Friday, December 11, 2009

Kerusi, meja baru dibekal ke sekolah

140,000 unit disediakan kerajaan tahun depan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 140,000 kerusi dan meja baru akan dibekalkan ke sekolah di seluruh negara untuk memenuhi keperluan pelajar pada tahun depan, terutama di negeri yang dilanda banjir pada musim tengkujuh ini.

Menurut sumber Kementerian Pelajaran, sekolah di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, menghadapi masalah kerosakan meja dan kerusi akibat ditenggelami air bah.

Katanya, pembekalan meja dan kerusi baru juga diperlukan atas pelbagai faktor lain, termasuk peningkatan jumlah kemasukan pelajar pada penggal persekolahan tahun depan, di samping untuk menggantikan kerusi lama dan rosak.

"Keperluan kerusi dan meja antara aspek utama yang diteliti dan diberi penekanan serius dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 30 November lalu.

"Kementerian akan berusaha memastikan pembekal dapat menyediakan kerusi dan meja sebelum penggal persekolahan baru dibuka pada 3 dan 4 Januari tahun depan," katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, ketika dihubungi berkata, laporan mengenai kerosakan meja dan kerusi di sekolah yang ditenggelami banjir dikemukakan oleh pengarah pelajaran negeri terbabit.

Selain aspek lazim seperti bayaran tambahan dan infrastruktur, beliau berkata, satu lagi keutamaan yang diteliti pada Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 ialah mengatasi masalah kekurangan guru.

"Masalah ini akan diatasi melalui guru sandaran tidak terlatih (GSTT) dan guru bersara. Perkara ini diuruskan pegawai pelajaran daerah (PPD) kerana mereka sudah ada senarai guru berkenaan," katanya.

Rujuk di sini

No comments: