Friday, December 25, 2009

Terengganu cemerlang


PELAJAR cemerlang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Mohd Fariz Hafizi yang mengalami kecacatan mata buta sebelah kanan dan penglihatan kabur mata kiri melihat keputusan PMR dengan kanta pembesar.

KUALA LUMPUR: Terengganu mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini dengan mencatatkan gred purata negeri 2.60, lebih baik daripada gred purata nasional pada 2.78.

Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong, berkata daripada 22,954 calon yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, 7.1 peratus atau seramai 1,630 pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran manakala pencapaian minimum D atau lulus meningkat sebanyak satu peratus daripada 62.4 peratus tahun lalu kepada 63.4 peratus tahun ini.

Selain itu, katanya, tiga pelajar kurang upaya (OKU) turut mencatatkan keputusan cemerlang antaranya Mohd Fariz Hafizi Mohd Sepai dari SMK Sultan Sulaiman yang cacat penglihatan mencatatkan keputusan 7A 1B, Hani Nadhrah Muhamad Taufik dari SMK Padang Negara, Kuala Terengganu yang cacat fizikal (6A 2B) dan Muhamad Syukri Abdullah yang bermasalah pembelajaran dari SMK Tok Dor, Besut mendapat 5A 3B.


Sementara itu, 10 sekolah di Kelantan, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Ahmad Maher; Maktab Sultan Ismail; SMK Zainab; SMKA Naim Lil Banat dan SMK Kubang Bemban, mencatatkan kelulusan 100 peratus.

Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, sebanyak 16 sekolah di seluruh Pahang mencatatkan keputusan cemerlang dengan lulus 100 peratus, meningkat berbanding 13 sekolah tahun lalu.

Ketua Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Perak, Abdul Ghani Mohamad Niza berkata, seramai 2,746 pelajar atau 6.44 peratus berjaya mencatatkan keputusan semua A, meningkat berbanding 2,591 pelajar atau 6.11 peratus tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad, berkata daripada 145 calon memperoleh 9A, 1,366 calon (8A) dan 465 calon (7A) dalam PMR manakala 1,369 calon di Kedah mencapai 8A.

No comments: