diketahui pada mesyuarat terakhir dengan Kementerian Pelajaran yang dijadualkan berlangsung pada minggu depan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, ketika dihubungi pula berkata cadangan yang akan dibentangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada minggu depan akan dibincang dan dibawa dalam tiga peringkat mesyuarat Kementerian Pelajaran, iaitu mesyuarat pengurusan, mesyuarat profesional dan mesyuarat mengenai dasar pendidikan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rujukan di sini

No comments: