Friday, December 11, 2009

Khidmat guaman terbaik untuk bela guru besar

IPOH 10 Dis. - Kementerian Pelajaran akan menyediakan khidmat guaman terbaik bagi membela dua guru besar dalam tuntutan saman RM105 juta oleh tiga bapa mangsa tragedi jambatan gantung yang runtuh di Kuala Dipang, Kampar pada 26 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan dan SJKT Gopeng itu tidak perlu bimbang dan gelisah.

''Serahkan urusan tersebut kepada kementerian. Saya ingin nyatakan bahawa Kementerian Pelajaran bertanggungjawab membantu guru besar terbabit yang dinamakan sebagai defendan kes itu.

''Saya telah maklumkan kepada mereka supaya tidak perlu bimbang dengan writ saman berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan dengan 55 guru yang terlibat dalam penganjuran kem perkhemahan 1Malaysia ketika tragedi berkenaan berlaku.

Pada 26 November lalu, tiga bapa kepada tiga pelajar yang meninggal dunia dalam tragedi jambatan gantung runtuh terbabit memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan.

K. Mageswaran, K. Vasudevan dan T. Nathan menamakan dua guru besar berkenaan, Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komandan Kem 1Malaysia Kuala Dipang sebagai defendan.

Pihak lain yang disaman adalah penderma jambatan gantung iaitu syarikat GS Synergy Sdn. Bhd., syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Mohd. Puad berkata, pada masa sama, Jabatan Pelajaran Negeri Perak telah memindahkan tiga guru yang terlibat dalam tragedi berkenaan ke sekolah lain.

Rujuk di sini

No comments: